Oleh: Nurul Afiqah

Sejarah merupakan salah satu silibus yang paling banyak mendapat tolakan daripada pelajar-pelajar. Sebut sahaja “Sejarah”, mereka sudah mula melenting malah bersuara, “Sejarah hanya ditulis untuk kertas peperiksaan.” Subjek Sejarah sudah terang lagi bersuluh merupakan salah satu subjek yang kurang diminati oleh pelajar.

Sejarah secara ringkasnya berasal daripada bahasa Arab syajarah yang diambil daripada perkataan syajaratun. Syajaratun bermaksud pohon dalam bahasa Melayu. Mengapa ia dianalogikan dengan perkataan pokok ialah kerana pokok mempunyai ranting yang dipersonafikasikan sebagai cabang-cabang.

Mengapa kita perlu belajar Sejarah? Sejarah itu dapat didefinisikan sebagai asal-usul. Secara tidak rasmi, kita perlu belajar Sejarah untuk tahu asal-usul kita serta peristiwa-peristiwa yang membentuk sesebuah tamadun. Tanpa ilmu tentang sejarah dan tamadun, manusia akan menjadi manusia yang tidak berperikemanusiaan, hilang jati diri serta diselubungi kejahilan serta boleh menjurus kepada keruntuhan akhlak. Begitulah pentingnya ilmu sejarah kepada manusia.

Sepertimana yang telah disebutkan oleh Ibn Khaldun. Generasi pertama yang menghidupkan tamadun ialah generasi yang mempunyai semangat kekitaan ataupun dipanggil sebagai assabiyah, generasi kedua pula lahir manusia-manusia yang tinggi inteleknya, wujudnya satu kemajuan iaitu teknologi. Generasi terakhir merupakan generasi yang paling rugi sebab terlalu selesa hidup dalam kemewahan dan teknologi lalu menjurus kepada keruntuhan akhlak. Manusia jadi malas dan inilah salah satu impaknya, tiada lagi rasa hormat, nilai-nilai murni ditelan oleh jumud, mati ijtihad. Lahirlah kembali manusia-manusia yang semakin pupus ketamadunannya.

Bertitik tolak daripada teknologi yang semakin mapan, ilmu tentang sejarah dilihat sebagai perkara yang enteng sahaja kerana sains dan teknologi telah diangkat tinggi serta dianggap sebagai ilmu utama yang mengangkat modernisasi, yang mengangkat darjat manusia. Salah satu sebab ilmu sejarah dipandang enteng adalah disebabkan kemajuan teknologi yang dicipta untuk kepentingan ekonomi dan seterusnya wujud rasional-instrumental yang telah menentukan citra kita sebagai manusia.

Ayat “belajar sejarah untuk peperiksaan’’ seakan-seakan melahirkan pelajar yang mencapai tahap pengetahuan mereka secara mutlak dan objektif. Mereka hanya belajar untuk peperiksaan dan bukan untuk mendalami ilmu. Ilmu sejarah seakan-akan menjadi alat hegemoni yang hanya memenuhkan keperluan kepada sesuatu benda. Apabila sains dilihat lebih tinggi daripada nilai kemanusiaan, maka lahirlah manusia yang hilang manusiawinya, bila ilmu bersifat seketika dan dipelajari hanya untuk sekeping sijil.

Ada beberapa sebab yang membuatkan pelajar-pelajar tidak berminat untuk mempelajari sejarah. Mungkin daripada teknik mengajar guru itu sendiri yang hanya membacakan teks dan fakta-fakta kepada pelajar, memfokuskan apa yang hanya keluar untuk peperiksaan. Mungkin juga disebabkan isi buku teks itu sendiri yang hanya mengandungi fakta-fakta tanpa cerita yang lengkap, cerita yang tergantung akan menghilangkan minat pelajar untuk mempelajari sejarah. Sebagai pendidik, seorang guru harus mencari dan membuat eksperimen untuk mengajak pelajar mencintai sejarah. Sebagai contoh, seorang guru boleh menceritakan sejarah dengan menggunakan pelbagai kaedah, menggunakan video atau dokumentasi serta filem untuk menarik minat pelajar agar mereka tidak bosan mempelajari sejarah. Seorang guru yang berfungsi untuk mendidik perlu mengambil serius berkaitan hal ini, kerana sejarah membentuk manusia daripada nilai-nilai dan pengajaran yang terdapat dalam peristiwa yang berlaku. Sebagai contoh, sejarah kemerdekaan mendidik kita untuk menghargai pejuang-pejuang negara serta melahirkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar.

Untuk menjadi manusia yang manusia, kita perlukan kebebasan untuk memproses diri kita melalui pemikiran dan sensitiviti untuk jadi lebih baik dari hari ke hari. Oleh itu, untuk mempelajari ilmu sejarah tidak perlu untuk kita terus hidup di bawah jajahan rasional-instrumental ataupun mentaliti belajar untuk lulus. Sebagai manusia, mempelajari ilmu adalah satu kaedah dalam usaha mencapai kesempurnaan menjadi manusia.

Untuk menjadi manusia yang penuh manusiawi, kemanusiaan perlu diterapkan dalam diri dan melalui sejarahlah kita dapat menyelami nilai-nilai murni untuk terus memperbaiki diri kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *