Oleh: Hafal Abu
Tangan ini, menjadi lebih mudah untuk bergerak bila ianya dipandu oleh rasa kejujuran.
Beberapa hari lepas aku baru tersedar. Aku tidak mampu menulis apa pun jika dalam keadaan terlalu gembira, sedih, dan marah. Kosong adalah tapak permulaannya. Seperti permulaan pada nombor, disusuli angka satu dua tiga dan seterusnya.
Jari Syahmi akan memetik segala not yang sesuai dengan apa dia rasakan. Sukar baginya meluahkan perasaan abstrak. Bukanlah kebiasaan baginya untuk menyusun kata-kata. Jadi, dia meluahkan rasa syahdu di dalam dada dengan gitar.
Aku sebagai manusia berjiwa, dengan mudah memahami rasa yang mahu disampaikan. Apa ceritanya? Siapa tahu. Aku tidak memakai kasut hitamnya, tapi aku juga ada kasut sepasang. Aku tahu bagaimana berjalan, dan kesakitan bila terpaksa hadapi banyak rintangan.
Di mana lagi kebebasan manusia kalau bukan pada karya sebegini?
Buat Syahmi, kau mungkin bukan gitaris dikenali ramai, tetapi bagi aku petikan kau sudah cukup buat aku kagum.
Bagi aku, muzik sepatutnya begini. Tentang menyata rasa, tentang orang mendengar dengan tekun. Bukan pada angka-angka luar biasa. Kalau dapat, anggaplah itu sebagai bonus.
Rasa paling sakit aku rasa, bila karya itu cuma diraikan oleh orang-orang yang tidak kita kenali. Bukan kawan atau orang rapat kita.
Andai ada seorang sahaja peminat besar dalam kalangan keluarga atau kawan kita, itu sudah memadai bagiku.