Pasca Pilihanraya Umum 13 Malaysia, pergolakan dalam blok Pakatan Rakyat(PR) membawa kepada perpecahan di antara mereka yang mana Parti Islam SeMalaya(PAS) keluar dalam blok pembangkang itu. Ketidak-sefahaman antara mereka membawa kepada polimik yang sangat besar terutama antara parti PAS dan parti Demokratic Action Party(DAP).
Pada tahun 2015 dalaman PAS pula bergolak lalu berlakunya peristiwa ahli dan pemimpin mereka keluar beramai-ramai dari parti tersebut. Ini antara kronologi ringkas dan peristiwa penting perpecahan pembangkang walau pun ada lagi beberapa peristiwa yang mendorong kepada perpecahan namun saya tidak berminat untuk bercerita panjang.
Secara kesimpulannya ego dan nafsu besar parti pembangkang menyebabkan perpecahan. Saya juga tidak berminat bercerita tentang parti kerajaan yang sedang memerintah lalu mahasiswanya tidak menarik dari segi idea, prinsip dan gerak kerja. Mereka sangat suram dalam lipatan sejarah gerakan mahasiswa. Mana tidaknya mereka hanya tahu tunduk dicucuk hidung seperti lembu atau lebih teruk dari haiwan itu.
Perpecahan di blok pembangkang ini bukan sahaja memberi kesan kepada lanskap politik negara namun tempiasnya turut memukul gerakan-gerakan mahasiswa sepeti ombak besar memukul pantai yang diam. 2014 adalah tahun di mana saya menjejakkan kaki di universiti.
Saya mengikuti siri-siri demonstrasi rakyat dan kebangkitan mahasiswa bermula dibangku sekolah menengah lagi. Besarlah impian dan harapan saya ketika itu menikmati indahnya menjadi seorang yang melawan di negara yang diperintah oleh kerajaan yang maha zalim. Cerita-cerita berbaur reformasi dan revolusi ini kami mulakan secara kecil-kecilan di sekolah. Malangnya saya terpaksa menunggu zaman mahasiswa untuk meluahkan atau berekspresi segalanya kerana daerah Tawau adalah sebuah daerah terpinggir yang negerinya diperintah secara makan besar dan di dalam peta negara Malaysia pula daerah ini tersangatlah hujung-sehujung-hujungnya.
Jadi logiklah semangat radikal dan melawan itu tidak kunjung di bumi peladang ini. Sangatlah sukar pelajar sekolah memulakan aksi-aksi radikal di daerah yang persekitaran sosialnya sebegini. Saya dan kawan-kawan hanya membuat kerja-kerja kemasyarakatan secara konsisten.
Malangnya nasib orang seperti saya apabila menjejaki kaki di universiti apabila aksi-aksi rakyat di jalan raya mula suram dan pelan-pelan gerakan mahasiswa pun masuk ke keranda kematian. 2015, saya mula turun demonstrasi Bersih 4. Datang sendiri tanpa dikenali dan disuruh sesiapa. Dua hari demonstrasi. Sedih cukup sedih.
Tidak perlulah saya ceritakan kenapa namun jauh di sudut hati ini kecewa yang teramat apabila protes menjadi seakan ‘Hari Keluarga’. Walau pun begitu saya cukup faham apa yang terjadi dengan keadaan budaya protes rakyat di negeri Sabah. Saya tetap turun siri-siri protes selepas itu. Tapi itu tidak penting kerana yang lebih penting adalah kehadiran mahasiswa ketika itu tersangatlah kecil. Saya sempat juga bersapa bersama mereka.
Di sinilah titik kemarahan saya. Sentimen kepartian rupa-rupanya telah lama menyerap masuk ke dalam gerakan mahasiswa tanpa saya sedar. Rupa-rupanya ada parti politik mulai tidak menggalakkan ahli atau proksinya turun berdemonstrasi kerana sentimen-sentimen pergaduhan di blok pembangkang. Titik-titik awal ini merebak umpama tembok besar yang memisahkan antara proksi-proksi parti politik mahasiswa. Pergaduhan parti politik luar membawa kepada perpecahan gerakan mahasiswa di universiti.
Celaka! Maka bermulalah zaman mahasiswa secara terang-terangan menonjolkan dirinya sebagai mahasiswa proksi PAS, Mahasiswa proksi DAP, Mahasiswa proksi PKR, dan mahasiswa proksi Amanah. Garis lurus dan lorong perjuangan mahasiswa telah terpesong. Kerja-kerja mahasiswa untuk rakyat telah bertukar kepada kerja-kerja mahasiswa untuk parti. Mereka bergaduh sesama sendiri dengan tujuan menaikkan parti-parti politik masing-masing.
Mahasiswa hilang identiti. Di sinilah mulanya gerakan mahasiswa hilang fungsi dan paksi. Mahasiswa sudah tersalah lorong perjuangan dengan khayalnya mabuk diracun oleh senior mereka(bekas aktivis mahasiswa) atau pemimpin-pemimpin parti politik(pemimpin idola). Mahasiswa telah menggunakan lorong parti politik sebagai medan perjuangan. Ideanya kaku dan gerak kerjanya memualkan. Propagandanya-propaganda bersifat populis dan arahnya membingungkan hendak kemana dan bertujuan apa geraknya.
Mereka sudah lupa yang politik mahasiswa adalah politik kerakyatan yang tidak masuk dalam sekat-sekat kepentingan politik. Politik mahasiswa adalah politik nilai yang bergerak secara kritis, mendengdangkan aksi dan solusi. Politik mahasiswa tidak berfikir secara lima tahunan yang berkerja hanya untuk memerintah. Politik mahasiswa berfikir secara negarawan, peradaban dan kesejahteraan.
Setiap perubahan tentu ada anak muda di dalamnya, peristiwa-peristiwa besar yang berlalu di tanah ini biasanya dipandu oleh anak-anak muda. Politik mahasiswa sepatutnya mencari semula ‘identiti mahasiswa’ yang telus dan bijaksana agar negara ini mampu diletakkan semula dilandasan yang benar. Kata WS Rendra sasterawan Indonesia:
“Baik saudara untuk siapa? saudara berdiri dipihak yang mana? ilmu-ilmu yang diajarkan di sini akan menjadi alat pembebasan ataukah menjadi alat penindasan?”.
Gerakan mahasiswa memihak untuk siapa? parti politik atau rakyat jelata?
Demikianya kerana tidak mandirinya gerakan mahasiswa dari sudut idea, ekonomi, gerak kerja dan sebagainya maka terjerumuslah mereka di dalam kanca permainan politik sentimen kepartian. Pelan-pelan kuasa siswa mula hilang taring dan tidak dipercayai oleh massa. Kegiataan mahasiswa cuma cerminan kepada parti politik.
Idea-idea radikal sudah tidak diguna pakai sebaliknya propaganda-propaganda murahan parti politik yang dimainkan. Begitulah ia sehingga ke hari ini gerakan mahasiswa sudah sesuai di cop sebagai ‘MATI’. Kita sudah boleh mencetak surat kematian dan sediakan pusara tanda kenangan. Selamat tinggal dan berdamailah.
Maka terkuburlah gerakan mahasiswa abad ini di tanah air ini. Mati dek dibunuh oleh sentimen-sentimen parti politik. Akhirnya rakyat tak terbela, partinya sering berbalah. Tinggallah kelompok-kelompok kecil mahasiswa yang bergerak secara kolektif menghidupakan semula semangat atau kuasa mahasiswa pasca merdeka.
Atau mereka langsung tidak mahu dikenali sebahagian atau ada kena-mengena dengan gerakan mahasiswa parti politik bertopengkan solidariti rakyat. Gerakan mahasiswa yang bergerak secara kolektif adalah gerakan mahasiswa baru yang tidak mahu dikaitkan dengan mereka-mereka yang hipokrit. Biarlah mereka bergerak secara kecil tapi mandiri dari segi idea, ekonomi dan gerak kerja.
Kekecewaan ini adalah pasca perpecahan parti pembangkang yang merugikan rakyat, merugikan negara dan juga merugikan gerakkan mahasiswa yang selama ini dalam diam dijadikan binatang peliharaan. Mahasiswa yang Kecewa ini tidak berhenti, dengan air mata bercampur keringat mereka masuk keceruk-ceruk kampung (membina sekolah, kebun kecil, menghidupakan budaya kesenian dan mendidik komuniti mempertahankan hak mereka). Di universiti mereka bangunkan diskusi-diskusi intelektual dan melawan pentadbiran yang celaka gila kuasa. Mahasiswa sudah mampu menyewa rumah juang di luar tembok universiti untuk mengembangkan perniagaan-perniagaan kecil secara kolektif.
Dengan ini mahasiswa mampu menghindari diri dari parti politik parasit perosak bangsa(PPPPB). Mahasiswa fokus membina semula identiti dan prinsip-prinsip atau sumpah-sumpah mahasiswa!
Saya akhiri tulisan ini dengan lirik lagu puisi bertajuk ‘Suara Mahasiswa’ yang dihasilkan khas dari gerakan mahasiswa Borneo Komrad iaitu anak halal daripada persetubuhan Kelab Sastera Mahasiswa (KARMA)UMS dengan Suara Mahasiswa UMS. Bacalah dan hayatilah.
SUARA MAHASISWA
“Dengarkan suara kami
suara maha-siswa
untuk negeri yang tercinta
untuk negara berdaulat.
Dengan ilmu di dada
kugenggam tangan ke udara
simbol keramat mahasiswa
berbakti berani peduli.
Dengarkan suara kami
suara maha-siswa
untuk rakyat yang tertindas
membunuh ketidakadilan
Di mana hasil bumi
kekayaan negeri ini
sedang rakyat derita
hidup sensara tersiksa
Ini sumpah mahasiswa
tekorban kami rela
asal rakyat sejahtera
hidup aman sentosa
Hari ini kami mahasiswa melihat
negeri ini tanpa cinta”.
MUKMIN NANTANG
(Borneo Komrad)