Oleh: Aimie Henry Tan
Selalu dengar orang-orang membuat gambaran tentang mudahnya hidup sebagai kanak-kanak. Sama sekali tidak kompleks. Gula-gula. Kereta mainan. Ketingting. Secara klise-nya hampir semua orang percaya bahawa kehidupan sebagai kanak-kanak itu sebahagian besar babaknya yang indah-indah cuma. Baik, mungkin benar kanak-kanaklah yang hidupnya paling mudah. Tidak banyak kerunsingan bermain pada fikiran mereka. Kanak-kanak juga merupakan golongan yang mudah untuk disayangi – cepat menambat hati sesiapa sahaja. Perkara ini mungkin disebabkan oleh sifat dan perwatakan kanak-kanak yang kebiasaannya dikatakan riang dan ceria. Jadi mungkin juga simpul mudahnya, berhadapan dengan kanak-kanak merupakan satu perkara yang tidak berat dan seronok untuk dilakukan.
Mula berpindah ke Semporna sejak Januari yang lalu. Berpindah ke sini atas tawaran kerja menggalas tugas untuk mendidik kanak-kanak tanpa negara yang rata-ratanya berasal dari sebuah perkampungan atas air yang dikenali sebagai Kampung Bangau-Bangau. Kehidupan anak-anak ini sangat bergantung dengan air. Di sini kanak-kanaknya yang kelihatan sangat bersukacita dengan kehidupan mereka, cenderung berkejar-kejaran di sepanjang jambatan. Berjaja di tepian jambatan. Duduk melepak bergelak tawa; juga di atas jambatan. Di atas airlah rumah mereka dan di atas air jugalah pekik tempik, derai tawa, segala mimpi dan cita-cita mereka bebas bergentayangan. Maka tidak hairanlah Sekolah Alternatif Semporna dibangunkan dengan konsep sekolah atas air, menepati corak kehidupan kanak-kanak di sini.
Sekolah yang menampung hampir 50 orang kanak-kanak ini memuatkan pelbagai latar belakang dan cerita kehidupan kanak-kanak yang dinafikan kenegaraannya. Sungguhpun begitu anak-anak di sini nampaknya menikmati indahnya kehidupan sebagai kanak-kanak. Mungkin kerana mereka masih terlalu kecil untuk memahami kepentingan mempunyai identiti diri yang diiktiraf. Mengamati kehidupan mereka di sini memberi seribu satu rasa. Dulu semasa mula-mula sampai di Sekolah Alternatif Semporna ini, Jesika anak yang paling tidak canggung mengajak berbual; galak memulakan cerita dan banyak melontar soalan yang serba-serbi kononnya sebagai bab awal perkenalan. Budaknya periang. Bercakap dengan sangat laju. Berdasarkan cerita anak-anak yang lain di sini, dia dan kakaknya Julita mempunyai tahap kreativiti yang tinggi dan mempunyai bakat seni secara semula jadi sama ada dalam penghasilan kraf, nyanyian mahupun teater. Menarik dan begitu luar biasa.
Bersentuhan dengan kanak-kanak di sini banyak mengajar tentang betapa peri pentingnya hati yang sanggup untuk mengasihi itu mampu mengubah banyak hal. Tidak kurang juga mustahaknya untuk melihat kehidupan dari sudut pandang mata mereka sebelum bertindak untuk melakukan satu tindakan. Pada awalnya berdepan setiap hari di sekolah dengan Halid, 12 tahun bukan satu perkara yang harus digusarkan sangat. Orangnya aktif. Suaranya sedap bernyanyi. Berimpian menjadi seorang ustaz. Pandai berseloroh dan adakalanya lebih kepada sakat. Ini sangat hampir membawa kepada kejengkelan kalau tidak hemah dalam mendepani dia. Setelah berpeluang melawat ke rumahnya, terbitlah rasa yang bercampur-baur. Bersalah kerana selama ini merasakan dia hanya seimbas tubuh kanak-kanak yang terlebih aktif, celupar dan menjengkelkan. Terkilan kerana tidak pernah tahu hidupnya di luar sekolah seperti apa. Bangga kerana anak ini tetap semangat ke sekolah sungguhpun harus melalui titi rapuh nan sekeping setiap hari semata-mata untuk menghadirkan diri ke sekolah mengejar ilmu.
Kini setelah lebih tiga bulan dibakar hangatnya bahang matahari Semporna, semakin banyak perkara-perkara baru yang membuka mata, menggugah rasa bahkan menggugat sabar. Ternyata ada kanak-kanak yang hidupnya rumit hanya kerana ketiadaan sekeping kertas yang memperakui kewujudannya. Ternyata ada kanak-kanak yang hidupnya tidak semata-mata berkisar tentang gula-gula, kereta mainan dan ketingting. Sabrin, 16 – paling tua setakat ini. Serba boleh. Pandai dalam banyak hal. Kerja kayu. Muzik. Cetak baju. Dikhabarkan dia sebelum ini mula bekerja seawal usia 14 tahun kalau tidak silap, dengan gaji RM350 dan bekerja selama 12 jam sehari di sebuah kedai makan sekitar pekan Semporna. Dia tidak seperti kanak-kanak lain – yang menurut stereotaip orang-orang hidupnya mudah dan babak hidupnya indah-indah nian.
Seratus sebelas hari (masih) belajar mencintai Semporna, anak-anak tanpa negara dan Kampung Bangau-Bangau. Sepanjang seratus sebelas hari juga (sudah) belajar akan pengertian baru kepada keperluan pendidikan, kemerdekaan dan kehidupan kanak-kanak. Ketika kita cuba untuk mendidik anak-anak segala hal tentang kehidupan, mereka mengajar kita tujuan untuk hidup. Semoga sejahteralah hari-hari mendatang buat kanak-kanak di sekolah ini dan semoga kekal teguhlah hati untuk terus berbakti di sini.