Oleh: Alip Moose

Ada pun masalah dan isu kedua adalah hak asasi kanak-kanak itu. Perlu kita ketahui bahawa perkahwinan kanak-kanak bukanlah bererti memberi mereka perlindungan tetapi sebenarnya telah menafikan hak mereka yang sesungguhnya. Kita berikan contoh seperti kes yang terjadi baru-baru ini di Kelantan, kanak-kanak yang berumur 11 tahun dinikahi oleh orang tua lelaki berumur 41 tahun itu. Waktu kanak-kanak itu masih dalam proses tumbesaran dan proses belajar erti hidup dan bermain yakni berkreasi, kanak-kanak itu telah dibebankan dengan bebanan mental, emosi dan malah fizikal. Dan untuk pengetahuan kalian, si lelaki itu berumur 41 tahun adalah seorang suami kepada isteri yang lain. Dikatakan kanak-kanak itu adalah isteri yang ketiga!

Jadi ini bukan sahaja masalah berkahwin kanak-kanak, malah, ini juga berkait dengan masalah dalam poligami itu sendiri, bagaimana pasangan si isteri tua dan si lelaki tua ini yang tiada kebertanggujawaban terhadap isteri yang tua. Dikatakan si lelaki tua itu mempunyai masalah dari segi nafkah material dan juga nafkah moral seperti menjaga anak-anak dan isterinya sendiri. Lantas bagaimana pula si lelaki tua itu sanggup berkahwin pula dengan seorang kanak-kanak berumur 11 tahun!

Tidak dapat tidak si lelaki tua itu mempunyai masalah psikologi dan ianya sebuah kecelakaan dan pedofilia. Walau kemungkinan besar si lelaki tu itu tidak tahu apa itu pedofilia, tetapi apa yang dilakukan itu adalah pedofilia. Kenapa? Kerana dia telah dikatakan berkenalan dengan kanak-kanak itu 4 tahun dahulu, yakni ketika budak itu berumur dalam 6-7 tahun!

Sebuah berita pula menyatakan kanak-kanak itu telah rela dan sanggup berkahwin dengan lelaki tua itu. Ini sebenarnya bukanlah pilihan si kanak-kanak itu, barangkali kanak-kanak itu telah diperlakukan baik atau dalam istilah psikologi (?) iaitu grooming. Seperti kelakuan seorang pedofilia yang mem-brainwash kepala otak kanak-kanak untuk diperlakukan secara seksual khususnya. Barangkali, grooming si pedofilia telah dilakukan ke atas kanak-kanak itu, ini kerana menurut dakwaan si lelaki tua itu, mereka telah mengenali sewaktu kanak-kanak itu berumur 6-7 tahun. Jadi ekoran grooming itu dan manipulatif minda dan emosi, kanak-kanak itu telah dihalusinasi bahawa tiada yang terbaik dalam dunia ini melainkan lelaki tua itu dan kanak-kanak itu juga, menurut berita, rela dikahwini oleh lelaki tua itu.

Ini adalah sebuah pencabulan hak asasi kanak-kanak dalam masa yang sama adalah kes pedofilia atas nama agama!

Perkara ini sebenarnya bukan sahaja masalah psikologi, sebenarnya ia juga adalah masalah sistem; undang-undang dan pendidikan. Ianya berkait rapat. Sekurang-kurangnya 152,385 kanak-kanak yang berumur 15-19 telah berkahwin menurut kajian Pendudukan dan Perumahan tahun 2010. Dan itu telah berganda lipat naik 65,029 yang telah didokumentasikan pada tahun 2000, dan suatu kepastian adalah perkara, perkahwinan ini berlaku semuanya dibawah umur 19 tahun. Dan dikatakan 10,267 kanak-kanak dalam lingkungan umur 10-14 telah dikahwinkan. Dan kebanyakannya adalah kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa.  Kanak-kanak perempuan (80,195) kanak-kanak lelaki (72,640) dan kebanyakkan yang terkesan adalah daripada kalangan Melayu-Muslim.

Ini menunjukkan sesuatu yang buruk, sistem yang ada ini tidaklah dapat membantu dengan berkesan. Sistem atau undang-undang hak asasi kanak-kanak mestilah diradikalisasikan secara holistik, supaya hak asasi kanak-kanak ini benar-benar ditunaikan. Ini bukanlah kes yang terpencil sebenarnya, ini adalah kes yang besar dan ianya telah menjadi norma. Kita tidak mahu perkara ini menjadi norma, kita tidak mahu perkahwinan kanak-kanak dijadikan norma, kerana kita tidak juga mahu para pedofilia ini berleluasa dengan menjustifikasikan gerak-kerja mereka yang tidak bermoral ini atas nama agama atau atas undang-undang yang rosak!

Perkahwinan kanak-kanak mestilah diharamkan.

Undang-undang mestilah direformkan dengan sesungguhnya. Para intelektual, agamawan, psikologis, perubatan, aktivis dan NGO mestilah menekan kerajaan dan mestilah berbincang dengan kerajaan akan masalah yang besar ini. Kita kecewa kerana masalah pencabulan hak asasi kanak-kanak ini atau masalah pedofilia dijustifikasikan dan ditutupkan dengan alasan agama. Aku setuju dengan sebuah pernyataan NGO SIS (Sister In Islam) berkenaan dengan masalah ini. Izinkan aku memetik kenyataan itu disini tanpa mengubah apa-apa.

Dalam esei JANGAN GUNAKAN ISLAM UNTUK MEMPERTAHANKAN NIKAH BAWAH UMUR oleh SIS, aku petik kata mereka;

“Selaras dengan harapan negara untuk mencapai kemajuan yang menyeluruh dan inklusif, Sisters in Islam (SIS) mendukung prinsip bahawa pernikahan bawah umur sememangnya tidak boleh diterima walau apa pun situasinya di dalam negara ini. Oleh itu, kerajaan perlu dilihat sebagai peneraju utama anjakan paradigma budaya dan sosial dalam menangani dan membasmi pernikahan bawah umur di negara kita.

Islam telah diturunkan sebagai agama penyelamat dan pembebas daripada penindasan. Antara asas-asas yang menjadi tarikan kepada pengumatNya ialah prinsip rahmah dan keadilan yang seharusnya dijadikan titik utama bagi amalan kita sebagai seorang umat Islam. Pengunaan umur Aishah dalam mempertahankan pernikahan bawah umur menunjukkan keengganan sesetengah pihak dalam menangani pernikahan bawah umur, sekaligus menunjukkan bagaimana wanita Islam sering dieksploitasi dan dipergunakan oleh undang-undang diatas nama Islam.

Selagi kerajaan enggan mengambil tindakan tegas terhadap isu-isu moral seperti pernikahan bawah umur, selagi itulah rakyat akan terbeban dengan kesan-kesan sosial yang negatif. Malangnya, penderitaan mereka adalah bukan sesuatu yang baru. Penerbitan kami yang terbaru, “Child Marriage: It’s Relationship with Religion, Culture and Patriarchy, a National Report on Malaysia,” yang ditulis dengan gandingan Asian Pacific Resource and Research Centre for Women (ARROW), kami mendapati bahawa Banci Penduduk dan Perumahan 2010 menunjukkan sebanyak 153,000 individu dibawah umur 19 tahun telah berkahwin di Malaysia, dan kebanyakkan daripada mereka terdiri daripada golongan Melayu Muslim. Daripada jumlah itu, 80,000 terdiri daripada kanak-kanak perempuan dan selebihnya kanak-kanak lelaki. Harus diketengahkan bahawa terdapat banyak negara di serata dunia di mana kemiskinan merupakan faktor utama bagi pernikahan bawah umur. Namun begitu, di Malaysia punca utama bagi perkahwinan bawah umur merupakan konservatisme agama, kepercayaan patriakal dan perlakuan seksual yang buruk.

Laporan kerjasama UNICEF dan University Al-Azhar di Egypt telah melaporkan, “pernikahan bawah umur hanyalah merupakan suatu adat, ia bukanlah sebahagian daripada Shariah atau ibadah dan akan menjurus kepada keraguan yang membawa kepada impak negatif. Dengan itu, umur perkahwinan seharusnya termaktub selepas umur 18 tahun. Perkahwinan merupakan tuntutan agama dan sosial yang menuntut agar kedua-dua belah pihak berkemampuan untuk menangung tanggungjawab masing-masing, sekaligus menjadikan tanggungjawab ini tidak bersesuaian bagi kanak-kanak”. Ia harus diketengahkan bahawa kebanyakan negara majoriti Muslim telah meningkatkan had umur perkahwinan termasuk Algeria (peningkatan umur perkahwinan kepada 19 tahun bagi lelaki dan perempuan), Bangladesh (peningkatan umur perkahwinan kepada 18 tahun bagi perempuan dan 21 tahun bagi lelaki), Morocco (18 tahun bagi lelaki dan perempuan) dan Turkey (peningkatan umur perkahwinan daripada 15 kepada 18 tahun bagi perempuan).

Tambahan pula kes pernikahan bawah umur di Kelantan ini juga melibatkan pernikahan poligami. Oleh itu keadaan kebajikan semua pihak harus diambil serius dalam mengambil kira keperluan undang-undang dan persetujuan isteri-isteri yang lain. Ini termasuklah kemampuan pihak suami dalam memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga kepada kesemua keluarganya dengan adil dan saksama.

Bagi menangani situasi ini di Malaysia, pernikahan bawah umur harus diharamkan di dalam negara bagi semua kanak-kanak, Islam mahupun bukan Islam, tanpa sebarang pertikaian.

Selesai kita petik daripada SIS. Memang benar, apa yang berlaku adalah sangat merunsingkan, dan kita berharap, berkat NGO dan aktivis serta pakar-pakar, untuk mengubah sistem yang ada kepada sistem yang lebih radikal, holistic dan adil.

bersambung…

Klik untuk baca Bahagian Pertama dan Bahagian Kedua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *