Oleh: Mukmin Nantang

“… untuk masuk ke sekolah kami tidak boleh membezakan anak-anak itu berdasarkan bangsa, agama, berdasarkan geografi dari mana beliau datang”. -Maszlee Malik (Menteri Pendidikan Malaysia).

Aku tak dapat menahan sebak ketika sampai ke Sekolah Alternatif Tawau pagi tadi. Mereka tidak lagi belajar di tanah beralaskan banner yang disambung-sambung oleh cikgu Azwan. Mereka tidak lagi mencari tanah yang rata untuk menulis kerana tanah berlubang atau batu-batu keras di mana-mana. Tidak lagi berbumbungkan langit yang luas yang mana akan ditusuk-tusuk oleh matahari pagi yang tajam. Tidak lagi resah di kala hujan turun di waktu persekolahan. Hari ini dan seterusnya sekolah kita akan ditumpangkan di rumah Pak Muin.

Pak Muin adalah penduduk kampung yang paling banyak mendukung projek pendidikan untuk anak-anak di kampung ini. Sesampai saja aku di Sekolah Alternatif Tawau, Pak Muin keluar dari rumah dengan senyum manis dan mengajakku bercerita. Aku jadi serba salah dengan Pak Muin kerana terpaksa menyusahkan beliau sekeluarga. Rumah Pak Muin sangat kecil, apabila dia memberikan sebahagian ruang untuk dijadikan kelas maka aku risau akan memberikan beban kepada keluarga beliau. Aku mengajak Pak Muin berbincang jauh sedikit dari ruang kelas.

“Pakcik, maaf ya susahkan kau pulak.”
“Apa pulak susahkan, jangan kau risau ini perjuangan kita sama-sama.”
“Macam mana ni pakcik, makin sempit rumahmu.”
“Ndakpa ok sak, yang penting anak-anak ni ndak buta, biar dorang jadi masyarakat jangan buat maksiat, main judi, isap syabu. Kau tenang sak, pakcik bantu kamu.”

Aku jadi ndak terkata. Pak Muin bukanlah orang senang bahkan jauh lebih daif kehidupan keluarganya. Daripada awal lagi beliaulah yang paling banyak membantu. Beliau jugalah pada awalnya yang pergi ke setiap rumah untuk berbincang dengan penduduk kampung agar menghantar anak-anak mereka datang ke sekolah.

Banyak halangan yang kami tempuhi sekitar tahun 2015 apabila ingin memberi pendidikan untuk anak-anak tanpa dokumen ini. Sampai beberapa sekolah kami tergendala akibat tiada sokongan dari masyarakat luar dan autoriti. Ada masyarakat yang mengatakan anak-anak ini tidak patut disekolahkan. Mereka kata anak-anak ini tiada hak, membazir diberi pendidikan sebab nanti besar tetap akan jadi penjenayah. Autoriti pula tidak pernah meraikan projek ini, kami disusahkan dengan bermacam karenah birokrasi dan akhirnya mereka tidak merestui apa-apa bentuk projek pendidikan untuk anak-anak yang tiada dokumen.

Aku jadi marah apabila ada yang mengatakan anak-anak ini tiada hak untuk bersekolah kerana tiada sijil kerakyatan. Kenapa anak-anak ini jadi mangsa? Kita bertuah kerana dilahirkan bernegara, anak-anak ini tiada pilihan sebelum dilahirkan dari rahim ibunya. Kalaulah mereka ada pilihan sudah tentu mereka tidak mahu menjalani hidup daif lagi ditindas sebegini. Mereka sebagai manusia ada hak seperti anak-anak lain. Mengapa mereka yang dipersalahkan sedangkan sistem negara kita yang korup dan tidak jelas. Pergi  ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)  sudah berapa puluh ribu kali untuk permohonan mendapatkan apa pun bentuk dokumen diri. Aku tidak mahu menuding jari kepada JPN namun memang sistem mereka yang tidak pernah jelas, korup dan pegawai-pegawainya tidak bertanggungjawab. Berapa banyak keluarga yang memohon dan ditipu ribuan ringgit hanya kerana mahu mendapatkan dokumen diri. Sistem negara bangsa kita harus jelas dan memastikan semua orang yang berada di sempadan kita harus mempunyai apa pun bentuk dokumen diri. Dokumen penting untuk keselamatan, kesihatan, pendidikan, pekerjaan dan sebagainya.

Ada yang mengatakan kami tidak menggunakam saluran yang betul. Saluran betul bagaimana kalian maksudkan? SSedangka kerajaan sendiri tidak mengiktiraf anak-anak ini secara politikal. Maka apa-apa saja bentuk penglibatan anak-anak ini tidak akan diiktiraf. Kertas kerja telah lama kami siapkan, analisis, pembuktian keberkesanan projek pendidikan ini dan apa lagi? Kami masuk ke universiti-universiti berkempen dan membentangkan data-data dapatan kami. Kerajaan tidak pernah menganggap usaha ini untuk membantu mereka bahkan kerajaan baru tidak pernah mahu mendengar apa yang kami mahu perkatakan. Malahan kami ditangkap dalam perhimpunan aman #PandangKeSabah pada hari Malaysia September 2018 yang lalu kerana mengangkat isu ini. Pegawai Khas menteri pendidikan sendiri mengetahui projek ini dan aku sendiri bertemu beliau lalu menceritakan apa yang berlaku. Ketika berjumpa dengan Menteri Pertahanan baru-baru ini di Festival Demokrasi Publika Kuala Lumpur, beliau seperti tidak mahu mendengar apa yang aku ingin katakan. Aku bercakap panjang dan beliau tidak merespon apa-apa. Maklum balas selepas itu pun tidak ada. Lalu kami harus bagaimana?

Aku tuntut kata-kata dari Maszlee Malik (Menteri Pendidikan Malaysia), “Sekolah tidak boleh menutup pintu kepada anak-anak untuk mendapat pendidikan berkualiti. Jikalau anak-anak tidak mendapat pendidikan berkualiti mereka akan terdedah dengan gejala sosial. Ini tugas Kementerian Pendidikan untuk memastikan tidak tercicir dari pembelajaran, tidak terdedah dengan gejala sosial. Maka kita berikan pendidikan, sekolah. Pendidikan untuk semua. Untuk masuk ke sekolah kami tidak boleh membezakan anak-anak itu berdasarkan bangsa, agama, berdasarkan geografi dari mana beliau datang”.

Mengapa ribuan anak-anak tiada dokumen masih tidak dapat pendidikan di Sabah? Pengumuman Maszlee Malik adalah propaganda saja. Syarat dan birokrasi yang sangat ketat. Implimentasi itu sama saja di zaman rejim Barisan Nasional. Tiada beza, cuma dipropagandakan untuk menutup mulut orang ramai. Kalau tidak mampu atau tidak serius memperjuang nasib anak-anak ini, maka jangan dihalang organisasi bukan kerajaan mahu menjalankan projek pendidikan terhadap mereka.

Aku bersumpah atas nama pendidikan, tidak ada seorang kanak-kanak yang patut dinafikan hak untuk bersekolah di negeri ini. Bagaimanapun caranya pemerintah menekan, berulang kali ditangkap, disumbat dalam penjara atau ditembak mati aku tetap bersama anak-anak yang dinafikan hak untuk mendapat pendidikan ini. Aku anak jati negeri ini yang segar dari rahim universiti, segar dengan pembacaan dan ­pengamatan kelas masyarakat bawah. Aku merasai kesakitan kawan-kawanku yang melarat menderita setelah dewasa apabila mereka dinafikan hak untuk mendapat pendidikan. Berpuluh-puluh tahun isu ini tidak diselesaikan, ribuan anak-anak dinafikan hak sebagai manusia.

Segeralah pendidikan untuk semua!

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *