Oleh: Nurhuda Manshoor

Anak prasekolah yang mati lemas terjatuh dari jambatan menghentikan hari minggu saya. Banyak aktiviti yang dirancang untuk hari ini, tetapi saya duduk-duduk sahaja di rumah. Ada fikiran yang tidak beres bergayut di kepala. Ada perasaan rancu di hati. Bukan tentang anak itu, tapi tentang diri saya, tentang apa yang saya perbuat, tentang pekerjaan saya.

Berkerja di pusat pengajian tinggi, melatih ramai profesional, atau sekurang-kurangnya pekerja bergaji tinggi membuat saya fikir saya melakukan sesuatu untuk masyarakat. ‘Sesuatu’ itu saya tidak pasti apa, tetapi saya percaya ‘sesuatu’ itu adalah sesuatu yang baik, lebih baik dari tidak berbuat begitu.

Percaya bahawa pendidikan tinggi bukan hanya untuk golongan mampu, saya memilih berkerja di institusi yang dikhaskan untuk golongan yang diberi keistimewaan kerana majoritinya golongan ini ketinggalan dari segi ekonomi. Institusi ini tidak gah di mata para akademik, tidak mendapat taraf universiti penyelidikan, maka dana dan geran adalah terhad sedangkan pelajar diambil dalam bilangan yang ramai.

Apabila kerajaan mula mengurangkan peruntukan kepada institusi pengajian tinggi, unversiti perlu mencari dana sendiri. Sebagai institusi yang mengenakan yuran pengajian paling rendah di dalam negara, tentunya cabaran amat besar. Ramai pula pelajar yang perlu didanai. Tunggang-langgang dan lintang-pukanglah kami berkerja lebih masa menjana pendapatan untuk universiti. Kami juga bersetuju untuk memotong sebahagian gaji kami setiap bulan bagi mendanai penyelidikan pelajar pasca siswazah, supaya mereka boleh meneruskan pengajian mereka setelah biasiswa dihentikan oleh kerajaan. Kerana percaya, saya teruskan juga.

Saya percaya pendidikan tinggi perlu untuk menggilap bakat dan kemahiran supaya pelajar berdaya untuk memenuhi keperluan teknologi tinggi dalam dunia moden hari ini. Kelahiran lebih ramai profesional bermakna penyebaran keilmuan kepada masyarakat lebih meluas. Saya melihat ini sebagai instrumen dasar untuk mengurangkan ketidaksamaan sosial dan pendapatan. Melihat pelajar bergraduasi, mendapat pekerjaan yang baik, memperbaiki taraf ekonomi diri sendiri dan keluarga, menyumbang kepada pembaikan kesihatan masyarakat, saya bertambah percaya.

Hari ini, setelah lebih sepuluh tahun, saya kira saya telah melatih beratus-ratus profesional. Dari peringkat sarjana muda, sarjana, sehinggalah doktor falsafah. Tetapi adakah masyarakat semakin membaik? Bukan sahaja hak untuk makanan berkhasiat dan bekalan air bersih gagal ditunaikan, malahan akhir-akhir ini ada golongan yang tidak dapat bernafas di dalam udara sihat. Mungkinkah ramainya golongan terpelajar sebenarnya tidak ada kena mengena dengan kesejahteraan masyarakat banyak? Hari ini kepercayaan saya luntur.

Saya menyorot kembali dasar pendidikan yang diterapkan di institusi pengajian tinggi. Tidaklah saya menafikan bahawa pendidikan tinggi adalah satu proses pasaran. Institusi membekalkan graduan sebagai produk yang mempunyai nilai sepertimana yang ditentukan oleh pasaran kerja. Telah banyak perbincangan, kritikan, singgungan dan sindiran terhadap amalan ini. Bukan itu yang saya ingin rusuhkan di sini. Tidak salah pun jika graduan dipersiapkan untuk pasaran kerja, kerana akhirnya mereka perlu berkerja juga. Sekiranya mereka keluar dari universiti dan seterusnya menganggur, tentulah mereka tidak dapat menyumbang kepada masyarakat, malah membebankan pula.

Saya melihat pendidikan tinggi dijadikan sangat ekslusif. Padahal ia adalah tempat untuk latihan dan belajar. Ekslusiviti ini menyebabkan ketidakpedulian pendidikan tinggi kepada golongan lemah dan terkebelakang. Pelajar lemah yang tidak memenuhi keperluan peperiksaan akan dikeluarkan dari sistem universiti, mengecilkan bilangan pelajar, menjadikan lebih ekslusif. Saya kira ini adalah kepalsuan dalam memberi pendidikan tinggi, menyenaraipendekkan pelajar melalui peperiksaan. Sudahlah pendidikan tinggi kurang dapat diakses oleh orang-orang berpendapatan rendah dan terpinggir, bagi yang telah berjaya melepasi halangan kemasukan pula digagalkan untuk bergraduasi. Ini mengecilkan lagi capaian masyarakat kepada pendidikan tinggi seterusnya menjadikan lebih ekslusif.

Ekslusiviti ini menjadikan capaian saya kepada masyarakat amat kecil. Banyak masa dan tenaga saya dihabiskan untuk segolongan kecil sahaja. Hanya lebihan dari masa dan tenaga saya yang tersisa diperuntukkan untuk masyarakat terbanyak. Saya perlu menilai semula jalan hidup saya hari ini dan membuat keputusan untuk esok dan hari-hari seterusnya.

Awal tahun lalu, seorang pakar perubatan terkenal yang juga mengajar dan melatih bakal doktor-doktor pakar, mengambil keputusan meninggalkan pekerjaan berpangkat tinggi dan bergaji lumayan untuk menumpukan kepada pendidikan masyarakat. Adakah beliau juga pernah berfikiran dan berperasaan seperti saya hari ini? Memikirkan perkara ini, saya semakin percaya kepada rasa hati saya hari ini. Jika beliau sanggup berpindah dari dunia kelas atasan dan turun ke dalam masyarakat, apalah sangat bagi saya yang tidak berkedudukan ini.

Bukanlah saya tidak gembira dengan pekerjaan yang saya lakukan hari ini. Saya lebih dari gembira. Cita-cita saya tercapai, saya melakukan perkara yang paling saya tahu dan saya amat cemerlang dalam melakukannya. Tibalah pula untuk saya menunaikan cita-cita orang lain pula. Di penghujung hari ini, saya masih tidak tahu apa yang saya akan lakukan untuk itu. Tapi saya percaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *