Oleh: Naim Fahmi

Drama yang orang Sabah tak dapat lupa pasca-PRU14 adalah ‘Drama Ketua Menteri’. Ini bukan kali pertama Sabah ada drama melibatkan Ketua Menteri. Cuma kali ini pelik sedikit sebab ada dua Ketua Menteri dalam satu masa.

Sebelum drama antara Datuk Seri Shafie Apdal (DSSA) dan Datuk Seri Musa Aman (DSMA) pada tahun lalu, drama yang sama pernah berlaku pada tahun 1994 melibatkan Tun Sakaran Dandai dari UMNO dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dari PBS. Waktu itu PBS dan UMNO belum lagi bersama dalam gabungan BN.

Kalau DSSA mengangkat sumpah menjadi Ketua Menteri akibat ADUN BN melompat ke parti Warisan, pada tahun 1994 pula ADUN PBS telah melompat ke dalam parti BN. Insiden ‘lompat katak’ ini bukan perkara baru dalam suasana politik Sabah, hatta nasional pun. Usah hairan anak muda.

Daripada 48 kerusi DUN Sabah, PBS menang majoriti mudah 25 kerusi awalnya, BN yang diketuai UMNO cuma ada 23 kerusi. Kabinet yang dibentuk Tan Sri Pairin cuma bertahan selama dua minggu sahaja, sebelum ADUN dari PBS melompat ke parti BN secara beramai-ramai sebagaimana ADUN BN cuba buat sekarang. Memandangkan dah jadi minoriti, Tan Sri Pairin terpaksa melepaskan jawatan kepada Tun Sakaran.

Kini karma telah berlaku atau sejarah berulang? Kita tanya orang dulu-dulu di Semporna, mereka akan ingat peristiwa ini sebagai ‘Raja Lepa-Lepa menawan sebuah bukit (istana)’. Mungkin kerana beliau adalah ADUN pertama Semporna.

Oh ya, jangan juga lupa pada waktu itu Tun Mahathir pun sebagai Perdana Menteri. Namun, tak pasti sejauh mana khabar angin mengatakan beliau terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Karmanya mungkin hanya terjadi kepada UMNO Sabah, apabila dikatakan parti ini bakal ditinggalkan berjemaah jika DSMA dan lain-lain pemimpin UMNO dijangka masuk ke PBS bagi membentuk sebuah gabungan yang baharu iaitu Gabungan Bersatu (entahlah, gabungan lagi, bersatu lagi).

Apa-apapun, Tan Sri Pairin sangat bermaruah menyerahkan kuasa kepada BN setelah menyedari partinya cuma minoriti. DSMA pula tidak terlalu awal untuk di-troll. Ramai yang belum tahu apa pengakhiran drama ini.

Beliau bukan tidak tahu ADUN majoriti boleh menurunkannya melalui undi tidak percaya. Andai kata Sabah terpaksa adakan pilihanraya kecil, Gabungan Bersatu ada peluang untuk menang jika ADUN Warisan pula melompat ke PBS.

Namun, tak sampai sebulan tiba-tiba DSMA menghilang. Khabar angin mengatakan beliau melarikan diri ke luar negara melalui Sipitang. Seluruh negara mengagak beliau lari kerana takut skandalnya bakal terbongkar. Kejadian ini menjadi satu jenaka kepada rakyat Sabah. Orang-orang UMNO pula semakin menggelabah sebab tak ada idea nak pertahankan bekas ketua mereka.

Tak lama kemudian, pihak DSMA keluarkan kenyataan bahawa beliau ke London untuk bawa kes Ketua Menteri ini ke mahkamah antarabangsa, kononnya berlaku rampasan kuasa. Tapi dah terlalu lambat. Kalau beliau cuba ‘fight’ pun dah tak ada orang nak peduli. Orang-orang UMNO sendiri pun dah mula menjarak diri dari beliau. Rakyat dah tak percaya, cybertrooper semua dah cabut awal.

Akhirnya, DSMA tak dapat bertahan. Sebaik sahaja beliau kembali ke tanah air, semua skandal beliau semasa menjadi Ketua Menteri dikorek dengan pantas. DSMA cuba kembali melalui imej baru, dengan berjambang dan songkok tinggi. Tapi taktik ini pun tak berjaya menarik simpati rakyat Sabah. Maruah beliau benar-benar telah tercalar dalam sejarah Ketua Menteri Sabah.

* Gambar Setiausaha Sulit TYT Sabah, di perkarangan rumah Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Aman untuk menyerahkan surat pemberitahuan bahawa beliau bukan lagi Ketua Menteri.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *