Oleh: Mohd Rosyaidi
Meneguk secangkir kopi
merasa kejujuran rasa pahit
yang memang ditunjukkan
daripada warnanya.
Tapi terkadang penipuan
juga terasa kerana sedikit manisnya
di sebalik warna kelam
daripada kopi itu.
Begitu jugalah jika mata ini
melirik ke arah simpang itu.
Simpang yang menjadi
jalan untuk kedua kaki ini
yang tidak kurang pahit cabarannya.
Namun dari segala pahit duka
dan kekecewaan semasa
menyelusuri jalan itu
masih menyimpan senyuman manis
penipuan.
Kejujuran pahit itulah yang ingin ditutup
melalui penipuan kemanisan
supaya tidak siapa pun tahu
cerita dan kisah duka perjalanan di simpang itu.
Ya,
Simpang perjalanan untuk cita dan kepercayaan yang dahulunya bersama-sama diimpikan dan ingin dicapaikan.
Kini,
hanya mampu melihat ke simpang itu
dengan meneguk pahitnya kopi itu sambil mengukir senyuman manis penipuan.