Oleh: Dr Hidayu

Semalam di klinik tempat kawan saya bertugas, ketika seorang doktor gigi sedang mencabut gigi seorang pesakit, peralatan yang digunakan (Coupland elevator) secara tak sengaja tercederakan jari doktor tersebut dan berdarah. Kemudian pesakit mengaku yang beliau penghidap HIV.

Ini bukan perkara kecil. Kenapa? Kerana HIV (Human Immunodeficiency Virus) adalah sejenis penyakit berjangkit melalui darah (bloodborne infectious disease). Bloodborne infectious disease adalah penyakit yang tersebar melalui kontaminasi darah atau cecair badan yang mengandungi patogen seperti kuman atau virus. Contoh biasa adalah HIV , Hepatitis B (HVB) dan Hepatitis C (HVC).

Dengan bahasa mudahnya, HIV dijangkiti melalui darah. Dalam kes ini, pesakit sedang membuat cabutan gigi. Situasi yang melibatkan darah, peralatan yang digunakan sudah terdedah kepada darah dan virus dalam darah pesakit. Kemudian doktor tidak sengaja terluka dengan peralatan tersebut. Maka doktor ini haruslah membuat pemeriksaan darah kerana beliau berisiko dijangkiti virus HIV tersebut.

Secara umumnya, perkara pertama yang akan dibuat di klinik atau hospital sebelum doktor memulakan apa-apa pemeriksaan dan rawatan adalah bertanyakan riwayat kesihatan anda. Riwayat kesihatan adalah jika anda pernah menghidap sebarang penyakit, jika anda ada mengambil apa-apa ubat, jika anda ada sebarang alahan, jika anda pernah dimasukkan ke hospital, jika anda pernah menerima transfusi darah, dan sebagainya. Ini sangat penting. Contohnya, ubat yang doktor akan beri mestilah tidak mengalami reaksi dengan ubat yang anda sedang ambil. Kalau anda tak beritahu doktor tentang riwayat kesihatan anda, ini boleh membahayakan anda, doktor sendiri, dan orang lain.

Sesetengah pesakit akan menyembunyikan sakit yang dihidapi kerana takutkan stigma, atau juga kerana bimbang doktor akan mengelak untuk merawat sekiranya doktor tahu mereka menghidap penyakit berjangkit. Jangan risau. Tugas doktor memang untuk merawat anda. Cuma, sekiranya kita tahu anda ada penyakit berjangkit, sekurang-kurangnya kita mengambil langkah lebih berjaga-jaga dalam kawalan infeksi. Jadi, jangan sekali-kali berbohong atau menyembunyikan riwayat kesihatan anda. Anda mungkin membahayakan diri anda sendiri dan petugas kesihatan yang merawat anda, juga orang lain. Beritahu riwayat kesihatan SEBELUM sebarang rawatan, BUKANNYA SELEPAS.

Selain untuk doktor dan anda, doktor gigi juga mungkin perlu melakukan langkah-langkah untuk mencegah atau mengurangkan risiko jangkitan kepada pesakit-pesakit lain. Contohnya letak temujanji sebagai pesakit terakhir untuk hari itu, atau rawatan dibuat di bilik khusus (jarang berlaku). Ini semua untuk kawalan infeksi sahaja. Selain itu, rawatan dan layanan terhadap penghidap penyakit berjangkit sama saja seperti pesakit lain. Cuma, maklumkanlah.

Ya. Kita ada kawalan infeksi untuk semua pesakit. Tapi sekiranya kita tahu anda menghidap penyakit berjangkit tertentu, maka langkah lebih berjaga-jaga akan diambil. Bukanlah kita mahu mendiskriminasi anda setelah mengetahui penyakit yang anda hidapi.

Itu tentang jangkitan. Sekarang kita cerita tentang manifestasi oral pada penghidap HIV. Apa kaitan dengan doktor gigi? Doktor gigi mungkin merupakan orangnya yang mula-mula mengesyaki penghidap HIV yang tak didiagnos kerana penghidap HIV mungkin ada tanda-tanda ini di mulut mereka.

Sekiranya anda ada tanda-tanda ini, jangan risau dulu. Tak semua orang yang ada lesions ini positif HIV. Cuma bolehlah lakukan pemeriksaan.

Kerana di peringkat awal HIV, pesakit mungkin tak ada simptom atau ada simptom minima. Pesakit mungkin asimptomatik selama bertahun-tahun. Satu-satunya cara mengesahkan HIV adalah dengan pemeriksaan darah. Kerana itulah kita perlu melakukan pemeriksaan HIV sebelum berkahwin kerana HIV boleh dijangkiti melalui hubungan seksual dan kita mungkin tak tahu bahawa tubuh kita pembawa virus HIV.

Antara manifestasi oral yang biasa adalah kurang air liur menyebabkan kering mulut. Ini seterusnya menyebabkan lebih terdedah kepada masalah karies gigi dan masalah gusi. Oral candidiasis (kulat mulut) juga boleh berlaku kerana imunisasi badan sedang lemah dan candida merupakan kulat-patogen-opportunis.

Tentang rawatan gigi dan mulut, biasanya penghidap HIV boleh bertoleransi dengan rawatan gigi seperti biasa termasuklah pembedahan oral. Cuma mungkin mereka perlukan pelan rawatan yang khusus pada basis individual. Mungkin juga doktor gigi perlu melakukan konsultasi dengan doktor yang merawat pesakit tersebut untuk merancang rawatan selamat yang terbaik.

Misi rawatan adalah untuk mengurangkan risiko pendarahan sekaligus risiko jangkitan kerana penghidap HIV mungkin ada kecenderungan pendarahan apabila bilangan platelet berkurang. Kurangnya bilangan sel darah putih dalam sistem imun badan juga merupakan indikator untuk antibiotik profilaktik (antibiotik pencegah) untuk membantu tubuh badan melawan kuman.

Apapun, penjagaan oral standard terpakai untuk semua pesakit tak kiralah apapun keadaan kesihatan mereka. Pemeriksaan gigi berkala diperlukan untuk mengelakkan penyakit oral dan membantu melegakan simptom penghidap HIV.

Kesimpulannya, jangan takut dan runsing. Kami sedia membantu. Anda bantulah kami untuk bantu ada dengan memberitahu riwayat kesihatan dengan baik sekiranya anda tahu.

Rujukan:
1. https://www.ada.org/en/member-center/oral-health-topics/hiv

Glosari:
Oral – Mulut.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *