Oleh: Nurhuda Manshoor

Kita baru sahaja diperkenalkan dengan mi segera minda, yang khasiatnya boleh memberi tenaga dan mencerdaskan minda. Beruntunglah pelajar universiti zaman sekarang. Makanan ruji mereka kini bukan sahaja membuat mereka sihat dan kuat, malah menjadikan mereka bijak dan pintar.

Mi segera yang didatangkan dengan perisa sup dan kari ini dikatakan tidak mengandungi sebarang bahan kimia. Produk ini bukan sahaja dihasilkan dari bahan organik, malah disaluti kurma dan kismis, bahan makanan sunnah yang paling utama. Ia juga 100% keluaran bumiputera, maka secara automatik status halal tidak perlu diragukan lagi.

Produk suplemen untuk kecerdasan otak ini bukan baru. Produk pertama seumpamanya di Malaysia adalah persediaan homeopati dengan jenama Examo. Produk ini diperkenalkan sekitar tahun 80an dan dijual oleh guru-guru di sekolah. Ramailah ibubapa yang membeli dan murid yang menggunakannya.

Kejayaan pemasaran produk ini kemudiannya mendapat perhatian pengeluar-pengeluar produk makanan. Pelbagai produk suplemen untuk tujuan yang serupa dikeluarkan dengan pelbagai formulasi. Ada yang menggabungkan pelbagai jenis buah-buahan eksotik, ada yang mengandungi ramuan rempah ratus tradisional, ada juga kombinasi makanan-makanan sunnah. Banyak produk makanan biasa mula diperkaya dengan vitamin dan mineral. Tidak lupa juga produk yang telah dibacakan dengan surah-surah pilihan.

Untuk meluaskan pasaran kepada pelbagai lapisan masyarakat dan umur, pengeluar menghasilkan produk dalam pelbagai bentuk dan perisa. Ada yang dalam bentuk pil dan tablet, untuk mudah dikonsumsi, ada dalam bentuk sachet, untuk mudah dibawa kemana-mana, ada juga dalam persediaan susu formula, untuk kanak-kanak dan bayi.  

Di zaman sijil-kelulusan-tinggi-sangat-berharga-sehingga-boleh-diniagakan ini, produk-produk suplemen minda ini amatlah diperlukan oleh rakyat Malaysia. Berbondong-bondong ibubapa membeli suplemen untuk anak-anak mereka, bukan sahaja yang bersekolah, malah sudah ada suplemen untuk bayi. Bukan sahaja bayi yang sudah lahir, yang belum lahir pun ada. Produk ini diformulasikan untuk ibu-ibu mengandung agar anak mereka yang bakal lahir nanti cerdas dan pintar.

Jika mengikut perkiraan, semenjak produk minda pertama dikeluarkan, pada tahun ini orang Malaysia yang berumur 40 tahun ke bawah tentunya ramai yang menjadi angkasawan, pemenang hadiah nobel, seniman tersohor, saintis NASA, artis bertaraf dunia. Kita kini tentunya sedang membangunkan prototaip kapal angkasa yang boleh berperang di angkasa lepas, dikuasakan dengan minyak sawit, dengan harga mampu milik.

Penjualan suplemen kecerdasan otak ini bukanlah sepenuhnya tidak baik. Sudah ada yang menjadi jutawan, tetapi lebih ramai lagi yang telah tertipu dengan harapan-harapan palsu. Bukan sedikit ibubapa yang mengikat perut dan berjimat cermat supaya dapat membelikan anak-anak mereka suplemen minda, agar menjadi cerdik, semoga cerahlah masa depan mereka.

Walaupun struktur dan fungsi otak kita teramatlah kompleks, namun secara mekanistiknya, cara otak berfungsi telah banyak difahami oleh para saintis. Pelbagai reseptor dan neuron yang terdapat di dalam otak telah banyak dikaji, arus dan litar yang saling berhubungan di dalam otak telah banyak difahami. Penyakit-penyakit yang melibatkan degenerasi otak dan ketidakseimbangan elektrolit di dalam otak telah ditemui ubatnya. Bahan-bahan kimia di dalam otak yang bertanggungjawab terhadap ekspresi perasaan dan mood juga telah dikenalpasti dan berjaya dimanipulasi.

Begitu banyak kajian yang dilakukan ke atas otak, belum ada pakar neurosains yang menemui makanan atau ubatan yang boleh meningkatkan fungsi kognitif otak. Bagaimanapun otak kita boleh dilatih dan dirangsang untuk menjadi lebih aktif, fokus, kreatif, tenang, rasional dan tidak bercelaru. Oleh kerana otak mengawal fungsi tubuh dan pergerakan anggota badan, perlakuan dan tabiat kita pula boleh memberi input kepada otak dan membuatnya bertindakbalas.

Seperti juga tubuh badan, otak perlu sentiasa diaktifkan untuk mengekalkan kesihatan dan kecerdasannya. Cara mengaktifkan otak ialah dengan sentiasa berfikir perkara yang kompleks, cuba menyelesaikan masalah rumit (matematik contohnya), melakukan sesuatu yang abstrak (melukis, bermain/mendengar muzik, melakukan aktiviti seni), mencabar minda belajar perkara baru (bahasa baru, menulis, kemahiran pertukangan) dan yang paling penting ialah banyak membaca buku. Membaca merangsang otak untuk berkerja dan berfikir sekaligus. Terdapat kajian saintifik yang membuktikan bahawa warga tua yang tidak membaca lebih mudah menghidap penyakit alzheimer.

Selain itu, pemakanan yang baik juga boleh membantu meningkatkan kesihatan otak. Vitamin B kompleks, zat besi, zink dan magnesium penting untuk nutrisi otak. Tetapi bahan mineral ini bukanlah bertindak secara langsung untuk mencerdaskan otak. Bahan-bahan ini membantu penyerapan glukosa, untuk membekalkan tenaga kepada otak. Ini kerana otak kita dilindungi oleh blood brain barrier, satu lapisan yang menghalang apa-apa bahan kimia dari memasuki otak dengan mudah. Oleh itu penyerapan glukosa (atau apa-apa nutrien) ke dalam otak perlukan bantuan bahan nutrien lain.

Seringkali produk-produk minda didakwa mengandungi nutrisi-nutrisi yang telah dibuktikan berfaedah dari kajian saintifik, contohnya omega-3. Omega-3 adalah sejenis asid lemak dan biasanya diwakili oleh docosahexanoic acid (DHA) dan eicosapentanioic acid (EPA). Bahan-bahan ini memang amat penting dalam diet seharian, tetapi tidak pernah dapat dibuktikan memberi kesan yang signifikan kepada perkembangan kognitif otak.

Benar, bahan-bahan nutrien ini penting di dalam diet seharian kita. Namun ibubapa dan pelajar universiti tidak perlu berhabis duit untuk membeli produk-produk yang mengandungi nutrisi ini. Omega-3 boleh didapati secara semulajadi dari ikan. Selalunya ikan salmon yang dicanang sebagai kaya dengan omega-3. Ini kerana kita merujuk kepada kajian di luar negara. Di Malaysia, terdapat banyak ikan yang kaya dengan omega-3, contohnya ikan tenggiri, tuna (ikan tongkol), sardin dan ikan bilis. Telur juga mengandungi omega-3, malah kini terdapat telur yang diperkayakan dengan DHA (sejenis omega-3 juga).

Manakala sumber bagi vitamin B kompleks, zat besi, zink dan magnesium boleh didapati daripada makanan laut seperti ikan dan kerang-kerangan, telur, daging, sayuran hijau, kekacang dan susu. Glukosa, pembekal tenaga utama kepada tubuh merupakan gula ringkas hasil dari pencernaan karbohidrat. Tidak perlu membeli produk yang mengandungi glukosa kerana sumber karbohidrat boleh didapati dari nasi, roti dan mi.

Amat penting untuk menjaga kesihatan kerana badan yang sihat menjamin otak yang cerdas. Makan makanan berkhasiat, mengamalkan gaya hidup aktif, elakkan tekanan dan jauhi tabiat merokok merupakan amalan yang mudah dilakukan untuk menjaga kesihatan. Tidak perlu berbelanja besar dengan membeli ubat-ubatan dan suplemen.

Jika saya perlu mencadangkan satu bahan yang paling berguna dan amalan yang paling berfaedah untuk perkembangan minda kanak-kanak dan orang dewasa, saya cadangkan belilah buku-buku dan amalkan tabiat membaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *