Oleh: adiHJ
“Kalau boleh, aku mau jadi artis”, kata Melati kepada Rena pada malam itu.
“Artis? Ok lah tu, kau ni tinggi, badan langsing, cantik lagi. Kalau aku tinggi macam kau, aku pun mau jadi artis”, balas Rena.
“Jadi, kalau kau, kau mau jadi apa?”
“Kalau aku, polis. Sebab aku suka aktiviti lasak”
“Polis?”
“Yasss, boleh tangkap bangsat-bangsat yang dulu pernah sakitkan hati aku”, Rena menjawabnya sambil tertawa.
“Nda terlalu klisekah impian kau tu? Jadi serial killer cukuplah”.
“Serial killer?”
“Yalah, lagipun kerja kita sekarang ni pun sudah macam serial killer, tak payah susah-susah mau cari kerja lain kan?”
“Hmmm, nda mau aku, gila kau? Aku ni ndalah jahat sangat sampai mau bunuh orang yang nda bersalah”
“Yalah, kan impian tu boleh berubah-ubah”, jelas Melati sebelum meninggalkan bilik kecil mereka.
Betullah tu. Begitu juga dengan Melati. Dalam Grab dia memikirkan tentang benda yang sebenarnya sia-sia. Dari bangku sekolah dia mahu jadi artis. Malah, cita-citanya tidak pernah berubah sampai hari ini. Di saat rakan-rakannya sering kali berubah cita-cita waktu sekolah, mahu jadi polis, bomba, doktor dan paling klise, cikgu, sebab pekerjaan tu yang paling cool di mata budak sekolah. Dan juga di saat menjadi cikgu itu sudah tidak cool, cita-cita mahu berjaya dalam hidup atau ke menara gading dan sebagainya mengisi buku-buku biodata di sekolah menengah, Melati masih lagi utuh dengan cita-citanya mahu menjadi seorang artis.
Tapi, berapa ramai di antara kita yang mencapai apa yang dicita-citakan? Kematangan seseorang itu mengubah pandangannya terhadap dunia sekeliling. Ada yang menanam kematangan itu sebagai tidak mahu mengikuti jejak langkah ibu bapa dari segi karier, namun dari segi lainnya, seperti minat dan budaya, ia tidak hilang dalam sekelip mata. Barangkali bagi Melati, impian menjadi artis itu seperti mencapai bintang di langit. Namun, tidak bermakna dia tidak boleh menjalani kehidupan mewah seperti seorang artis. Barangkali juga, bagi Melati, dalam dunia ini ada dua jenis ketentuan, pertama, benda yang kau kejar, kau dapat; ikhtiar. Kedua, benda itu yang mengejar kau sendiri; takdir. The Beatles, sentiasa tahu apa yang mereka mahukan dari kecil, menjadi pemuzik, dan mereka berjaya atas ikhtiar dan usaha keras. Nabi Muhammad tidak pernah tanam impian mahu menjadi nabi, namun atas takdir yang telah ditentukan, maka jadilah dia.
Doubt is essential to faith bak kata Lesley Hazleton.
Jadi mana hilang mambang keyakinan kita untuk kejar impian?
Melati menolak persoalan-persoalan ini. Kakinya melangkah di malam minggu menuju sebuah hotel mewah di kota metropolitan. Di lobi, seorang mat saleh sedang menunggunya. Kacak dan berkarisma, sesuai dengan profil Melati. Saling berbalas senyuman, suka sama suka. Tanpa perlu bicara, Melati mengikutinya dari belakang menuju ke bilik hotel mat saleh tersebut.
Dalam perjalanan, Melati sempat berfikir, menjadi ‘Melati’ barangkali lebih elok daripada menjadi para ustaz atau ustazah yang menjual nama agama. Tapi itu cuma barangkali, dan barangkali itu tidak boleh dijadikan sebagai hujah di mahkamah. Dan sebetulnya, sebelum mahu menjadi artis, Melati bercadang mahu menjadi ustaz untuk mengubah dunia melalui akar umbi agama.
Begitulah.
Malam Sabtu, malam Si Kupu-Kupu Malam. Malam Si Melati. Melati bukan nama sebenar.