Oleh : Nurhuda Manshoor

Selepas Malala, sekali lagi Pakistan mendapat perhatian dunia dengan kisah Asia Bibi, perempuan yang dihukum mati kerana kesalahan blasphemy. Pakistan mempunyai undang-undang untuk mengekang perlakuan blasphemy sebaik sahaja membentuk kerajaan sendiri setelah berpisah dari India. Dari 1967 hingga 2014, lebih 1300 orang telah disabitkan dengan kesalahan ini.

Kepada yang tidak mengikuti kisah ini, saya tuliskan sedikit ringkasan di sini.

Aasiya Noreen Bibi (Asia Bibi), seorang penganut Kristian yang terlibat dalam pertelingkahan dengan sekumpulan wanita Muslim ketika menuai di sebuah ladang tempat dia berkerja. Dia dimarahi kerana minum air dari bekas yang sama dengan mereka. Bekas minuman tersebut tidak lagi suci untuk digunakan oleh orang Islam. Asia kemudiannya dituduh menghina Nabi Muhammad, suatu tuduhan yang tidak diakuinya. Dia kemudian ditangkap dan dipenjarakan.

Dia dipenjarakan selama lebih setahun sebelum didakwa secara rasmi. Dia telah disabitkan dengan kesalahan tersebut, menerima hukuman mati. Dia membuat rayuan di mahkamah tinggi. Pendengaran rayuan telah ditangguhkan sebanyak lima kali. Mahkamah tinggi menangguhkan hukuman matinya selama tempoh proses rayuan.

Setelah lima tahun dipenjarakan, rayuannya didengari. Mahkamah tinggi bagaimanapun menolak rayuannya dan mengekalkan hukuman gantung sampai mati. Dia kemudian merayu di mahkamah agung. Setelah beberapa kali pendengaran rayuan ditangguhkan, tiga tahun kemudian, mahkamah memutuskan untuk menolak rayuannya dari didengari. Hukuman dikekalkan.

November 2018, Asia dibebaskan dari tuduhan kerana pendakwaan gagal dibuktikan. Pihak pendakwa membuat rayuan di mahkamah rayuan. Januari 2019, rayuan pendakwa ditolak. Asia Bibi bebas dari pertuduhan. Bagaimanapun, untuk tujuan keselamatan, beliau masih dikurung di dalam penjara. Mei 2019, Asia Bibi selamat sampai di Kanada dan mendapat perlindungan di sana.

Saya tidak ingin memperkatakan tentang perlaksanaan undang-undang di sebuah negara berdaulat. Kisah ini, yang dibaca sebagai kekejaman sebuah peraturan, sarat mengandungi kemanusiaan disebaliknya.

Saya mencatatkan di sini nama-nama yang terlibat di dalam melawan kes Asia Bibi. Apa yang telah mereka lakukan adalah biasa-biasa sahaja jika dilihat dari perspektif negara kita, atau negara-negara lain. Tetapi di sana, mereka dan keluarga mereka berhadapan risiko dibunuh.

Peristiwa pembunuhan, rusuhan, pengkhianatan dan penyalahgunaan kuasa dicatatkan tanpa meletakkan nama mereka yang telibat, kerana mereka tidak layak untuk diingati.

Penahanan Asia Bibi bermula apabila imam kampungnya mengumumkan dengan pembesar suara masjid bahawa Asia Bibi telah menghina Muhammad s.a.w. Dia kemudiannya melaporkan kepada polis. Sebelum kedatangan polis, rumah Asia telah dikepung, suaminya dipukul dan keluarganya diugut bunuh.

Sebelum penahanannya, kawan-kawan memujuk agar Asia menukar agama kepada Islam, kerana undang-undang syariah Pakistan memaafkan kesalahan blasphemy jika pelakunya memeluk Islam. Asia bagaimanapun menolaknya. Ketika rumah Asia Bibi dikepung, jirannya secara bersembunyi mengambil risiko menemui Asia, masih cuba memujuknya memeluk Islam, sebagai usaha terakhir menghentikan penahanannya.

Gabenor Punjab, Salmaan Taseer, seorang Muslim, membuat kenyataan kepada umum mempertahankan Asia dan menentang undang-undang blasphemy. Beliau telah dibunuh oleh pengawal peribadinya sendiri kerana menurutnya tidak berpihak kepada undang-undang Islam. Pembunuh tersebut telah diangkat sebagai wira oleh sekumpulan penyokong undang-undang blasphemy. Di hari pengkebumian Taseer, beribu penyokong dan penentang Taseer berarak mempertahankan pendirian mereka. Ketika ini, masyarakat dilihat telah berpecah dua.

Menteri Hal Ehwal Minoriti, Shahbaz Bhatti, satu-satunya ahli kabinet beragama Kristian di Pakistan, mempertahankan Asia disamping mengusulkan pindaan terhadap undang-undang blasphemy di parlimen.  Beliau ditembak mati setelah keretanya diserang berhampiran kediamannya di Islamabad. Anak lelakinya telah diculik dan hanya dibebaskan selepas 5 tahun.

Di penjara Lahore, Asia ditempatkan bersendirian di dalam sel 8 x 10 kaki tanpa tingkap. Pihak penjara menyediakan kawalan sepenuhnya kepada Asia Bibi kerana dibimbangi terdapat kemungkinan pakatan untuk membunuhnya oleh tahanan lain. Di dalam penjara di Pakistan, adalah biasa untuk tahanan bagi kesalahan blasphemy diserang dan ada yang dibunuh oleh tahanan lain.

Ketika Asia Bibi tidak lagi mempunyai peguam, tiada siapa yang berani mewakilinya kerana takut dibunuh, Naeem Shakir tampil mengetuai sekumpulan peguam mewakili Asia. Shakir membantu suami Asia mendapatkan pengampunan dari pemerintah. Setelah gagal mendapatkan pengampunan, Shakir membuat rayuan kepada mahkamah agong tetapi setelah dua kali tertunda, rayuan tidak dapat diteruskan kerana barisan hakim telah meletak jawatan secara tiba-tiba tanpa memberi alasan.

Dua orang pegawai penyiasat, Muhammad Idrees dan Muhammad Amin Bukhari telah mendedahkan bahawa blasphemy yang dibuat oleh Asia adalah disebabkan rakan sekerjanya yang beragama Islam telah terlebih dahulu menghina Jesus. Rayuan sekali lagi buat oleh peguam baru Asia, Saiful Malook.

Hakim Asif Saeed Khan Khosa bagaimanapun bersetuju untuk mendengar rayuan yang dibentangkan oleh peguam baru Asia, Saiful Malook. Khosa telah memutuskan bahawa Asia Bibi tiak lebih bersalah dari rakan sekerjanya yang menghina Jesus. Mahkamah telah memutuskan bahawa Asia Bibi dilepaskan dari pertuduhan dan mesti dibebaskan dari tahanan.

Rentetan keputusan ini, penentang Asia telah merusuh di bandar-bandar seluruh Pakistan. Bas dan kenderaan yang melalui jalanraya telah dibakar. Saifol Malook dan keluarganya diburu. Beliau kemudiannya mendapatkan perlindungan di Belanda.

Beberapa negara seperti Itali, Perancis dan Sepanyol pernah menawarkan untuk memberi suaka kepada Asia Bibi dan keluarganya sekiranya beliau dibebaskan. Apabila dibebaskan, mereka bagaimanapun memilih untuk berhijrah ke Kanada.

Wartawan dari Perancis Anne-Isabelle Tollet menulis sebuah memoir bertajuk Blasphemy: A Memoir: Sentenced to Death over a Cup of Water (2013, ISBN 1613748892). Asia Bibi, seorang buta huruf, tidak dapat menulis ceritanya. Tollet pula tidak dibenarkan berjumpa dengannya di penjara yang dikawal rapi. Ceritanya disampaikan melalui suami Asia Bibi, satu-satunya orang yang dibenarkan melawat beliau di penjara.

Pada tahun 2015, sekumpulan pembuat filem dari Poland, menerbitkan filem tentang Asia Bibi berdasarkan bulu tulisan Tollet. Filem ini, Uwolnić Asię Bibi (Kebebasan untuk Asia Bibi) telah dipertontonkan di Perancis dan Sepanyol untuk kempen kesedaran dan mengumpul dana membiayai kos perundangan Asia Bibi. Filem ini sekarang boleh di tonton di Youtube.

Seringkali, di dalam dunia yang berkutub ini, ketika manusia perlu mengambil sikap, mereka sukar untuk untuk berpihak. Asia Bibi satu perlambangan perlawanan ditelan mati emak, diluah mati ayah. Perlawanan ini antara kemanusiaan dan kepercayaan. Seolah tidak mungkin pertembungan sebegini boleh berlaku. Bagaimana mungkin sebuah kepercayaan yang benar menafikan kemanusiaan manusia untuk menjadi manusia.

Benarlah kata orang; pembunuh yang percaya lebih bahaya dari yang gila.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *