Oleh: Aimie Henry Tan

Sesi persekolahan di Sekolah Alternatif Semporna selepas cuti Aidilfitri bermula pada 10 Jun, Isnin. Program sarapan minuman sihat juga mula berjalan kembali seperti biasa selepas sebulan dihentikan semasa bulan Ramadan. Bermula pada bulan ini juga, anak-anak akan berpeluang untuk makan dua kali seminggu berbanding hanya sekali seminggu sahaja sebelum ini. Bertambah satu tajaan lagi untuk hidangan makanan mingguan mereka. Murah rezeki anak-anak ini. Anak-anak yang datang ke sekolah rancak berkongsi mengenai duit raya yang mereka peroleh sempena musim raya. Khabarnya ada yang memperoleh duit raya melebihi RM50. “Aku sudah guna beli beg baru, cikgu”. Liya senyum tipis menunjukkan beg galas Hello Kitty di belakangnya. Pagi Isnin yang cerah dan membawa harapan baru.

Achmad tiba pada awal subuh hari Selasa, 11 Jun. Kedatangannya kali ini adalah untuk menjalankan latihan industri di sini. Datang jauh dari Kota Marudu. Dia merupakan antara tenaga pengajar yang banyak bekerja keras membangunkan Sekolah Alternatif Teluk Layang di Kota Kinabalu. Pertama kali berjumpa dengan Achmad adalah pada Mac yang lalu – penganjuran Majlis Graduasi Sekolah Alternatif Semporna. Pada masa itu dia datang sebagai sukarelawan untuk menjayakan Majlis Graduasi. Anak muda yang sangat berjiwa besar ini akan berada di sini selama 3 bulan untuk melengkapkan keperluan praktikalnya. Setibanya di sini dia terus bersama-sama dengan anak-anak kelas Za’ba untuk membersihkan ruang studio rumah kolektif walhal dia belum pun berkesempatan untuk tidur dengan cukup pada pagi itu. Terima kasih, Cikgu Achmad! Nampaknya anak-anak di sini cukup senang menerima kehadiran Cikgu Achmad. Berharap yang baik-baik buatnya untuk tempoh 3 bulan nanti.

Anjak ke Khamis. Petang Khamis yang penuh dengan kepulan awan yang segan silu tapi masih diselak matahari yang gagah di atas. Beberapa rumah anak-anak Sekolah Alternatif Semporna menjadi tujuan utama. Ya, ke Kampung Bangau-Bangau buat ke sekian kalinya. Perkampungan atas air yang menjadi tempat tinggal hampir semua anak-anak Sekolah Alternatif Semporna. Perkampungan atas air yang sentiasa memendam begitu banyaknya kisah. Di sepanjang jambatan di perkampungan ini penuh dengan pemandangan penduduk kampung yang berjaja di kaki lima rumah yang berhadapan jambatan – di tepian jambatan. Ikan. Barangan runcit. Gorengan. Yang menariknya, mereka tidak risau untuk bersaing sesama mereka. Sebelah menyebelah berjaja barangan jualan yang hampir sama. Halim petang itu kelihatan terbaring lena di ruang tamu rumahnya. Bapanya memberitahu bahawa anaknya itu demam panas sejak hari Selasa lantas dia tidak dapat datang ke sekolah. Jarang sekali Halim ponteng. Anak ini sudah boleh mula membaca dengan baik. Malah tulisannya juga sangat cantik dan kemas!

Berlalu dari rumah Halim dan meneruskan langkah ke jambatan utama, kelihatan pula Safira yang berjalan sendirian dengan wajah sugul. Dia juga tidak datang ke sekolah Khamis itu, seperti Halim. Imbas muka. Semasa sesi pertemuan dengan ibu bapa untuk mengisi rekod murid beberapa bulan yang lalu, Safira antara yang gagal memberikan gambar ukuran pasport untuk dilekatkan pada borang maklumat peribadi murid. “Cikgu, aku tiada gambar. Mahu bergambar di kedai mahal. Tiada duit kami. Ditangkap bapaku.” Luluh hati mendengar luahan Safira. Seminggu sebelum raya dia ada mengkhabarkan bahawa bapanya bakal dibebaskan menjelang raya. Selasa baru-baru ini pula dia memaklumkan bahawa bapanya belum lagi dibebaskan. Raya sudah seminggu berlalu, menurutnya. Sungguh pengharapan itu adakalanya menyakitkan dan sama sekali tidak membangunkan. Petang itu rumahnya turut sama disinggahi. Ruangan yang sangat sempit untuk sebuah keluarga yang padat. Menurut ibu Safira, anaknya tidak dapat hadir ke sekolah hari itu untuk melawat bapanya yang berada dalam tahanan di Tawau. Teruslah kuat, Safira.

Yang tinggal pada petang itu hanya rasa lemah dan malu. Tidak tahu harus berbuat apa. Lemahnya menjadi seorang guru yang tidak dapat berbuat apa-apa. Malunya menjadi seorang pendidik yang sekadar datang dan pulang kosong hanya dengan cerita sebegini. Sungguh. Benar permulaan minggu ini membuktikan harapan itu mampu membangun. Tapi ada juga harapan yang cuma datang membolak-balikkan hati lantas merudumkan. Pulang ke rumah petang Khamis itu dengan setitis rasa lemah bercampur malu dan di hujungnya menitis tambah parah saat disalurkan begini pada bentangan skrin. Cukuplah. Mungkin tidak akan menulis buat seketika. Akan kembali bila sudah berjumpa dengan harapan yang mampu membangun semula. Juga apabila sudah mula berasa kuat kembali dan melupakan malu. Semoga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *