Oleh: Mohd Azwan Irwan

Aku sudah mula faham betapa pentingnya kasih sayang untuk seorang kanak-kanak. Sepanjang mengajar di Sekolah Alternatif Tawau, dapat aku rasakan kasih sayanglah yang semakin hari semakin tumbuh di antara aku dan anak-anak muridku. Bagi aku, anak-anak seperti mereka adalah anak-anak yang paling menghargai kasih sayang.

Aku pernah mendapat teguran ataupun mungkin pandangan daripada seorang rakan yang berbunyi, “Kau garang dengan anak-anak tapi nasib baik kau pandai ambil hati dorang semula”. Ya, hampir begitulah bunyinya.

Selepas hari itu, aku selalu berfikir dan selalu bertanya dengan rakan-rakan yang datang melawat di sekolah tentang cara dan sikap aku dengan anak-anak. Aku risau, jika aku betul-betul bersikap tidak baik dengan anak-anak muridku. Hal ini aku anggap serius sebab aku fikir pembentukan anak-anak ini hasil daripada pemerhatian mereka setiap hari dan aku merupakan salah satu individu yang mereka lihat setiap hari. Tapi, bila berfikir semula sejauh mana ‘sikap garang’ aku ni akan mempengaruhi anak-anak dan betulkah aku ni garang? Jawapannya ada pada anak-anak.

Dalam kelas aku, ada beberapa orang yang selalu aku tegur dan selalu saja aku sebut namanya untuk menanyakan soalan iaitu Asmah dan Hasan. Mereka adalah anak-anak yang selalu buat bising dan selalu mengacau kawan-kawan yang lain. Dalam situasi ini mereka selalu mengeluh dan mengadu dengan aku disebabkan hanya mereka saja yang selalu aku tegur. Pernah suatu masa bila aku tegur salah satu anak ini dia mula memberi respon yang tidak baik.

“Hasan, berdiri!”

“Kenapa cikgu?”

“Sebab kau bising dan kacau si Sahis,”

“Tapi dia yang deluan cikgu!”

“Cikgu nampak siapa yang deluan. Kau mahu cikgu suruh berdiri dalam kelas atau di luar tu berpanas?”

“Di luarlah cikgu! Best lagi.” Dia senyum.

Tiba-tiba si Arswina bersuara. “Hasan! Kurang ajarnya kau.” Semua anak-anak ketika ini memandang Hasan dan Hasan pula tiba-tiba diam. Aku teruskan kelas seperti biasa. Seminit selepas itu aku suruh Hasan duduk semula. Ya, tujuan aku menyuruh Hasan berdiri supaya dia boleh fokus dan bagi perhatian semula ketika aku mengajar. Sebenarnya, bila ada anak-anak yang bising memang aku akan suruh berdiri sahaja sebab aku tahu ketika dia bising bermaksud perhatiannya dalam kelas sudah mula hilang. Inilah yang selalu aku buat untuk menarik perhatian mereka semula. Ianya berhasil. Walaupun tetap saja mereka akan bising semula tapi bagi aku ini adalah salah satu cara yang baik dan mudah untuk anak-anak ini. Untuk berubah itu perlu masa, bukannya sekelip mata terus boleh berubah.

Jawapan Hasan tadi membuat aku berfikir tentang caraku dalam memberi teguran. Sebelum habis kelas, aku seperti biasa akan meminta maaf dengan semua anak-anak sekiranya aku ada terkasar bahasa sepanjang aku mengajar. Seperti biasa juga, anak-anak akan memberi tindak balas yang baik dengan berkata.

“Kami yang salah cikgu, kami pun minta maaf.”

Setelah semuanya bergerak keluar kelas, Hasan datang dekat dengan aku.

“Cikgu, aku minta maaf”. Hasan peluk aku.

Masa ni, Tuhan saja yang tahu perasaan aku. Rasa sungguh terharu bila melihat tindakan Hasan. Walaupun aku tahu, Hasan adalah seorang yang nakal dan juga seorang yang sangat kasar bila bermain dengan kawan-kawan yang lain tapi punya hati dan rasa yang sangat lembut. Mungkin inilah kasih sayang.

Tapi, sepanjang aku mengajar anak-anak ini mereka sebenarnya sensitif dalam setiap hal. Mana-mana sukarelawan yang datang mengajar perlu bijak dan cepat memahami situasi anak-anak ini. Mereka akan anggap kita ni adalah rujukan utama dalam setiap perubahan yang mereka lakukan. Jadi, setiap apa yang kita tunjukkan dan kita berikan dengan anak-anak ini perlulah ada hujah yang baik untuk mereka faham.

Apabila bercerita tentang anak-anak ini, terlalu banyak kisah dan cerita yang membuatkan aku belajar tentang makna setiap perlakuan. Bila kita menilai anak-anak ini dari luaran pasti hanya negatif yang akan kita keluarkan tapi bila kita mula kenal dan setia berkongsi kasih dan rasa barulah kita faham tentang sebuah perhubungan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *