Oleh: Alip Moose

BAHAGIAN PERTAMA

Masyarakat kita dalam kesakitan dan ianya tenat. Memerlukan ubat dan juga rawatan yang khusus dan radikal. Dan ubat serta juga rawatan itu biarlah berhujung kepada sifat kemanusiaan yang hakiki. Sejak akhir ini kita dikejutkan dengan berita yang tidak begitu menenangkan. Resah dan gelisah, muak, jijik dan amarah, serta sedih dan kecewa. Berbaur perasaan. Ianya adalah masalah pedofilia. Masalah yang bukan berlaku hari ini tetapi berlaku sejak lama, ianya meluap-luap keluar daripada lohong gelap dan jijik. Tanpa mengenal latar belakang geografi, budaya, agama, bangsa dan kepercayaan serta apa sahaja pangkat duniawi.

Kita dapat membaca masalah ini (pedofilia) berlaku sangat deras dan kadang-kadang seperti sebuah organisasi sistematik yang dicipta oleh manusia-manusia yang punyai moral atau kerohanian yang sangat rendah malah melebihi binatang. Itu semua adalah daripada tujuan yang sama, kepuasan nafsu rendah dan jijik serta duit. Ia berlaku di dalam dunia ini dan di era internet ini, deepweb, laman sosial seperti WhatsApp, Telegram, Tumblr dan lain-lain lagi menjadi tempat para pedofilia ini bekerja.

Pedofilia ini adalah sebuah penyakit yang sukar dikesan dan juga tidak begitu senang diubati tetapi tetap ada jalan penyelesaian yang manusiawi. Para pedofilia ini secara umum adalah perasaan untuk meminati atau lebih tepat, punyai rasa seksual terhadap kanak-kanak yang belum akil baligh.

Kes-kes pedofilia ini juga rencam atau pelbagai, kerja terkutuk mereka ini melampaui kebinatangan. Daripada pencabulan, seks oral, kemasukkan zakar ke dalam burit dan lain-lain lagi. Masalah dan penyakit pedofilia ini juga melampau batas, sampaikan bukan sahaja kanak-kanak malahan telah berlaku ianya sampai kepada bayi kecil! Malahan penderaan juga berlaku yang adakalanya sampai ke tahap pembunuhan. Dan ini berlaku secara sungguh, bukan sahaja fantasi para fetish yang sakit, tetapi adalah realiti daripada dunia dan masyarakat yang sakit ini.

Seperti kejadian Richard Huckle sang pedofilia yang bertugas sebagai guru bahasa Inggeris di Malaysia. Dia telah melakukan jenayah dan kegiatan tidak bermoral ini sejak tahun 2006 lagi sehinggalah tahun 2014 apabila dia ditangkap pihak berkuasa dilapangan terbang London Gatwick pada  Disember 2014 selepas pulang dari Malaysia untuk menyambut Krismas. Dia melakukan perkara tidak bermoral itu kebanyakannya di Kuala Lumpur dan seringkali mangsa adalah kanak-kanak daripada golongan gelandangan dan miskin di bandaraya tersebut. Polis juga menemui lebih 20 ribu bahan gambar serta video kanak-kanak dan disebarkan di dalam laman sesawang gelap. Dia kemudiannya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Bagi aku, masalah pedofilia ini apabila disabitkan kesalahan dengan sesungguhnya, hukuman mestilah gantung sahaja.

Kita juga pernah dikejutkan dengan berita mengenai Nur Fitri Azmeer Nordin, seorang penuntut jurusan Matematik di Imperial College yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh mahkamah di London selepas didapati bersalah memiliki ribuan video dan gambar lucah kanak-kanak, termasuk 601 imej ‘kategori A’ yang menggambarkan hubungan seks dengan kelompok bawah umur.

Ini adalah masalah dan penyakit psikologi yang harus kita bahaskan secara telus, jujur, tegas dan bersolusi oleh sekalian pakar di Malaysia khususnya. Para aktivis juga harus kedepankan masalah ini, berikan pengenalan serta pencerahan akan masalah pedofilia yang melanda bagaikan wabak virus ini.

Memetik daripada berita Utusan Malaysia pada tahun 2017, Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 12,025 kes seksual terhadap kanak-kanak berlaku di negara ini sehingga Oktober tahun lalu. Menurut Rosmah Mansor Isteri Bekas Perdana Menteri Najib Razak yang juga Penaung Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak pada tahun 2017, jumlah itu hanya sebahagian kecil kerana masih ramai ibu bapa dan keluarga mangsa jenayah seksual tidak membuat laporan polis atas alasan menjaga maruah keluarga. Terdapat satu kajian yang menyatakan bahawa Malaysia mencatatkan kadar muat naik dan muat turun pornografi kanak-kanak tertinggi di Asia Tenggara. Perkara ini sangat mengecewakan, ianya bagaikan sebuah budaya yang terbentuk ekoran kejahilan masyarakat dan kelambanan gerak-kerja pihak berkuasa untuk menyatakan hal ini secara telus dan jujur. Walaubagaimanapun, akhir-akhir ini, kesedaran dan gerak-kerja daripada pihak berkuasa dan aktivis serta NGO juga berlaku dengan baik. Tetapi perkara ini perlu diradikalkan lagi, supaya masalah pedofilia ini ditangani dengan berkesan dan berhikmah. Pedofilia haruslah dihilangkan dimuka bumi ini.

Setakat keterhadan pencarian aku, NGO IKRAM, sebuah Jemaah islamik di Malaysia pada tahun 2017 juga mengadakan sebuah ‘seminar’ perihal jenayah seksual kanak-kanak dan ini termasuk jenayah pedofil. Serta banyak NGO lain yang telah lama dan aktif cuba memberikan kesedaran dan melawan masalah pedofilia dan jenayah seksual kanak-kanak. Aku berharap juga partai politik PAS melakukan hal yang sama dan malah lebih aktif dan radikal, biarlah muslimat PAS yang mesti adakan solusi secara komprehensif terhadap masalah ini.

Kita dihadapkan dan dikejutkan dengan kes seorang lelaki dari Kelantan berumur 41 tahun menikahi seorang budak berumur 11 tahun. Pernikahan mereka itu dilakukan di Siam katanya. Sebab-sebab nikah itu pula si lelaki beralasan dengan alasan agama seperti, Sunnah Nabi Muhammad saw (wallahualam, kemungkinan ekoran sejarah nabawiyah, Muhammad saw bernikah sama Aishah R.A) dan juga beralasan dengan ingin membantu keluarga si kanak-kanak perempuan itu.

Isu ini hangat dan terjadi debat besar-besaran, di media sosial, aktivis serta NGO dan juga malah pihak berkuasa juga dan campur tangan politikus.

Di bahagian seterusnya, kita akan cuba menelusuri beberapa point yang ditimbulkan ekoran kes ini:

– Pertama, jelas isu agama,
– kedua adalah isu hak asasi kanak-kanak itu,
– ketiga adalah isu pendidikan atau ilmu dan
– keempat  adalah isu jiwa kemanusiaan.

bersambung…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *