Oleh: Syed Ahmad Fathi

Baru-baru ini seorang sahabat yang sangat rapat dengan saya berkongsi bahawa perdebatan politik adalah perkara yang sia-sia, ia tidak akan mengubah apa-apa, setiap orang akan terus bersama pendapat yang dia percayai, dan yang paling jelas, setiap orang akan membenci antara satu sama lain. Ada juga yang menambah bahawa mereka yang berdebat berkenaan dengan politik selalunya tidaklah berfikiran munasabah tetapi hanya mempertahan ego masing-masing.

Di atas permukaan, saya kira secara umum pandangan ini ada benarnya. Namun jika kita cuba melihat dan memahami dengan dalam, walaupun ia benar, ia bukanlah sebenaran yang seluruhnya, it’s true but not the whole truth. Ia adalah salah satu conventional wisdom, dan jika kita membaca buku Freakonomics tulisan Dubner & Levitt, kebanyakan conventional wisdom tidaklah begitu tepat jika kita mengkaji dengan lebih mendalam, mendasar, dan melihat kepada hujahnya yang asas. Ada satu petikan yang menarik;

The worst illiterate is the political illiterate, he doesn’t hear, doesn’t speak, nor participates in the political events. He doesn’t know the cost of life, the price of the bean, of the fish, of the flour, of the rent, of the shoes and of the medicine, all depends on political decisions. The political illiterate is so stupid that he is proud and swells his chest saying that he hates politics. The imbecile doesn’t know that, from his political ignorance is born the prostitute, the abandoned child, and the worst thieves of all, the bad politician, corrupted and flunky of the national and multinational companies.”

Petikan ini sering dinisbahkan kepada karyawan German, Bertolt Brecht. Namun pemilik kata-kata ini merupakan sesuatu yang masih dipertikaikan, ada yang menyatakan ia bukanlah dari Brecht. Tapi yang lebih penting dalam hal ini adalah mesej bukan penyampai mesej. Dalam kata lain, kita boleh berpura-pura untuk tidak ambil tahu hal-hal politik, tetapi akhirnya kehidupan kita akan ditentukan oleh keputusan-keputusan ahli politik.

Dan keputusan ini tidak sedikit kesannya kepada kehidupan manusia di alam nyata. Ambil contoh yuran universiti awam. Sekiranya ahli politik mengambil keputusan untuk menghapuskan subsidi dan mengapungkan yuran mengikut harga pasaran, yuran akan melambung naik dan menyekat keluarga miskin dari menghantar anak mereka untuk pengajian peringkat tinggi. Warga miskin akan hilang keupayaan untuk bergerak dalam mobiliti sosial dan tidak dapat keluar dari kelas kemiskinan. Mungkin juga kita hilang peluang yang sangat penting kerana mungkin ada anak-anak miskin ini yang berbakat, dan jika digilap, mungkin akan menjadi Einstein atau Stephen Hawking seterusnya.

Sebab itu hatta dalam Islam, politik tidak dipisahkan dalam hidup, malah Islam merangkumi semua aspek dari individu kepada negara, dari keluarga kepada masyarakat, sosial sehingga ke perundangan, tidak dipisah-pisahkan seperti ajaran sekular. Namun politik yang dimaksudkan bukanlah politik kepartian yang sempit. Kita perlu mampu membezakan antara politik parti sempit yang hanya menukar satu kelas elit kepada kelas elit lain dengan politik yang benar-benar mengubah polisi dan membawa kepada kebaikan.

Antara artis kegemaran saya adalah Gavin Aung Than, yang berkarya menggunakan nama pena Zen Pencils. Beliau sering melukis berkenaan dengan individu-individu yang memberi motivasi. Dalam satu karya strip komik beliau, beliau melukis berkenaan dengan bagaimana Pablo Picasso menghasilkan karya agung beliau ‘The Guernica’. Picasso bertanya, “Apakah sebenarnya seorang artis itu?” Adakah dia hanya seorang yang mahir melihat jika dia pelukis, atau seorang yang mahir mendengar jika dia pemuzik? Tidak, artis juga adalah makhluk politikal yang patut memberi respon, melawan dengan karyanya. Guernica adalah karya Picasso sebagai ekspresi beliau menentang pengeboman bandar Guernica oleh tentera Nazi German yang mengorbankan 1600 nyawa.

Jadi, ya, politik itu tidak kurang pentingnya dalam kehidupan. Tapi perlukah kita berdebat?

Saya suka jawapan Professor Bernard Lewis dalam ‘The MESA debate: The Scholars, the Media, and the Middle East’ yang diadakan pada 22 November 1986, yang mana antara tokoh lain yang berkongsi pentas pada acara debat itu adalah Prof. Edward Said. Beliau menyebut “Tiada apa yang kita katakan atau lakukan akan memberi kesan sedikitpun, kita tidak boleh merubah apa-apa, kita malah tak boleh merubah pendapat satu sama lain.”  Beliau menambah, “Apa yang boleh dan patut bincangkan adalah diri kita sendiri, peranan dan tanggungjawab kita sendiri, tugas kita adalah menyampaikan kefahaman kita kepada orang lain.”

Mungkin betul, sesetengah orang berdebat kerana mereka egois, tetapi ada juga kemungkinan bahawa ada yang ingin mencari kepastian, mereka mahu menguji idea mereka, jadi diletakkan idea itu di tengah masyarakat untuk dinilai hujah lawan dan kawan. Melalui proses kritikan, sesuatu idea, fakta, atau perspektif itu boleh dinilai. Sudah tentu nilaian manusia berbeza-beza, setiap manusia mempunyai latar pendidikan berbeza, ada yang belajar untuk mendapatkan sijil, ada yang membeli sijil. Setelah kita mendapat hujahan balas, terpulang kepada kita untuk memilih apa yang kita mahu pegang mengikut faham masing-masing. Paling kurang kita faham rasional orang yang mempunyai pandangan berbeza. Atau mungkin mereka memang egois.

 


Tulisan ini pernah tersiar dalam https://bersamakepuncak.blogspot.com/2019/02/perdebatan-politik-yang-sia-sia.html.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *