Oleh: Perempuan Senja
Pernah dulu abang bisikkan sayang. Abang ajak aku naik ke atas. Kata kau, “Mari sayang, kita sama-sama mengira bintang.” Merah pipiku menahan segan. Tangan abang depangkan luas, mendamba aku dalam pelukan. Waktu itu kau stratus yang menutup puncak gunung, tidak terlalu tinggi. Letakmu rendah, berwarna abu-abu dengan pinggir yang bergerigi. Aku kira aku lahir dari cinta abang yang beku, menjadi gerimis salju yang menyejukkan perbukitan. Abang ajak aku lagi, “Mari sayang.”
Tapi aku tunggu lama. Aku tak murah untuk terus naik lemas dalam pujuk rayu abang. Jalan yang perlu aku lalu untuk kita bersama tak semudah yang abang dendangkan saban malam menidurkan aku. Malah lena aku tak dalam, lelah dengan deras meniti batu-batu tajam sungai sambil diiringi anak-anak ikan yang menyanyi lagu semangat. Kelok ini juga bukan sedikit. Setiap takah bukit aku harung sakit, untuk sampai ke destinasi yang abang janji.
Lama. Sampai satu waktu, aku sakit. Lohong nafasku lelah tercekik. Terik matahari kian buas menyengat setiap inci tubuh, menarik-narik ruh seakan mahu terpisah dari jasad aku yang setia. Hangat dan meruap aku yang di permukaan gigi sungai. Lalu muara yang melihat terkerisin penasaran , ghairah panas merenggut aku naik dengan kesiur pawana sejuk yang meraikan. Sebelum sempat aku lemas dalam laut luas di hadapan, kau tarik aku biar ingat – sumpah yang kita lestari lama dulu.
Tapi aku tak kisah. Sebab ini masa yang aku tunggu, saatnya janji yang termeterai lama dulu jadi pasti. Saat aku dan kau bakal melunas rindu. Abang panggil aku lagi. Aku tersejat perlahan menuju syurga yang kau bina, biar kita dapat bersatu setelah berjauhan lama sejak tercipta. Nautika perjalanan ini cuma mengajar aku derita. Sekaligus mengingatkan diri berkali-kali, betapa cinta ini harapan. Yang aku hargai selamanya.
Menatap abang, aku seperti menyeduh keindahan sebati di segenap inci tubuh. Kau indah. Tidak selalu bergumpal, juga kadang tersebar tipis. Berbentuk seperti sisik ikan, atau bergaris-garis seperti serat. Melihat abang membuat aku merasa dekat dan semangat. Menjadikan rasa sakit ini semuanya hilang. Titis-titis kita tak sama, lantaran dibesarkan dari udara yang berbeza. Tapi aku menuju abang, biar kau hidup. Untuk kita disatukan lagi.
Burung-burung terbang menggaris langit silih menjadi saksi, memerhati tegar aku naik merentas atmosfera demi mencapai kau di atas sana. Aku pun puas, seakan-akan kemenangan terhadap orang-orang yang tak sudah-sudah memerli sejak dulu. Kata mereka, “Masakan penghuni bumi mampu bersatu dengan yang hidup di langit!” Sebab aku percaya tidak ada yang mustahil, selagi kau setia mendepang kasihmu di atap dunia.
Dah. Aku dah sampai. Lama abang tunggu. Tapi kau pujuk aku biar tenang, rasa bersalah kau halau jauh-jauh. “Jarak antara langit dan bumi pun tak mampu menafikan takdir,” bisik abang perlahan menyejukkan hati yang rindu. Rindu. Aku rindu. Tampang dingin yang setia mendakapku sambil mengira bintang yang aku dan kau puja bersama. Abang adalah kekasih. Yang paling setia.
“Abang tahu, dalam perjalanan aku menuju kau, aku sakit. Teruk. Lama. Sampai satu saat, aku tak tahan. Aku rasa destinasi ini seakan tak pasti. Hampir saja aku putus asa dengan takdir kita yang abang selalu lagukan, Tuhan titipkan bahang matahari makin kuat untuk bantu aku. Ya, sakit. Memang makin sakit. Masakan tak sakit, abang. Seakan-akan aku direnggut berpisah dengan muara sungai sana. Tapi aku rela, daripada lagi lama aku perlu menanti saat ini,” manja aku bercerita sambil tangan kau rangkul kemas di pinggangku.
“Berapa lama waktu kita?”
Kenapa mesti kau ajukan soalan semacam ini, sayang. Ya, aku tahu memang dunia dicipta untuk menyakitkan, dan cinta dicipta untuk membuat kita derita. Tapi biarlah aku tenang dulu menikmati syurga sementara dengan abang. Aku belum puas lena dalam sejuk pelukan abang. Belum puas menatap bening mata kau yang selalu aku rindu dulu. Belum puas menggenggam beku jarimu saat menonton panggung cakerawala yang mengasyikkan. Apa kau tak dengar cerita yang aku bawakan? Mendakap kau itu tak mudah, dan sekarang kau suruh aku hitung baki masa kita?
Tapi aku tahu soalan ini takkan padam selamanya. Sesaat adalah abadi saat udara membawa aku dan kau naik makin tinggi, gigil dalam kesejukan yang kita fahami. Pada kau yang dingin, aku dilahirkan lagi dan lagi. Iya, cinta aku kepada abang memang sejak nafas pertama. Aku juga tahu kaulah membibitkan jasadku demi nafas yang kau hela. Tanpa aku, kau tiada, dan tanpa kau, aku tak mengenal dunia.
Aku ingin melihat abang sejahtera, membesar sihat dengan takungan cinta aku yang bersemadi di ubun-ubunmu yang membentuk kristal halus. Cantik. Walaupun aku tahu apa maknanya. Abang sakit. Sendi-sendi kau berat, hela nyawa abang sarat mencempung aku naik lagi makin tinggi. Ya Allah, sungguh aku tahu. Masanya dah tiba.
“Abang,” aku menangis. “Lepaskan aku,”
Sedikit pun kau tak ingin melihat wajah yang kau dambakan siang dan malam ini.
“Kau taknak pandang aku buat kali terakhir?”
“Aku tak suka kau begini. Kau suka berpisah dengan aku?” Abang marah benar. Aku tahu kau merajuk bila aku menyatakan kehendak untuk pergi. Bukan abang tak tahu, derita kau adalah perkara terakhir yang aku harapkan selama aku ada.
Sayup dari bawah, aku dengar suara Pak Sapardi, penyair dari kepulauan Sumatera berbisik, “Aku ingin mencintaimu dengan sederhana, dengan isyarat yang tak sempat disampaikan, awan kepada hujan yang menjadikannya tiada,”
Kenapa aku dan kau dimanifestasi sebagai simbolik kepada kebinasaan, abang? Sedangkan kau tahu, cinta kau mewujudkan aku, dan tanpa aku sebenarnya menjadikan kau tiada.
“Cinta yang sempurna adalah cinta yang sederhana. Sesederhana waktu yang sekejap, jarak yang terlipat mendengar keinginan kita saat ini,”
Dan perlahan-lahan jarimu aku lepas. Untuk merasa sakit lagi jatuh terhempas dan menanggung rindu. Tapi aku tahu abang dan aku setia, untuk itu aku selalu punya cahaya harapan di bening mataku yang abang suka.
Abang, cinta kita bertahan selagi kitaran yang ditulis Tuhan ini tak berhenti. Saat tiupan sangkakala yang mungkin nanti menguji pasrah kekasihmu, aku tahu abang akan terus mendakap aku di syurga.
Jordan, 2015.