Oleh: Jefry Musa
Bagaimana sambutan perayaan kalian tahun ini? Adakah badan dibalut dengan kain cantik dengan pelbagai wangi-wangian? Adakah rumah dihias dengan lampu ‘lip lap’ berwarna-warni? Adakah dapur dihidang pelbagai juadah resepi teristimewa? Bagaimana pula dengan jumlah tetamu yang hadir? Memuaskan?
“Rumah siapa aku boleh melawat raya ini?”
Soalan ini mungkin tidak menakutkan bagi kita, semiskin mana pun rumah kita, ia sentiasa terbuka untuk menerima tetamu. Beras tidak pernah putus untuk dihidang makan.
Tetapi tidak buat anak-anak murid saya di sini, soalan yang telah menikam hati saya berkali-kali. Mereka semua diam, memandang muka masing-masing, sesetengah ada yang mengangkat tangan dengan riak muka teragak-agak untuk menerima kunjungan kami.
Walaupun dengan pelbagai alasan bagi menakutkan-nakutkan kami untuk beraya di rumah mereka, kami tetap berkeras untuk pergi. Selesai solat mereka datang beraya ke sekolah beramai-ramai. Lucu melihat telatah mereka, yang perempuan tidak kalah bersolek cantik, yang lelaki sibuk merancang melawat rumah kekasih atau wanita pujaannya. Sesekali saya masuk mengusik mereka.
Hati saya mula sedar mereka sedang meningkat usia ke fasa remaja, saya tidak lagi boleh mengawal mereka seperti anak-anak hingusan, mereka sudah punya hak untuk mempunyai identiti tersendiri.
Hanya tinggal kaum perempuan sahaja bersama kami untuk pergi beraya, kaum lelaki mungkin tidak mahu untuk memperkenal wanita pujaan hati mereka, takut kelak saya mempunyai ‘bahan’ untuk mengenakan mereka.
Destinasi pertama kami kunjungi adalah tapak beratus-ratus keluarga mangsa kebakaran 5 tahun duhulu yang dikenali sebagai kongsi. Rumah yang sebesar kanopi (10×10) menempatkan setiap keluarga bekas kebakaran. Sudah lelah mereka dengan janji-janji pembesar yang hanya hadir 4 tahun sekali.
Selepas itu kami masuk ke Kampung Bangau-bangau, majoriti pelajar kami tinggal di kampung ini. Setiap keluarga mempunyai kisah suka-duka mereka tersendiri. Walaupun kemiskinan sudah melekat pada darah daging mereka, tidak suka mereka untuk kita bersimpati. Sedaya upaya mereka cuba menyambut kami dengan seadanya.
Saya cuba mengelak untuk tahu tentang kesusahan kehidupan seharian mereka, kerana ini lawatan sambutan hari raya bukan rancangan ‘Bersamamu’. Namun tidak juga saya dapat bertahan, apabila anak ini menceritakan susunan mereka sekeluarga untuk tidur di rumah lebih kecil daripada kanopi atau tandas sesetengah rumah kita.
“Ya Allah, cukuplah…” bisik hati saya agar Tuhan berhenti menyiksa hati ini, jujur sudah tidak larat lagi saya.
Akhirnya air mata kami runtuh juga apabila anak mengeluh tidak tahan melihat ibu dipukul kerana bapak yang ketagih dadah. Walaupun niat anak ini hanya untuk kami mendengar luahan hatinya tapi kami tidak mampu bertahan lagi.
Ternyata Tuhan tidak menyambut doa-doa saya. Tidak layak untuk anak senaif ini menerima dugaan yang binatang pun tidak mampu menerimanya. Itupun mereka masih mampu bergelak ketawa seperti hari esok semua kesakitan akan lenyap.
Sampai bila lagi kami hanya mampu membayar cerita-cerita ini dengan air mata?
Segala jenis doa telah diangkat naik untuk memohon merayu agar tanah air ini berubah. Sehingga hari ini tiada jawapan daripada langit. Saya mula sedar bahawa langit tidak bersalah, ini bukan kemahuan-Nya melainkan kemahuan kita.
Kebenaran tidak akan ada jika tidak direbut.