Oleh: Hafal Abu
Kira-kira dua tahun lepas aku menetapkan bahawa aku hanya mampu menjadi penulis yang lebih baik jika aku selami benar-benar lautan hidup dan melihat isi kandungnya tanpa perlu berenang naik ke darat dan memberitahu kepada seluruh kampung dalam keadaan gopoh-gapah.
Dan tentang penulis, aku tidak mengimpikan penerbitan sebuah bukupun. Cuma, aku mahu kata-kata aku bermain di fikiran seseorang. Kalau pembaca aku boleh terduduk diam seminit fikir tentang apa aku katakan, gembiranya itu sama semacam terima anugerah penulis terhebat.
Banyak kata orang lain dalam kepala aku dan aku juga mahu kata-kataku bermain di kepala orang lain.
Ada saja orang banyak berkata, tapi tidak membekas. Ada orang berkata sedikit tetapi melekat sepanjang hayat.
Aku fikir, yang kedua itu lebih baik. Sebab apa? Banyak sebab yang relatif tapi salah duanya adalah kerana aku minimalis dan kata-kataku dulu kebanyakannya sia-sia dan menyakitkan hati orang lain.
Aku insaf akan hal ini. Maka, aku menjadi pendiam dan berkata bila perlu. Selalunya ramai orang tersinggung dengan kelakuan aku ini, tetapi ini lebih baik jika mahu dibandingkan dengan aku yang dulu.