Oleh: Mukmin Nantang
Buat ‘pekerja sosial’— Ini jawapan saya ketika anda mengatakan aktivis celaru menyebabkan penindasan jadi budaya.
[Radikalisma dalam Kamus Hidup Saya]
Ramai aktivis memaksakan teori-teori yang dibacanya atau kata-kata pujangga tokoh kesayangannya masuk ke dalam praktik politiknya namun gagal terlebih dahulu membaca persekitaran masyarakat sedia ada. ‘Radikal’ yang sebenar adalah penggalian ilmu atau usaha mengangkat persoalan dan masalah dari akar-dasar sebelum menyusun strategi membangun praktik-praktik politik tanpa banyak kompromi dengan kekuasaan. Radikal bukan sekadar emosi-sentimen kasihan yang akhirnya membuat kerja-kerja mudah membabi buta. Ini yang menyebabnya kehancuran yang lebih besar dan pekerja sosial lari lepas tangan.
Politik bukan sahaja soal penciptaan idea namun apa yang lebih penting adalah penyusunan pergerakan atau praktik yang pemboncengnya adalah idea.
[Cara Membaca Hukum Sosial 1+1 Tidak Semestinya 2]
Kerana isunya adalah Pas Sementara Sabah (PSS). Saya bersetuju dengan idea mendokumentasikan stateless, anak pelarian atau pendatang asing yang tiada dokumentasi di Sabah jika benar ia satu-satunya idea untuk menjaga hak asasi manusia. Boleh jadi saya bersetuju dengan PSS dan boleh jadi saya tidak bersetuju dengan PSS. Ia bergantung kepada konteks, pendefinisian terma, syarat dan strategi kedepan yang sedang dibangunkan oleh kekuasaan. Sama seperti idea Maszlee ketika menjawat jawatan Menteri Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu kononnya anak-anak tanpa dokumen boleh masuk ke sekolah kebangsaan. Saya pro kepada pendidikan diberi untuk semua kerana ia adalah hak kanak-kanak. Tetapi, yang harus dinilai adalah konteksnya, definisi, syarat, strategi dan bagaimanakah implimentasinya? Akhirnya benar, ia sekadar propaganda populis yang tidak menyelesaikan persoalan akar keciciran pendidikan di Malaysia. Oh kerana itu saya tidak banyak ambil pusing dan meneruskan kerja-kerja advokasi dan penyusunan perlawanan. Saya cuma perlu menjadikan kegagalan pemerintah sebagai alat menyerang.
Kita terperangkap dengan praktik politik elit pemerintah. Berteriak gembira ketika pemerintah mengumumkan suatu yang enak didengar tetapi gagal membayangkan bagaimanakah hal itu mampu terjadi. Akhirnya, pekerja sosial menangis-kecewa dengan masyarakat, kecewa dengan aktivis, kecewa dengan rakan organisasi, kecewa dengan pemerintah (ini silakan selamanya).
[Sampai Bila Pekerja Sosial Mahu Mengatakan Rakyat Bodoh?]
Kalau Zizek yang ‘diagung’ itu mengatakan 99% manusia adalah bodoh dan membosankan, adakah dengan rasa tidak malu mahu mengatakan pekerja sosial lah golongan 1% itu? Boleh jadi kita termasuk dalam 99% manusia bodoh dan membosankan. Kalau benar kita radikal dan membuat analisis, bukankah seharusnya persoalan 99% manusia bodoh ini harus diselesaikan terlebih dahulu?
Saya sebagai guru yang percaya kepada asas-asas falsafah pendidikan, justeru saya sangat pantang untuk menyalahkan pelajar ketika guru sendiri gagal memberi pendidikan yang baik. Saya sebagai aktivis sosial yang mengabdikan diri tinggal di dalam komuniti tertindas pantang untuk menyalahkan komuniti apabila mereka belum bersedia untuk berubah kerana aktivis gagal membangunkan kepercayaan. Begitu juga dengan mahasiswa yang tidak mahu membela masyarakat, saya akan tetap berusaha memobilisasi mereka kerana saya sedar individu yang tidak berkuasa tidak boleh disalahkan seratus peratus kerana kita sendiri juga sedar sistem pendidikan kita sudah pun gagal sejak dari sekolah dasar lagi. Di sekolah, pelajar tidak didedahkan tentang tanggungjawab sosialnya dan peranan melawan ketidakadilan. Jadi, apa yang kita harapkan?
Tidak perlu berhenti membodohkan orang lain, ia dibolehkan tapi jangan berhenti setakat itu kerana bukankah tugas kita mencerahkan dan memandaikan (jika terasa golongan 1%).
Percayalah kepada kerja keras dan penyusunan pergerakan dan jangan sekadar melepas batuk ditangga. Masyarakat yang hancur dari kegagalan mobilisasi akan tetap tertindas dan pekerja sosial boleh lari dan buat kerja sosial yang lain, walau ke hadapan mungkin akan gagal lalu kecewa lagi.
[Menjawab ‘Saya yang Malas’]
Saya sejujurnya malas membahas soal PSS ini. Saya sendiri sedar akan rumit dan beratnya persoalan ini. Saya tidak kuat. Untuk apa saya memaksakan sesuatu yang saya tidak kuat sedangkan kekuatan saya diperlukan di tempat lain yang akhirnya akan menjawab bukan sahaja persoalan dokumentasi, tetapi persoalan yang lebih autentik iaitu persoalan ‘memanusia manusia’.
Saya tercabar apabila ada orang berani mengatakan saya tidak berbuat-apa. Saya optimis. Ketika orang lain bekerja 100%, saya pula bekerja 200%. Kerana bekerjanya saya, saya tetap menjawab persoalan yang saya malas. Mei 2019 — saya berjumpa dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri iaitu Aziz Jamman dan berbincang sendiri dengan dia di rumahnya. Semua kata-katanya adalah sebuah kegagalan. Saya juga berjumpa berkali-kali dengan rakan-rakan NGO, peguam, ahli-ahli akademik bahkan pernah memberi input kepada figura-selebriti yang kuat dan serius mengangkat persoalan ini. Ya, masing-masing ada gerak kerja dan bayangan masing-masing. Akhirnya, saya sudah menjangkakan awal PSS akan gagal. Tidaklah saya kesali kerana kegagalan paling besar adalah kita yang dibawah ini memberi pengharapan-kepercayaan penuh kepada politikus dan akhirnya temui jalan buntu. Mungkin anda menangis kerana pembatalan ini, tetapi saya tidak. Saya masih mahu mengerjakannya.
[Jangan Malas Mengorganisasi dan Memobilisasi dari Bawah]
Kita mungkin ada utopia atau masyarakat ideal yang ingin dibangunkan tetapi jangan terperangkap dan buat kerja mudah, laluilah pahit proses ke arah itu. Di sini menuntut kebijakan menyusun taktik dan praktik. Masyarakat bawah yang diperjuangkan masih haus advokasi. Begitu juga kepada golongan penentang hal ini, mereka ada hak menyuarakan kegusaran mereka. Pemerintah gagal beri pencerahan, itulah asas permasalah. Tapi pekerja sosial jangan ulangi kegagalan pemerintah.
Kecewa itu dibolehkan, silakan kecewa dengan orang lain dan jangan lupa juga kecewa terhadap diri sendiri yang gagal menyusun dan tak mampu berbuat sesuatu secara mapan.
Sudahlah! Ayuh bina kesatuan dan persatuan dari bawah. Sedarlah kita lemah dari bawah. Kita lebih jujur mengucapkan ini dari pemerintah elit di atas sana. Kita perlu jawatan kuasa khas, analisis konkrit, wacana, advokasi, kempen-kempen dan ketuk pintu pemerintah atau berbaris kita di jalan raya!
Sudikah berkorban masa, tenaga dan harta?
Kesimpulannya — Betulkah aktivis celaru menyebabkan penindasan jadi budaya? Jawapannya, hukum ilmu sosial 1+1 tidak semestinya 2.
Sekian, terima kasih.