Oleh: Farahani R.

Bagaimana jika kita semua tidak pernah diajar matematik?
Bagaimana jika kita semua tidak pernah dinyatakan apa sebenarnya nilai di sebalik nombor 2, atau perlambangannya pada apa-apa yang kita mudah lihat?
Bagaimana jika kita tidak pernah diperintah untuk menelaah tolak tambah?
Adakah kita akan mengecam jika ada seorang Socrates memberitahu bahawa 2 tambah 2 ialah 4?

Soalan-soalan ini mungkin kedengaran pelik, tapi itulah sebenarnya menjadi soalan yang selalu bermain di minda manusia yang inginkan jawapan lebih kompleks untuk jaringan mindanya yang kompleks. Dalam konteks politik, pertalian antara pemimpin dan rakyat amat rapat sekali. Tidak mengira jenis sistem pentadbirannya, rakyat sentiasa menjadi tulang belakang dan tulang rusuk pemimpin. Maka dalam strata masyarakat, pendeta, agamawan atau intelektual sentiasa berada di samping raja-raja untuk mengabsahkan dosa-pahala ke atas rakyatnya.

Di sebalik rona-rona politik Malaysia, kita boleh perhatikan kegilaan-kegilaan yang boleh ditertawakan dari ruang penonton bawah pentas. Pihak wartawan yang membuka tirai tidak salah; mereka cuma mendedahkan daripada sinar bayang menjadi objek legap beranimasi bayang-bayang. Aktor-aktornya, si pemimpin yang kononnya dipilih atas suara penonton kerana ketampanan idealismenya atau keindahan pengucapan berbisanya. Tanpa sedar, pengarahnya sentiasa berdiri di tepi tirai, membiarkan aktor ini berdialog memecah dimensi paparan realiti.

Di sebalik rona-rona politik Malaysia, kita boleh perhatikan juga kelucuan yang amat menarik. Pendoktrinan sudah ditulis padat kemas dalam ideal-ideal pendidikan rendah mengenai perpaduan dan toleransi, kemudian dipanjangkan kepada pendidikan tinggi dengan kurikulum mesra kepelbagaian kaum. Sudah tentu tiada masalah, literatur kajian sentiasa memetik Furnivall bagi menjelaskan situasi masyarakat majmuk dan melihat sifat kemasyarakatan Malaysia, ada kemungkinan masalah perpaduan ini akan ‘diselesaikan’. Ya, 2+2=4.

Akan tetapi, situasi politik kita berlawanan dengan arus matlamat pendidikan kita. Pendidikan kita dikatakan terbina untuk menumpukan sepenuh daya untuk menyelitkan perpaduan. Namun ungkapan rasis sentiasa keluar lalu dilaporkan seteruknya oleh media politik sensasi. Akhirnya, menteri A menyatakan bangsa menteri B itu dengan perkataan buruk-buruk yang membangkit emosi bangsa menteri B. Lalu apa sebenarnya yang serong; ahli politik yang membakar-bakar kemenyan bangsa atau perangka polisi pendidikan nasional? Akhirnya menteri Fasola membuat sidang akhbar: pendidikan kita GAGAL! Entahkan apa gagal. Adakah ia bermaksud gagal menyemai buah idea 2+2=5?

Sudahnya, kita sentiasa mengingatkan bahawa warga dewasa itu punyai akal matang untuk memilih salah betul, tipu dan benar. Warga dewasa yang dikatakan layak mengundi pula sudah penat belajar teori untuk kesepaduan sesama sendiri. Lebih senang saja jika membiarkan ahli politik memikirkan hal-hal dunia untuk mereka. 2+2=5, kata pak menteri.

“Ya YB, 2 tambah 2 memang 5.” Tepuk tangan para pegawai beruniform parti yang sama dengan pak menteri. Pak menteri gembira, kerana pegawainya ialah gambaran rakyatnya. Rakyatnya sayang padanya.

2 tambah 2 kemudiannya di kitar semula dalam paparan media. 2 tambah 2, kata majikan kapitalis, ialah 5. Kali ini tidak lagi tentang politik luar, tidak lagi bergelumang dengan undi. Kali ini tentang politik lobi dan aktiviti memujuk para pelabur untuk menghambur kerja-kerja gaji pergi mati kepada graduan muda yang murah-murah kerana sanggup mati demi nasi esok hari. 2 tambah 2 ialah 5, pak menteri: katakan pada warga rakyat bahawa graduan itu patut bersyukur ada gaji. Jangan meminta segala hak-hak, anda hidup untuk jadi permaidani kasut mewah si kaya.

Lalu pak menteri duduk dan mengesyorkan kepada ibu bapa dan generasi makan gaji yang sudah stabil bahawa anak-anak mereka bermasalah. Terlalu manja, terlalu memilih, terlalu meminta. Tidak pandai berbahasa Mandarin. Tidak pandai berbahasa Inggeris. Tidak pandai itu dan ini. Kelemahan-kelemahan ini diperbesarkan menjadi kesimpulan 2+2=5. Graduan akan melawan pada pak menteri, tapi graduan tidak akan melawan pada orang tua mereka yang telah pun diyakinkan oleh pak menteri akibat nostalgia-nostalgia polaroid kenangan betapa senangnya mencari kerja zaman dahulu, bahawa graduan sekarang malas dan tidak berkualiti.

“Ya, mak… 2+2=5.”

Pendapat awam pula kini semacam tersekat dalam era perang dahulu kala. Bagi mereka, dunia ini sentiasa berlawan. Dunia ini sentiasa ada musuh, sentiasa ada pertembungan. Dalam kerangka agama, perlawanan syaitan-malaikat dan syurga-neraka menjadi watak utama sembang-sembang para agamawan. Dalam kerangka sosial, perlawanan berbeza takrif gender dan orientasi seksual terwujud antara heteroseksual dan homoseksual atau seseorang yang aseksual atau biseksual. Dalam kerangka peranan jantina, kedudukan lelaki dan wanita seringkali ditukar ganti seakan wujud dua tahap tinggi-rendah seperti bermain jongkang-jongket. Dalam kerangka politik ideologi, Islamisme sentiasa dilanggar dengan jati identiti nasional disebabkan Islam mempunyai identiti ummah yang lebih luas berbanding identiti bernegara bangsa yang di sempadankan atas hukum undang-undang.

Dalam kedua-dua sudut perlawanan ini, pengadilnya entah siapa. Setiap sudut perlawanan ini ada hujah-hujah kukuh yang kita fikirkan ada tersembunyi kebenarannya. Namun hujah-hujah yang diteriak-teriakkan ini tetap 2+2=5. Tiada satu hujah pun yang dapat dipastikan menjadi 2+2=4, dan kalaupun ada, barangkali akhirnya ialah Tuhan. 2+2=Tuhan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *