Oleh: Farahani R
Saya terbaca sebuah tulisan berbahasa Inggeris di NST yang secara jelasnya ingin menjadi pelopor idea kepada persoalan kewujudan krisis identiti di Malaysia.
https://www.nst.com.my/node/487639/amp
Kasihan sungguh Malaysia: seperti tiada kesudahan pula untuk kita terus wacanakan perihal krisis. Krisis cabar sultanlah, krisis air lah, krisis ekonomi lah, krisis rasuah lah… krisis apa lagi? Mudah sekali kita senaraikan jenis krisis berbanding menyatakan solusi yang sesuai dan rasional. Paling kurangpun, mencuba untuk menjelaskan akar masalah tersebut.
Saya juga boleh mendakwa bahawa Malaysia mengalami krisis identiti. Malah, Malaysia turut mengalami krisis ketiadaan falsafah yang cukup ampuh dalam meladeni abad ke-21. Lihat saja Falsafah Pendidikan Negara, ia sebenarnya wajar diselidiki dan diperbaharui semula jiwanya sejak 1979.
Namun wajarkah kita lihat kepelbagaian ideologi, bangsa dan pilihan untuk mempertahan identiti etnik sebagai prasyarat suatu ‘krisis’? Tulisan tersebut memisalkan negara homogenus seperti Jepun, yang dilambangkan sebagai peneraju kemajuan Asia. Homogenus ini ditekankan dengan kuat sekali, saya terus tersedak dari terus membacanya.
Homogenuiti bukan prasyarat kejayaan. Ia suatu pemudahcara, tapi bukan prakarsa penting dalam menjamin kemajuan. Jepun, dengan homogenuiti itu, sebenarnya menikam rasisme terhadap para penduduk bukan Jepun yang menetap di sana. Hal ini saya dapati melalui pengalaman rakan yang sambung belajar di Jepun selama 4 tahun. Katanya, orang Jepun mungkin tidak akan melayani anda langsung jika anda adalah pendatang. Malah, dalam filem Tokyo Drift yang popular pun, salah satu wataknya menyisihkan hero Kaukasian sebagai gaijin (pendatang); lalu apakah itu homogenuiti yang kita mahu?
Kelemahan berbangga dengan homogenuiti ini adalah anda akan kurang terdedah pada kepelbagaian. Kurangnya keterdedahan akan menyaksikan penduduk sama-bangsa ini menjadi risau dan takut pada elemen keasingan yang baharu. Migrasi menjadi retorika politik yang membakar marah, mendebu ke mitos-mitos fasis Hitler dan merentungkan warga Holocaust dalam bahang gas beracun di bilik maut. Kerana itulah, nasionalis yang tidak mampu bertoleran pada kepelbagaian masyarakatnya adalah perkara yang berbahaya.
Berbalik pada kenyataan ‘krisis identiti’, identiti sebenar Malaysia terbit dari sejarah pahitnya diduduki orang putih. Realiti ini dikongsi dengan negara jiran kita yang terjajah dahulu. Oleh sebab kita tidak punyai banyak rusuhan, maka identiti kita tidak tampak kukuh sepertimana Indonesia. Bagaimana diketahui identiti bangsa Indonesia? Apabila mereka sendiri seolah pupus kesatuan terhadap kaum dan melebihkan kepentingan negara bangsa.
Sok Hok Gie misalnya adalah seorang pemuda Cina tapi cintanya pada tanah air itu mendalam amat. Tapi tidak kan lah Lee Chong Wei tidak sayang negaranya, sedangkan kalah perlawanan pun beliau tersujud minta ampun pada penyokong Malaysia. Kerana kita ‘bersama’ dengan beliau maka kita sendiri yang rasa lebih sedih apabila lihat Lee Chong Wei bertindak demikian. Itulah identiti kita.
Namun mahukah anda tahu bagaimana terpupuknya identiti negara bangsa mereka? Mereka ada Pancasila, dan coup, dan rusuhan. Begitukah harus identiti Malaysia tercantum? Dengan Rukun Negara dan coup (Malaysia Baharu lahir dari demokrasi aman) dan rusuhan (adakah kes rusuhan kuil dan inkues Adib dikira sebagai cara menyemai identiti bangsa?) – tidak cukupkah untuk kita pandang orang Malaysia sebagai orang yang punyai identiti negara bangsa?
Thailand, dengan dasar Rathniyam telah memuncakkan perang antara warga Buddha dengan warga Islam di Selatan Thailand. Korban darah dan harta menjadi jumlah yang terpapar dalam berita tanpa perasaan kerana terbiasa. Itukah kaedah pemupukan yang kita mahu untuk menjamin identiti yang diwacanakan oleh penulis NST ini?
Kita memang ada identiti keMalaysiaan. Identiti kita ini terpakai jelas apabila kita sedang berbual bersama. Tengok, kalian membaca tulisan ini sedang di waktu senggang tanpa banyak masalah tentang butiran etnik dan agama saya. Ketika kita bersorak gempita apabila Malaysia dapat mata sukan dan ketika kita bersolidariti untuk Adib. Itu identiti kesepaduan kita.
Kemajmukan kaum tidak menjadi penghalang kepada kita; bahkan itulah identiti sebenar-benar kita, di Malaysia. Identiti itu adalah perkara-perkara kecil yang buatkan kita rasa bangga dan bersatu. Bukannya dinilai berdasarkan isu yang diperbesarkan oleh orang politik. Rasisme, seksisme – itu pun semua tempat ada, asal wujud komuniti manusia di kawasan tersebut. Tidak perlu terkejut lalu menyimpul buta bahawa “oh, Malaysia ada krisis identiti!”
Akhir bicara ringkas ini, saya mengharapkan agar lebih ramai mula membuka pandangan lebih luas untuk memakna-setempatkan erti ‘identiti’ berbanding mencelup imaginasi ‘identiti’ dari negara lain sebuta-butanya. Pencelup budaya asing tanpa menghormati alam budaya sendiri adalah sebenarnya orang yang dilanda krisis identiti.