Oleh: Nurhuda Manshoor
Apabila Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 19 dan 20 September yang lalu melaporkan terdapat 2 kes jangkitan polio di Filipina, ia seakan satu cerita seram yang amat menakutkan, dan seharusnya meletakkan kita semua di dalam situasi berjaga-jaga yang amat ketat. Di dalam dunia kesihatan, berita ini tentunya sangat serius, kalaupun tidaklah menghairankan.
Apabila bercakap tentang polio, ia seolahnya bercerita tentang sirah, tentang sejarah lampau yang telah tertutup bukunya dan tidak terjangkau dek imaginasi kita. Kita mungkin pernah mendengar perkataan ini di dalam kelas Pendidikan Kesihatan di sekolah, atau pernah terbaca tentangnya dan melihat gambar-gambar di internet. Kita tidak pernah berjumpa dengan sesiapa yang menghidap penyakit ini untuk mendengar cerita mereka, kesusahan dan kesengsaraan hidup mereka.
Ramai sekali doktor dan perawat kesihatan pada hari ini tidak pernah berdepan dengan pesakit polio, apatah lagi berpengalaman merawat pesakit ini. Hospital-hospital kita tidak lagi dilengkapi dengan peralatan dan ubatan untuk merawat jangkitan penyakit polio. Sekiranya ia datang lagi menyerang kita, kenalah para perawat kesihatan kita membuka semula kotak kapsul masa, mencari semula peralatan-peralatan yang perlu digunakan semasa perawatan, menelaah semula buku-buku teks, berlatih menangani situasi cemas dan bersedia untuk sebarang kemungkinan; yang mana kemungkinan yang ada hanyalah pengakhiran yang buruk.
Di Malaysia, penyakit ini sudah amat jarang dijumpai menjelang penghujung tahun 70an dan hampir tidak dikesan pada sekitar tahun-tahun 80an. Kes polio terakhir yang direkodkan di Malaysia ialah pada tahun 1992, itupun jangkitan tersebut dibawa dari luar negara. Sehingga hari ini tidak ada lagi rakyat Malaysia yang dijangkiti penyakit ini. Pada tahun 2000 Malaysia telah dengan bangganya mengisytiharkan kepada dunia bahawa negara kita telah berjaya menghapuskan sepenuhnya penyakit ini. Terima kasih kepada Program Imunisasi Kebangsaan yang telah dimulakan sejak tahun 1972 lagi.
Kini polio kembali menjadi ancaman. Kementerian kesihatan sedang mengambil tindakan proaktif dengan menghalang penyakit ini dari kembali. Sampel dari sisa-sisa kumbahan diuji, kawasan yang rendah liputan imunisasi dikenal pasti dan program imunisasi yang sedia ada dipertingkatkan. Pemantauan gejala penyakit menyerupai polio juga giat dilakukan di semua fasiliti perkhidmatan kesihatan di seluruh negara.
Kenapa polio ini amat ditakuti? Polio, sepertimana penyakit lain yang divaksinkan, tidak ada ubatnya, tidak ada rawatan untuk menyembuhkannya. Sekiranya dijangkiti, kebarangkalian hanya dua; menjadi lumpuh seumur hidup, atau meninggal dunia. Virus polio pula amat mudah tersebar dan menjangkiti orang lain. Perumah bagi virus ini hanyalah manusia, ia tidak menjangkiti haiwan lain. Oleh itu, virus ini akan mencari manusia untuk dijadikan perumah, menakung kolam pembiakan bagi meneruskan kitar hidupnya.
Poliovirus (virus yang menyebabkan penyakit polio) adalah sejenis enterovirus, virus ini hidup membiak di dalam usus manusia. Jangkitan virus ini adalah melalui makanan yang tercemar oleh najis manusia, yang selalunya terjadi akibat penyediaan makanan yang tidak bersih dan bekalan air yang tercemar. Orang-orang terpinggir dan kanak-kanak yang hidup di dalam persekitaran yang tidak bersih amat mudah untuk dijangkiti virus ini.
Apabila dijangkiti, virus ini menyerang sistem saraf tunjang dan mengakibatkan kelemahan otot dan boleh membawa kepada kelumpuhan kekal. Dalam kes yang lebih serius, otot diafragma juga boleh mengalami kelumpuhan. Apabila otot ini lumpuh, paru-paru tidak lagi boleh mengembang dan menguncup, menyebabkan pesakit tidak boleh bernafas sendiri, kecuali dengan bantuan peralatan pernafasan. Pada masa dahulu, paru-paru besi (iron lungs) digunakan untuk membantu pesakit bernafas, dan pesakit perlu menggunakannya seumur hidup. Kebanyakan kematian oleh polio adalah disebabkan kegagalan pernafasan akibat kelumpuhan otot ini.
Di dalam Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan, sebanyak empat dos vaksin diberikan kepada bayi berumur 2, 3, 5 dan 18 bulan. Beruntunglah kita menjadi rakyat Malaysia yang diberikan kemudahan suntikan imunisasi secara percuma. Begitupun haruslah kita sedar bahawa terdapat golongan yang tidak divaksinkan atas pelbagai sebab. Selain masalah kesihatan, terdapat golongan yang tidak mendapat keistimewaan untuk mendapat akses kepada penjagaan kesihatan percuma, maka mereka tidak divaksinkan. Adalah menjadi tanggungjawab sosial kita untuk turut melindungi golongan yang tidak divaksinkan ini. Untuk mencapai tahap imuniti kelompok yang berkesan, liputan imunisasi harus sentiasa melebihi 95 peratus. Sekiranya semua rakyat Malaysia yang layak untuk divaksinkan melengkapkan dos imunisasi mereka, maka terselamatlah golongan yang tidak bernasib baik ini.
Seruan agar bayi dan kanak-kanak melengkapkan imunisasi mestilah disahut dengan berani. Di era teknologi penjagaan kesihatan yang teramat maju ini, cabaran sebenar masyarakat moden terutama ibu bapa bukan lagi tentang akses kepada ubat-ubatan dan fasiliti kesihatan, tetapi menjadi bijak dan rasional untuk memberi perlindungan kesihatan kepada bayi dan anak-anak.
Sejarah kita telah merakamkan detik hitam kembalinya difteria dan pertusis yang meragut bukan satu-dua nyawa. Kini, adakah kita ingin mengucapkan selamat datang kepada polio pula. Apa lagi selepas ini? Tetanus? Cacar?