Oleh: Mukmin Nantang

Pada bulan Mei ini maka genaplah setahun saya tinggal di perkampungan atas air. Keputusan untuk tinggal di rumah atas air adalah untuk saya memahami sendiri keadaan, kebudayaan, sosioekonomi dan cara hidup penduduk di perkampungan atas air selain membangunkan Sekolah Alternatif buat anak-anak tanpa negara di sini. Saya mula membuat advokasi dan kepedulian terhadap isu-isu rumah atas air dengan serius sekitar tahun 2015, semasa saya masih mahasiswa lagi. Selepas graduasi hujung 2017, saya mulai membuat perancangan untuk tinggal dan membuat kerja-kerja aktivisme dengan serius di kampung atas air. Mengikut pembacaan dan pengamatan saya di negeri Sabah, perkampungan atas air adalah kelompok masyarakat paling terabai dan banyak isu-isu yang tidak diangkat oleh badan-badan kerajaan atau badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Antara isu-isu perkampungan atas air adalah dilabel sebagai perkampungan setinggan, struktur perkampungan yang tidak selamat, masalah pengurusan sampah, tempat orang-orang tanpa dokumen, kebakaran kampung yang ekstrim, anak-anak tidak berpendidikan, sarang penagih dadah, sarang penceroboh atau pengganas, perobohan rumah orang kerajaan dan banyak lagi. Isu-isu ini ada yang sekadar persepsi dan ada juga yang benar-benar berlaku. Sebagai aktivis mahasiswa saya  melihat hal ini perlu ditangani bukan diabaikan atau kita terus-terus menghukum. Itulah sebabnya Mei 2018 saya beranikan diri untuk mencari rumah sewa dan tinggal sendiri di perkampungan atas air bagi memahami konteks sebenar bagaimana isu-isu atau persepsi-persepsi masyarakat boleh wujud terhadap mereka.

Tular Masalah Sampah Yang Melampau Di Perkampungan Atas Air Sabah?

Terlalu banyak isu, tidaklah saya boleh menulis semuanya secara terperinci melalui satu artikel. Di ruang ini saya ingin fokuskan kepada isu yang baru-baru ini tular tentang masalah sampah di perkampungan atas air Sabah yang dimuat naik ke media sosial dan mendapat perhatian ramai pihak. Untuk pengetahuan semua, gambar longgokan sampah yang disebarkan itu sememangnya terjadi dan tidaklah saya mahu menafikannya. Sebagai aktivitis saya berdiri di tengah-tengah pertembungan antara realiti masyarakat rumah atas air, persepsi masyarakat luar dan tanggungjawab pemerintah. Saya sudah pernah menjadi masyarakat luar yang membangunkan persepsi negatif, sekarang pula saya berada di realiti masyarakat kampung atas air  lalu saya memikirkan bagaimanakah pemerintah seharusnya mengambil peranan.

Masyarakat kita kebiasaannya sukar untuk melihat sebuah permasalahan dari akar dan kebanyakan NGO-NGO dan pemerintah juga begitu. Ramai mengatakan masalah sampah di perkampungan atas air ini adalah masalah kesedaran, masalah mentaliti, masalah sikap dan sebagainya. Inilah zikir-zikir kita dan akhirnya tidak melambangkan sebuah keseriusan dalam penelitian untuk menyelesaikan sesebuah isu, ia sekadar berlegar di permasalahan kosmetik luaran tanpa mengambil kira bagaimanakah hal ini boleh terjadi dari dalam. Kutukan-kutukan dan kecaman demi kecaman diberikan terhadap masyarakat perkampungan atas air tanpa mereka diberi peluang untuk membela diri dan difahami keadaan hidup mereka. Di media sosial mereka dihentam oleh masyarakat, NGO dan pemerintah datang dan label mereka dengan mentaliti kelas rendah lalu diadakan program-program kesedaran tentang alam sekitar. Puluhan tahun kempen kesedaran mereka disuap tanpa ada satu sistem yang mendokong agar mereka tidak buang sampah di laut. Akhirnya, kempen kesedaran cuma meyelesaikan KPI NGO dan KPI pemerintah tanpa menyelesaikan masalah ini secara konkrit dengan penganjuran sistem yang baik. Di manakah sampah-sampah ini mahu di buang, wahai syaitan yang direjam?

Sekitar Pengalaman Setahun Tinggal Di Rumah Atas Air

Saya membangunkan Rumah Kolektif Borneo Komrad di tengah-tengah komuniti perkampungan atas air. Di dalamnya bukan sekadar sebagai rumah tumpangan buat aktivis-aktivis yang ingin membuat kerja-kerja khidmat masyarakat namun rumah kolektif ini juga dijadikan rumah pendidikan sekolah alternatif buat anak-anak tanpa negara yang tidak diberikan haknya untuk mendapatkan pendidikan formal. Rumah ini juga ingin dijadikan model untuk masyarakat terutamanya dalam hal pengurusan sampah. Di rumah kolektif ini terdapat tong sampah dan bakul sampah di luar rumah  serta di dapur.

Pada awalnya, setiap hari saya akan keluar untuk mengangkut sampah-sampah ini ke tong sampah besar di darat. Bayangkan saya terpaksa berjalan lebih kurang satu kilometer untuk membuang sampah setiap hari. Saya sendiri pada awalnya rasa terbeban dan sangat marah, tidak masuk akal saya harus berbuat demikian setiap hari sepanjang saya tinggal di kampung atas air. Saya masih belum berkahwin, bayangkan jika penduduk yang sudah berkahwin dan mempunyai anak yang ramai, tujuh hingga sembilan orang anak. Hal ini sangat tidak masuk akal. Percayalah kalau rumah-rumah di darat tidak ada sistem pengurusan sampah yang baik kemungkinan besar kita juga akan membuang sampah di tepi rumah. Kita jadi angkuh kerana sistem pengurusan sampah kita sangat baik kalau tidak pun kita ada kemampuan kenderaan untuk membawa sampah-sampah kita ke tempat yang sepatutnya.

Sekarang saya mendidik anak-anak murid saya untuk membuang sampah di tong sampah dan setiap hari membantu saya untuk mengangkut sampah ke darat, semoga mereka mampu juga lakukannya di rumah mereka sendiri di masa akan datang. Selain itu, masyarakat sekeliling juga boleh melihat dan menjadikannya sebagai contoh. Sukarelawan yang datang menginap di rumah kolektif juga kita minta untuk merasai sendiri sengsaranya mengangkut sampah ke darat agar mereka tidak menjadi sebahagian manusia yang suka menghukum penduduk kampung atas air.

Pemerintah Harus Menyediakan Sistem Pengurusan Sampah Di Perkampungan Atas Air

Hujung tahun 2014, saya berpeluang ke Negara Brunei apabila mengikuti jelajah universiti dalam persembahan teater. Saya menanyakan teman-teman di Brunei, apakah yang unik boleh kami lawat di sini? Dengan yakinnya mereka menjawab “Perkampungan atas air.” Saya benar-benar terkejut waktu itu. Sedangkan bercakap tentang rumah atas air di Sabah tentu saja akan membangunkan perspektif negatif, bagaimana pula Brunei boleh mengatakan rumah atas air sebagai tempat yang seharusnya orang luar lawati?

Ketika saya pergi ke perkampungan atas air Brunei, pemerintah sedang mereformasi struktur rumah atas air dengan satu sistem yang lebih baik. Rumah dirobohkan mengikut fasa dan dibangunkan semula dengan struktur yang konkrit, sistem keselamatan, perkumuhan dan pengurusan sampah yang baik sama seperti rumah-rumah di darat. Pemerintah persekutuan Malaysia dan negeri Sabah juga harus mengangkat martabat rumah atas air.

Bagaimana masalah pembuangan sampah ke laut mahu dihentikan sedangkan kita tidak ada satu sistem yang mendokong mereka untuk membuang sampah di tolong sampah? Selain itu, tidak ada pula pihak yang diarah untuk menguruskan atau mengangkut sampah di rumah-rumah atas air.

Sampah Perlu Ada Nilai Ekonomi Atau Komersial

Pada awal pembukaan Sekolah Alternatif Semporna, saya pernah membuat bank sampah dengan meminta anak murid saya memungut sampah setiap kali datang ke sekolah. Bayangkan setiap hari sekitar 30 ke 40 orang anak murid saya akan datang membawa sampah botol minuman. Dalam masa sebulan, ratusan botol sampah dikumpulkan. Tapi malangnya di daerah Semporna ini bukan sahaja tiada disediakan tong-tong sampah di setiap rumah namun daerah ini juga tiada tempat pelupusan sampah atau pusat kitar semula.

Saya mencadangkan agar pusat kitar semula diwujudkan di daerah ini dan diperbanyak di negeri Sabah. Untuk menyelesaikan masalah sampah ini kita perlu memikirkan banyak perkara. Selain sampah harus diletakkan di mana, kita juga harus berfikir bagaimanakah ia mampu menjana pendapatan peribadi atau keluarga. Projek bank sampah saya tertunda akibat saya sendiri tidak tahu  mahu menyalurkan ke mana botol-botol tersebut. Kalau botol-botol tersebut boleh jadi duit, ia mampu menarik minat orang ramai untuk menyimpan atau memungut sampah yang boleh dikitar semua.

Pertahankan Rumah Atas Air

Perkampungan atas air adalah budaya Melayu Nusantara yang harus kita pelihara sebagai khazanah negara yang unik dan indah. Arus kemodenan hari ini cuba menolak dan memaksa orang yang tinggal di atas air untuk berpindah ke darat. Ini sangatlah melampau. Persekutuan Negara Malaysia baru wujud sekitar 50 tahun yang lalu sedangkan kampung air dan etnik-etnik maritim ini sudah wujud ratusan tahun yang lalu di sempadan ini.

Sepatutnya pembangunan negara kita mengambil kira aspirasi semua pihak, bukan mengejar pembangunan hanya untuk bangunan-bangunan tinggi tanpa memikirkan pembangunan moral, kebudayaan, sosioekonomi dan sebagainya. Bagaimanakah orang-orang di atas air boeh tinggal di rumah-rumah flat PPR sedangan mereka ada kebudayaan dan sumber ekonomi di laut? Pembangunan negara bangsa kita hari ini terlalu memaksa-maksa, sama juga seperti etnik orang asli yang tinggal di hutan hendak dipaksa tinggal di kota sedangkan hutan adalah sumber kehidupan mereka.

Ketamadunan bukan sekadar di kota. Hujan juga turun di hutan, pergunungan dan di tengah lautan.

Rumah Atas Air VS Chalet / Rumah Tumpangan

Hotel-hotel atas air tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Mengapakah rumah-rumah tumpangan untuk orang-orang asing dan orang-orang kaya ini mampu dibina struktur yang baik di atas laut dengan sistem keselamatan, perkumuhan dan pengurusan sampah? Mengapa tidak untuk rumah-rumah rakyat? Adakah pembangunan dan keindahan alam negara kita cuma untuk orang-orang asing yang kaya-raya? Tidak perlulah kita ke Brunei utuk melihat sendiri sistem pengurusan sampah bagi modul rumah atas air. Kita lihat sahaja chalet-chalet yang dibina di atas laut. Mengapakah mereka mampu ada pengurusan sampah yang baik? Bukankah ini satu contoh yang harus digunakan juga di kampung-kampung atas air? Sangat ironi kalau rumah rakyat di atas air diminta untuk pindah ke darat akibat faktor kita tidak mampu memberikan sistem yang baik sedangkan chalet-chalet mewah semakin merogol lautan ini. Rumah atas air sepatutnya diangkat martabatnya menjadi pusat kebudayaan dan pusat pelancongan yang mana akan memelihara khazanah kita yang unik ini selain membantu komuniti membangunkan ekonomi mereka.

Ingatlah pemerintah tugasnya memberikan dasar-dasar pro rakyat yang mensejahterakan. Oleh itu, aspirasi harus datang dari rakyat, bukan menganggap projek rakyat adalah projek yang tidak menguntungkan. Rumah atas air perlu direformasi dan dipertahankan.

Sekian terima kasih, merdeka!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *