Oleh: Naim Fahmi
Maaf, perkongsian saya tentang kopi kali ini mungkin agak kontroversi. Mungkin ada pengusaha dan penggemar yang sinis.
Umumnya, kopi ini merupakan antara termahal di dunia. Harga bagi secawan kopi luwak di Amerika Syarikat mampu mencecah USD 80. Ia dipopularkan sejak era-Tanam Paksa Kolonial Belanda di Indonesia.
Sebelum ini, sudah saya ceritakan bagaimana nasib petani yang tidak dibenarkan mengambil biji kopi sehingga meminum ‘kopi daun’ yang dibuat dari daun kopi menjadi satu kelaziman di Sumatera. Selain daun kopi, petani-petani era-Tanam Paksa hanya dapat mengambil sisa-sisa biji kopi yang boleh didapati dari najis haiwan. Mereka berjaya menemukan haiwan yang gemar memakan biji kopi ini – luwak.
Biji kopi yang dikeluarkan dari anus luwak ini dikutip, dibersihkan, dipanggang, ditumbuk lalu diseduh dengan air yang panas. Tak semena-mena, kopi ini merahmati petani. Aromanya yang asyik akhirnya sampai ke hidung kolonial. Kemudian, kopi ini menjadi kegemaran orang kaya Belanda. Memandangkan ia langka dan proses pembuatan yang unik menjadikan ia mahal sejak era penjajahan.
Kini pemain industri kopi antarabangsa seperti Starbuck, Folgers dan lain-lain turut menyediakan hidangan istimewa yang menggunakan kopi luwak. Ia menjadi komoditi yang sangat menguntungkan sesetengah pihak.
Dalam dunia produksi skala besar masa kini, bagaimana kopi jenis ini boleh diperoleh untuk ditukarkan dengan keuntungan? Bukankah dengan menternak banyak luwak, maka akan lebih banyak kopi luwak yang terhasil? Sudah tentu!
People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) telah mendedahkan bahawa haiwan luwak ini sedang menjadi mangsa eksploitasi. Haiwan ini dikurung dan hanya diberi makan biji kopi secara paksa oleh pengusaha-pengusaha yang tidak bertanggungjawab. Selalunya, kopi jenis arabica dan robusta yang mempunyai lebih nilai. Ini menyiksa haiwan tersebut, kerana kopi bukanlah satu-satunya makanan luwak yang boleh membekalkan nutrisi yang diperlukan oleh haiwan ini.
Kes ini menjadi kontroversi. Jika Tanam Paksa Kolonial Belanda memangsakan petani, kini ‘Ternak Paksa era-Globalisasi’ memangsakan luwak sebagai ‘pekerja mamalia’ yang tidak mampu bersuara. Dalam kurungan yang hanya diberikan buah kopi, luwak ini hidup dalam tekanan. Potensi mereka untuk sakit dan mati juga adalah tinggi.
Ada hujah yang menyatakan kopi luwak ternak paksa ini adalah kontra-produktif. Kopi luwak yang semulajadi berbeza kualitinya dengan kopi luwak ternak paksa ini. Kualiti kopi luwak semulajadi akan dinilai tinggi, kerana haiwan luwak ini pandai memilih buah kopi yang terbaik untuk dimakan. Sementara di kandang, pengusaha memberi makan biji kopi secara rambang. Selain itu, luwak yang tidak sihat menghasilkan kopi dengan kualiti yang rendah berbanding dihasilkan oleh luwak yang sihat.
Namun, ada juga membantah pendedahan ini, bahawa kopi luwak boleh didapati secara alamiah. Ada pengusaha yang tidak zalim dengan mendapatkan kopi luwak ini di hutan dan memelihara luwak dalam kandang bersaiz besar serta memberi makanan secara bebas. Jika ada pengusaha madu ternak, kenapa tidak adalah pengusaha madu liar yang didapati di hutan? Begitulah rasional yang diberikan.
Adapun, bagaimana pula dengan pengguna? Adakah anda tahu di manakah sumber kopi luwak diperoleh?
Saya sendiri tidak tahu. Pesan saya, pilihlah yang berkualiti, yakni yang dihasilkan tanpa kaedah ternak paksa.
Sumber:
1. http://www.todayifoundout.com/…/worlds-expensive-cup-coffee/
2. https://www.peta.org/features/civets-suffering-cruel-coffee/
3. https://www.bbc.com/…/civet-cat-coffee-s-animal-cruelty-sec…4.https://www.liputan6.com/global/read/2400284/sisi-gelap-dan-kisah-sedih-kopi-luwak-termahal-di-dunia
Gambar: National Geographic