Oleh: Farahani R
Anggaplah ini tip pelancongan daripada saya yang sudah lama tinggal di Kota Kinabalu dan membesar bersama Kota Kinabalu. Saya himpunkan pemerhatian saya sebagai tip untuk memudahkan para backpackers menikmati Kota Kinabalu seperti seorang tempatan.
1. Biasanya saya boleh kategorikan dua jenis ‘tempat menarik’ di Sabah: alam semula jadi dan alam sejarah. Di Kota Kinabalu kini, kebanyakan tempat tarikan persinggahan orang ramai adalah kawasan baharu yang ditambak untuk membina ruang baharu pembangunan. Kawasan asal Kota Kinabalu adalah di kawasan Jesselton. Itu pula adalah tarikan sejarah kolonial dulu-dulu.
Untuk mencari di mana sejarah asal masyarakat Kota Kinabalu, anda boleh tunggu sehingga cuti Kaamatan untuk kawasan Penampang pada bulan Jun, atau tunggu sehingga ada pesta besar di Sabah seperti Regatta Lepa (Semporna), Pesta GATA (Sipitang), Pesta Kulintangan (Beaufort) dan lain-lain pesta tempatan yang tidak tersebut.
2. Sedang saya membesar, saya terlalu biasa berjalan dari satu tepi ke tepi bandar Kota Kinabalu. Ia tidaklah jauh dan sesuai untuk sesiapa yang tahan berjalan kaki. Pengalamannya juga lebih unik berbanding setakat menaiki kereta untuk terus sampai ke destinasi.
Untuk backpackers, saya agak tempat tinggal tidak menjadi masalah kerana di Gaya Street sahaja sudah berlambak hostel murah. Namun jika anda lebih suka privasi, banyak hotel berdekatan. Untuk price range, tumpuan hotel murah biasanya di kawasan Tanjung Aru, Likas, Lintas, Luyang, Penampang. Jika ikut kiraan Google, mungkin tampak jauh. Tapi kawasan-kawasan ini boleh dikira dekat dengan Kota Kinabalu berbanding kawasan seperti Telipok, Sepanggar dan Tuaran. Itu barulah JAUH.
Kawasan yang saya sebutkan tadi tetap memerlukan transportasi peribadi. Selain dari sewa kereta/motor, kemudahan awam seperti bas juga ada namun untuk kawasan seperti Tg. Aru dan Lintas-Luyang. Untuk menaiki bas Lintas-Luyang, anda perlu ke Dongongon, Penampang. Sebaiknya anda naiki sahaja kenderaan e-hailing agar lebih mudah.
3. Garis Emas Kota Kinabalu. Boleh rujuk gambar di bawah.
Ini adalah peta kasar sahaja dan tidak mengikut skala. Nampak kan ia seolah membentuk garisan? Anda hanya perlu jalan lurus sahaja sehingga sampai ke Jeti Jesselton. Setiap tempat ini mempunyai keistimewaan sendiri.
Untuk kawasan 1-2-3 (Gleaneagles/Riverside, KK Times Square, Imago Square), biasanya bas-bas pelancong akan singgah ke tempat ini. Ia adalah kawasan high-end di mana banyak kedai mewah dan berjenama bertempat di sini. Ada panggung wayang di sini, dan landskapnya memang Insta-worthy.
Kredit: Sabahbah.com
KK Sentral pula sepatutnya menjadi hub transportasi dan baharu beroperasi mulai Julai 2019. Setakat ini saya tidak punyai banyak informasi kerana pada masa nukilan ini ditulis dan diterbit, KK Sentral masih belum beroperasi malah disifatkan sebagai projek white elephant. Berita bermulanya operasi ini suatu yang melegakan warga tempatan sebenarnya.
Plaza Wawasan biasanya jadi tumpuan orang untuk 2 perkara: makanan laut dan urban-hipster serta barang-barang dapur. Berdekatan dengan Plaza Wawasan iaitu di Anjung Senja, restoran makanan laut berderet menunggu anda di sana. Di belakang Plaza Wawasan pula, ada ruang makanan urban-hipster di sana.
Kredit: Sabaheats
Api-Api Centre pula adalah kawasan tempat tinggal yang mahal kerana perletakannya yang strategik, iaitu di hati Kota Kinabalu. Tidaklah nampak mewah pun, tapi ia agak lenggang. Hanya apabila kawasan menghampiri Centerpoint, ramai orang di sana kerana Pizza Hut dan McDonald 24 Jam.
Centerpoint dibina pada tahun 1996/1997, jadi ia adalah kompleks beli belah yang penuh bersejarah, berhantu dan sudah tentu, amat terkenal. Saya tidak ingin menceritakan kisah seram kerana jujurnya, saya tidak pernah mengalami peristiwa pelik dan seram tapi saya ada membaca beberapa perkongsian pengalaman mereka di sini.
Centerpoint memang sebuah titik tengah, di mana wujud kedai tempatan di sini sebagaimana kedai mewah. Yang menariknya, Centerpoint menawarkan harga tiket wayang termurah di Sabah – ini sekadar dakwaan – sebab saya selalu dapat tiket wayang RM5 di Growball Cinemax, tingkat atas Centerpoint (Palm Square).
Kredit: Tripadvisor
Plaza Warisan sesuai jika anda ingin mencari barang tempatan yang boleh dijadikan ole-ole untuk yang tersayang. Oceanus Waterfront pula terkenal kerana landskapnya yang memang memukau dan sudah pasti, Insta-worthy. Sinsuran-Segama pula banyak barang murah seperti kain, kasut dan lain-lain. Tidaklah salah jika saya namakan ia sebagai KK Downtown. Kawasan Downtown ini mencakupi semua kawasan kecuali Suria Sabah. Di Suria Sabah dan Jeselton Mall pula, kedua-duanya hampir sama dengan Imago tadi.
Untuk ke Taman Tunku Abdul Rahman (ia adalah taman marin ya), bolehlah ke Jesselton Point. Kebiasaannya harga tiket pulang-balik bot ke pulau adalah dalam RM30. Anda perlu sediakan dalam RM5-RM7 lagi ketika di pulau untuk tiket masuk ke pulau pula. Harga ini walau bagaimanapun, untuk warganegara Malaysia sahaja.
Kredit: Malaysia-traveller.com
Setakat ini biar itu sahaja dulu saya kongsi. Kelak ada kesempatan, saya akan tulis lebih mendalam mengenai beberapa tempat menarik di Kota Kinabalu.