Oleh: adiHj

Semalam waktu makan malam bersama rakan, dia cerita tentang bagaimana nasi itu sebenarnya memudaratkan kesihatan. Panjang lebar dia bercerita tentang kebaikan oat berbanding nasi. Salah satunya, yang engkau ingat, kandungan karbohidrat dalam nasi itu tinggi. Jadi ianya membahayakan.

Engkau hanya diam sambil menikmati nasi goreng ikan bilis yang sejak pagi lagi engkau idamkan. Dan berfikir tentang bagaimana lah perasaan ayah engkau kalau dia dengar kata-kata kawan engkau. Sedangkan engkau membesar dengan menanam padi dan menjadikan padi tuaian sebagai sumber makanan setiap hari. Malah, tidak pernah engkau sekeluarga membeli beras di kedai. Lebih-lebih lagi, hasil tuaian setiap tahun itu mampu menampung hidup engkau sekeluarga. Malah, kadang-kadang lebih. Jadi terpaksa hulur kepada mereka yang memerlukan.

Terdetik di hati engkau, sekiranya engkau menceritakan kepada kawan engkau tentang hal itu, dia akan berceramah lagi tentang impak negatif petani padi yang menjadi penyumbang kepada masalah kesihatan di negara kita. Dan, bak kata poster-poster motivasi di Tumblr, “ignorance is bliss”.

Tiba-tiba dia tanya, bila engkau mahu menjalani hidup sihat? Engkau menggeleng kepala tanda tidak tahu dan tanda malas mahu layan. Dia mendengus, tidak bersetuju malah tidak berpuas hati dengan respon engkau. Jadi dia sambung menasihati engkau tentang kebaikan bersenam. Dan membacakan fakta-fakta yang dia kutip dari laman sesawang tentang kebaikan bersenam pada setiap hari.

Semakin panjang ceramahnya tentang hal itu, engkau merasakan ada baiknya juga bersenam. Lebih-lebih lagi, engkau yang bekerja di pejabat. Seperti robot setiap hari kecuali hujung minggu. Barangkali, dengan bersenam selepas waktu kerja, akan menggembirakan engkau. Lagipun, kawan engkau kata, bersenam itu boleh mengurangkan stress.

Tetapi, bila dia kata, yang dia sudah mendaftar untuk menjadi ahli di pusat gym dekat dengan pejabat, mempelawa engkau untuk serta, engkau menolak. Engkau merasakan ianya sesuatu yang tidak masuk akal untuk membayar yuran sebanyak RM50 setiap minggu. Dia gelak dan bandingkan dengan ubat mahal dari hospital swasta. Engkau rasa perbandingan dia itu pun tidak masuk akal. Kawan engkau itu barangkali sihat tubuh badan, tapi otaknya tidak cerdas. Mungkin.

Dalam kepala engkau, kenapa perlu ke gym untuk bersenam?

Usai makan, dia kata dia mahu singgah ke kedai runcit. Beli makanan ringan. Barangkali dia masih lagi lapar. Sebab tadi, dia cuma makan sayur dan daging saja. Malah menurutnya, sejak hari Isnin lalu, dia sudah menolak untuk memakan nasi dan hanya oat, sayur-sayuran dan sedikit daging sahaja yang mengisi peti ais di rumahnya kini. Engkau rasa dia sudah mengalami satu fasa di mana dia perlu menghabiskan masanya dengan membaca buku-buku tentang kematian atau hadir ke kuliah-kuliah agama sebelum dia terlambat.

Engkau hanya tengok dia membeli roti dan mentega. Untuk sarapan barangkali. Sebelum kami mengucapkan selamat tinggal, telefonnya berdering, katanya itu wanita yang dia kenal di gym.

Dan tanpa memberi respon apa-apa, engkau membiarkan dia menyambut panggilan itu dan melihat dia pergi ditelan oleh kegelapan malam. Menyedari yang engkau sudah terlalu lama bersendirian, dan mungkin engkau yang harus menghabiskan hujung minggu engkau dengan membaca buku-buku tentang kematian dan menghadirkan diri ke kuliah-kuliah agama.

Sebelum terlambat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *