Oleh: Aakmal Yusop
Pasar ikan Kota Kinabalu hiruk-pikuk dengan suara penjual dan pembeli ikan. Pembeli menanya harga, cara memasak, serta bila ikan sampai, dan dijawab dengan keramahan penjual. Penjual mengharap ikan mereka dibeli pada hari itu, dan sudi melayan cerewetnya para pembeli.
Stephen berjalan menjenguk ikan-ikan segar yang terpampang di depannya. Seorang penjual menyiram air pada ikan basung, membersihkan ikan itu serta menyejukkannya.
“Berapa ini ikan?”
“Empat belas satu kilo, bos.”
“Boleh siang kah?”
“Boleh.”
Stephen mengamati ikan-ikan basung dengan cermat. Ikan yang tidak cedera kulitnya, insang masih merah muda, mata tidak merah berdarah, perutnya tidak mudah ditekan. Itulah pilihan Stephen, dan diletakkan di atas dulang besi. Dulang itu diangkat ke neraca.
“Empat kilo bang.”
“Bah, siang ya, nanti aku ambil.”
Tangan kirinya diketuk perlahan-lahan. Stephen tidak mengendahkannya. Dia berjalan laju sedikit, mahu melepaskan diri tapi takut tersandung oleh jubin yang basah. Tangan kirinya diketuk lagi.
Seorang nenek tua dan anak perempuan kecil melihat Stephen. Tangan kanan nenek itu menadah tangan, mulutnya senyap.
“Apa kau mau?”
Nenek itu menadah tangan kanannya, tapi matanya tidak merenung setajam tadi. Kanak-kanak perempuan itu pula melihat ke arah lain. Nenek itu mengerak lagi tangan kanannya.
“Eh, nda payah!”
Stephen berjalan lebih laju lagi. Dia mengharap untuk membeli tuna dan ayam laut lagi, dan sebarang permintaan kepada duitnya tidak akan dilayan. Nenek itu membiarkan Stephen berlalu pergi, meminta kepada orang lain yang lebih dermawan.
Namun, tiada ikan yang Stephen cari. Atas sebab tertentu, bot yang bertugas belum dapat menangkap ayam laut, dan tuna sudah habis dibeli.
“Bos, kalau mau tunggu tengahari. Bangkali ada itu datang.”
Stephen duduk menghirup kopi di gerai berhampiran. Pada pukul 11, dia datang semula ke pasar ikan. Setengah jam lagi menunggu, deruan enjin bot berhenti hampir dengan pasar ikan didengari. Para pemunggah ikan berteriak memanggil kawan-kawan untuk mengangkut ikan-ikan ke gerai-gerai yang ditetapkan.
Seretan tong-tong kuboid yang penuh dengan ikan segar membuatkan Stephen sedikit terliur. Dengan gorengan untuk beberapa minit, ia sudah cukup menjadikan ikan itu enak. Sedikit air liur terjatuh dari bibirnya, tapi sempat dilap.
Seekor ikan tuna sebesar sebuah motosikal diusung ke sebuah gerai. Beberapa pembeli sudah pun merapat, tetapi beberapa pekerja menahan mereka dan meminta mereka untuk bersabar. Penggerai yang bertugas memotong ikan mengasah lagi pisaunya, menghaluskan lagi ketajaman pemotong daging.
“Bang, jual sama saya itu ikan!”
“Eh, nda saya mau itu ikan!”
“Aku bagi RM lima ratus, aku pajak!”
“Enam ratus!”
“Tujuh ratus!”
Para pembeli mula berteriak antara satu sama lain. Seorang perempuan terkena liur seorang lelaki yang teriak terlebih sawan. Perempuan itu mengayun penumbuk, dan kawasan depan gerai itu bertukar menjadi mosh pit pergaduhan. Beberapa orang terjatuh, terpelecok, tersandung, dan terhempap satu sama lain. Stephen menarik tudung seorang perempuan dan menolak dia ke arah seorang remaja lelaki.
Para pekerja cuba meleraikan pergaduhan tapi gagal. Bahkan mereka pula ditumbuk. Harga yang ditawar sudah mencecah seribu tiga ratus ringgit. Stephen menolak keramaian pergaduhan itu dan merapat ke arah gerai tuna.
“Saya bayar seribu lima ratus…”
Kadang-kadang, ikan boleh menggelupur di atas darat jika tidak dibunuh awal. Ikan tuna itu menggelupur dan ekornya menampar mulut Stephen. Mosh pit itu terhenti seketika apabila Stephen terpelanting di kalangan mereka. Ia diteruskan dengan laungan harga yang lebih tinggi dan lebih banyak tendangan hingga terjatuh.
Stephen cuba memanggil orang untuk mengangkatnya tapi tiada seorang pun yang menyahut apatah lagi membantu. Stephen hanya mampu bernafas dan terumbang ambing di antara sedar dan pengsan.
Petang pun tiba. Pasar ikan KK siap dibersihkan. Stephen mula sedar. Bagaimana dia boleh duduk atas kerusi? Kenapa ada kopi dan kuih depan dia? Kenapa dia berbau macam ikan?
“Nak, nak, kamu bangun sudah?”
Stephen melihat nenek tadi mengusap kepalanya dengan lembut. Mata Stephen menjadi lebih terang. Mereka di sebelah Pasar Besar Kota Kinabalu, pada deretan gerai-gerai makan yang beroperasi di waktu malam. Nenek yang dia halau tadi, anak perempuan bersamanya, serta beberapa anak-anak lelaki melihat Stephen.
Stephen mengurut dahinya. “Apa yang jadi?”
“Kamu pengsan di depan gerai ikan. Saya jumpa kamu tadi masa orang mau kemas pasar ikan sudah. Jadi saya suruh anak-anak ini papah kamu keluar. Kamu ingatkah rumahmu mana?”
Stephen lupa negeri ini di mana. Oh ya, Sabah. “Ingat.”
“Mau makankah?”
Stephen melihat murtabak Jawa dan pisang goreng di depannya. “Bukan kamu pengemis kah?”
Nenek itu mengambil satu pisang goreng. “Kami miskin bukannya kami nda boleh beli makan.” Stephen terasa lapar. Ditampar ikan tuna memang membangkitkan selera makan. “Saya makan dulu ya.”
Stephen sudah menghabiskan dua ringgit pisang goreng, lalu meneguk kopi susu. “Nek, kenapa kamu jadi pengemis?” Nenek itu ketawa kecil. “Macamlah aku mau mengemis. Kau tau, dulu aku muda, aku ikut sekali itu laki-laki tangkap ikan.”
“Tapi aku satu hari itu jatuh terhempap ikan. Bukan berat sangat, tapi kalau tua, kaki kena sikit patah sudah. Alhamdulillah sembuh sudah, tapi bila mau kerja berat, sakit betul kaki mau tarik jala. Jadi berhenti lah. Anakku ada tiga, tapi kerja konstraksyen. Ada dipanggil, adalah gaji. Tiada dipanggil…”
Nenek itu menelan pisang goreng lagi. “Jadi sekarang ini, anak-anakku pun kerja, tapi nda cukup. Bapa diurang sakit-sakit, membayar doktor harga sampai beribu.”
Stephen menghirup kopinya. “Kenapa tidak pigi hospital kerajaan saja?”
“Tiada IC kami. Aku ada IMM13, anakku juga. Cucuku taeda. Surat beranak pun taeda. Jadi kalau pigi hospital kerajaan pun membayar macam swasta juga. Kalau nda ditangkap pulis lah.”
Kepala Stephen sudah segar sepenuhnya, mereka sudah kenyang, dan bulan tinggi di atas kepala.
“Nek, ingat itu kad. Kalau anak-anak kamu mau kerja kilang, boleh talipon. Gajinya tinggi juga itu.”
“Iya, nanti saya bagitau anak-anakku.”
Nenek dan cucu-cucu melambaikan tangan ke arah Stephen. Stephen memandu pergi, kembali ke rumahnya di Donggongon. Nenek memberi kad ke arah anak perempuan. “Dapat kamu baca ini kad?”
“Stephen Maximus, Strong Timbers Ltd.”
Nenek itu mengusap kepala cucunya. “Bagus, pandai cucuku. Memang patut kau pigi sekolah altenatip itu hari.”