Oleh: Dr Fatimah Salim

“Jangan makan kepala ikan, nanti otak jadi lembab!” pesan orang tua-tua sejak kita masih kecil.

Baru-baru ini seorang rakan hubungi saya meminta untuk menulis mengenai kaitan makan kepala ikan dan kesan melembabkan minda pada anak-anak. Disebabkan saya juga pernah berhadapan dengan ‘kepercayaan’ yang sama dulu, maka saya terus teruja mencuba sehabis mungkin mencari penjelasan saintifik di sebalik dakwaan ini.

Lembab minda ini biasanya terjadi apabila berlakunya gangguan pada fungsi kognitif otak. Setakat carian, saya tidak berjumpa pula dengan jurnal atau penulisan saintifik yang mengaitkan ikan dan lembab minda.

Oleh itu, saya akan cuba untuk menerangkan secara keseluruhan KESAN kebarangkalian wujudnya kandungan bahan kimia dalam ikan yang mampu menjadi penyebab kepada gangguan fungsi kognitif pada otak ini.

Jom teruskan membaca.

Setiap daripada kita pastinya menggemari makanan laut seperti udang, sotong, ketam, siput, kerang… dan yang paling utama ialah IKAN. Semestinya makanan ini tidak boleh lari daripada menjadi sebahagian daripada diet harian kita. Lagilah bagi mereka yang bergantung sepenuhnya dengan makanan dari hasil laut ini.

Apakah kandungan kimia ikan?

Ikan kaya dengan bahan kimia seperti protein, iodine, vitamin, mineral dan yang paling penting asid lemak omega-3 perlu (essential fatty acids) iaitu eicosapentaenoic acid (EPA) and docosahexaenoic acid (DHA) yang diperlukan untuk mengekalkan kesihatan pelbagai fungsi badan termasuk jantung, mata, sendi, otak dan kulit.  

Selain daripada itu, ikan juga mungkin dicemari oleh logam berat (heavy metal). Sebahagian daripada logam berat (dalam kuantiti yang cukup) diperlukan sebagai zat mineral untuk mengekalkan keseimbangan kimia fungsi badan.

Apakah itu logam berat?

Logam berat merupakan mana-mana bahan kimia logam yang mempunyai perbandingan ketumpatan yang tinggi yang terdapat pada Jadual Berkala Unsur Kimia. Senarai yang biasa dijumpai mencemari air laut dan kehidupannya adalah seperti kuprum (Cu), ferum (Fe), zink (Zn), molibdenum (Mo), manganese (Mn), kobalt (Co), nikel (Ni), kadmium (Cd), plumbum (Pb), kromium (Cr), selenium (Se), merkuri (Hg), uranium (U), cesium (Cs), argentum (Ag), aluminium (Al), strontium (Sr) dan arsenik (As).

Senarai 6 terawal diperlukan dalam kuantiti yang cukup (tidak berlebihan) untuk menjalankan fungsi tubuh kita, manakala yang selebihnya tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada badan.

Bagaimana logam berat ini terkumpul dalam air laut?

Logam berat merupakan komponen semulajadi kerak bumi yang mana disebabkan oleh perubahan suhu (weathering), hakisan (erosion), letusan gunung berapi dan aktiviti perlombongan menyebabkan mereka mengalir keluar ke laut. Namun penyumbang utama pencemaran logam berat dalam air laut adalah dari aktiviti industri dan pembuangan sisa bahan. Secara keseluruhan, paras logam dalam laut telah meningkat dek kerana aktiviti ini.

Bagaimana logam berat ini boleh berada di dalam ikan?

Logam berat yang telah mencemari air laut ini secara tidak langsung akan masuk ke dalam badan ikan melalui insang atau mulut ketika mereka berenang, bernafas dan makan. Selain daripada pencemaran logam dalam bentuk asal ini, terdapat juga logam berat yang telah diubah sifat kimianya oleh microorganisma seperti contoh methylmercury yang mana merupakan struktur kimia merkuri yang paling bahaya kerana kadar serapannya yang tinggi dalam badan.

Bagaimana logam berat ini memasuki badan kita?

Logam berat yang telah mencemari hidupan laut terutamanya ikan tadi akan memasuki badan melalui diet pemakanan kita. Kekerapan pengambilan ikan yang dicemari oleh logam berat ini akan menyebabkannya terkumpul pada tisu badan kita. Dan apabila mencapai jumlah yang signifikan (dose dependent), mereka akan menjadi racun (toksik) dengan mengganggu keseimbangan bahan kimia badan kita.

Mekanisma gangguan keseimbangan oleh logam berat ialah ionik (pemberian elektron). Bergantung kepada keadaan kimia sel badan, logam berat ini mampu mengambilalih kedudukan ion sedia ada (Ca2+, Mg2+, Fe2+ atau Na+) dan memudahkannya diangkut ke seluruh bahagian badan, seterusnya mengganggu metabolisma biologi sel-sel terlibat.

Bergantung kepada kekerapan pengambilan, sistem penghadaman dan proses penyah-toksin badan individu, kesan pengumpulan jangka panjang logam berat ini boleh menjadi racun yang akan menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

Apakah kesan jangka panjang logam berat pada badan kita?

Logam berat ini (terutamanya plumbum, kadmium dan merkuri) terkenal dengan sifat racun yang mana apabila terkumpul dalam jumlah signifikan dalam badan boleh:

Bagaimana membandingkan kadar logam berat dalam ikan?

Secara amnya, semakin besar dan berusianya ikan tersebut, semakin tinggi kandungan logam berat yang mampu dikandungnya (terdedah lebih lama kepada pencemaran). Selain daripada itu, faktor lain seperti spesis ikan (‘bottom feeder’ lebih tercemar), tempat tangkapan (air yang tinggi kadar pencemaran) dan tempat tinggal ikan juga harus diambil kira. Ikan yang terletak pada bahagian atas rantaian makanan laut (pemangsa) biasanya mengandungi lebih logam berat (pengumpulan melalui pola pemakanannya).

Bagaimana untuk menghalang / mengurangkan kesan toksik logam berat dalam makanan?

Banyak kajian menunjukkan bahawa ‘oxidative stress’ pada sel hidup berlaku disebabkan oleh gangguan pada kadar keseimbangan antara kehadiran radikal bebas (termasuk logam berat ini) dengan penghasilan antioxidant untuk menyah-toksin (detox) dan membaikpulih kerosakan pada sel secara semulajadi dalam badan.

Untungnya Allah menciptakan struktur penghadaman badan kita (untuk manusia yang sihat) ini sehabis baik, dan jika ditambah pula dengan ikhtiar mengawal dan mengurus diet pemakanan boleh membantu badan untuk mengeluarkan logam berat ini dengan selamat, dan seterusnya mengurangkan kadar pengumpulannya pada tisu badan.

Untuk mengurangkan kadar serapan logam berat dalam badan, biasakan makan makanan laut dengan sayur atau buah yang kaya dengan serat dan antioxidant untuk membantu badan mengeluarkan logam berat ini secara semulajadi dari badan. Serat tidak mampu diurai dalam sistem penghadaman maka ianya akan bertindak sebagai penyerap logam berat dan dibuang bersama di dalam najis. Antioxidants ini pula akan bertindak sebagai ejen pengepit (chelates) yang mengikat logam berat ini seterusnya mengeluarkannya dari badan secara semulajadi sama ada melalui najis atau air kencing.

Setelah membaca artikel ini, pastinya ramai yang akan teragak-agak untuk memakan makanan laut terutamanya ikan. Jangan begitu, jadilah insan yang cerdik dan nikmatilah hidup dengan memakan apa sahaja yang Allah anugerahkan ini dengan bersederhana.

Kesimpulannya, bukan kepala ikan sahaja yang boleh melembabkan otak, tetapi isinya juga SEKIRANYA ianya DICEMARI oleh LOGAM BERAT tadi. Maka, tidak menjadi masalah memakan otak ikan.

Nota kaki:

Makanan kita mengandungi pelbagai bahan kimia bergantung kepada jenis dan sumbernya. Maka, jagalah pemakanan anda. Tambahan pula jika anda seorang yang mudah sakit. Fahami ‘bahasa’ tubuh dan kaitkan dengan makanan harian anda supaya anda tahu punca ketidakseimbangan bahan kimia dalam badan anda. Jika kesan ini berlarutan, sila berjumpa dengan doktor perubatan anda.

Semoga bermanfaat.

 

Rujukan:

1) Holland, K., Weatherspoon, D., 2018. Mercury detox: separating fact from fiction. Healthline.com

2) Stuart, M., Levit, M.S., 2010. A literature review of effects of cadmium on fish. Nature.org.

3) Jaishankar, M., Tseten, T., Anbalagan, N., Mathew, B.B., Beeregowda, N., 2014. Toxicity, mechanism & health effects of some heavy metals. Interdisciplinary Toxicology 7(2), 60-72.

4) Gambar dari Wikipedia dan google image.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *