Oleh: Alip Moose
BAHAGIAN AKHIR
Ketiga, kita cuba menelusuri masalah serta isu pendidikan dan ilmu.
Aku pikir inilah antara benda penting, yakni ilmu atau pendidikan. Tanpa ini, kemanusiaan akan statik, tiada progress, malah sama sekali bagaikan bukan benda hidup. Dengan ilmu juga apa saja akan pasti tidak mustahil. Dengan ketiadaan ilmu serta pendidikan, kerap, kebobrokan, kerosakan, penyelewengan eksploitasi, pencabulan dan pelbagai lagi perkara buruk serta jahat menjadi-jadi dan berleluasa.
Tanpa ilmu yang bermanfaat, seorang pengajar contohnya, takkan dapat mendidik anak muridnya atau orang sekelilingnya dengan berkesan dan malahan boleh saja ianya menjadikan ilmu itu tiada guna. Ekoran kejadian kanak-kanak berumur 11 tahun yang bernikah dengan lelaki tua berumur 41 tahun itu; kita juga disogokkan dengan berita daripada politikus; yang menjadi pembicaraan kita kali ini adalah kenyataan daripada pihak pembangkang seperti PAS (Parti Islam Se-Malaysia). Dalam sebuah berita, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah salah seorang pemimpin PAS berkata, bahawa LGBT dan Zina lebih penting ditumpukan berbanding isu seorang kanak-kanak berumur 11 tahun bernikah dengan seorang lelaki tua berumur 41 (di mana lelaki tua ini sudah punyai 2 isteri tua dan kanak-kanak itu telah menjadi isteri ke 3 dan isteri kedua telah mengaku dan sanak-saudaranya juga mengakui bahawa lelaki tua itu yang berumur 41 tahun itu tidak adil dan tidak ada moral untuk berpoligami). Kata Mohd Amar Nik Abdullah, masalah kahwin kanak-kanak itu adalah kes terpencil dan tidak perlu dinasionalkan (tidak perlu diperbesarkan).
Jadi di sini kita menghadapi seorang politikus serta digelar ustaz oleh kebanyakkan Melayu-Muslim yang konservatif, tetapi, kekurangan mantik atau logik terserlah dan kekurangan ilmu serta ketelitian untuk menjadi pemimpin adalah sangat terserlah. Tidak tahukah dia bahawa kajian serta laporan telah diadakan sejak dulu dan sekarang pasal masalah pencabulan hak asasi kanak-kanak ini? Dalam satu masa, dia juga seolah-olah tidak peduli dan mengiyakan dengan maksud, tidak terkesan atau boleh dikatakan dia setuju dengan pernikahan kanak-kanak. Jika benar, maka, ini bukan lagi sesuatu yang tersilap faham atau terlepas pandang tetapi ini adalah masalah kejahilan dan kebebalan Mohd Amar Nik Abdullah itu sendiri. Jadi, Nik Amar sendiri walau bergelar ustaz, masih jahil akan keilmuan islam dan tiada daya multi-disiplin untuk menjadi pemimpin atau bahkan ulama sekalipun.
Hak asasi kanak-kanak atau lebih umum, hak asasi manusia adalah tidak bercanggahan dengan esensi Islam moderate (disebabkan aliran dalam islam begitu rencam, maka, ulama atau pakar-pakar telah meletakkan 3 aliran masa ini seperti moderate, puritan dan konservatif. Jadi aku gunakan istilah Islam moderate dan aku percaya akan Islam moderate yang punyai sifat-sifat yang positif. Walau pun ada sebagian orang mengatakan Islam adalah Islam, bukan islam itu dan ini, tetapi jika kita teliti si penaung yang bercakap itu, kita akan mengenal bahawa Islam yang Islam itu sebenarnya berbalik kepada islam puritan atau konservatif).
Ya, hak asasi manusia tidak bercanggah dengan inti pati Islam. Perkara ini telah dijelaskan oleh ulama dan mufakkir Muslim sendiri, silam dan kontemporer. Aku pikir, kalian boleh merujuk sendiri kitab Cita Sempurna Warisan Sejarah oleh Syed Hussein Alatas, Islam Agama Kemanusiaan oleh Nurcholish Madjid serta siri syarahan dan makalah-makalah oleh Khaled Abou El Fadl. Kesemua ulama dan mufakkir yang telah aku sebutkan itu mengkaji dan melihat tradisi Islam serta sejarah dan juga ‘piagam’ hak asasi manusia Barat.
Ketiadaan dan kelemahan ilmu serta pendidikan yang kurang maju akan menyebabkan orang seperti Mohd Amar Nik Abdullah itu muncul bagaikan cendawan dan yang paling menyesalkan sekali adalah orang seperti itu diangkat sebagai pemimpin PAS.
Bagi aku, inilah masalah kerosakan ilmu dan ketiadaan hikmah dalam pendidikan di Malaysia secara umumnya. Kita memerlukan tindakan tegas dan jujur daripada para intelektual serta ulama yang mempunyai kewibawaan dan serta multi-displin. Seorang faqih yang benar-benar mendalami Al-Quran, Sunnah, dan serta ilmu seperti Sosiologi, Antropologi, Falsafah, Psikologi, Sains Timur dan lain-lain.
Masalah agamawan atau politikus yang bebal ini bersuara bagaikan burung kakak tua, mereka menyebut tetapi mereka tidak memahami apa yang mereka katakan. Ini mengingatkan aku kepada kenyataan kawan aku, Huda Ramli, katanya; “Ke-slow-an sarjana dan ulama Malaysia untuk berkata ‘tak boleh berkahwin dengan budak bawah umur’ memberi petunjuk ada yang tak kena dengan cara fikir mereka. Formulasi fatwa adalah dengan instrumen dan bersandarkan eviden dari segenap sisi dan factor terkait, baik naql, sosial, sains, etika dan sebagainya… Kalau satu perkara itu jelas buruk dan salah tapi masih lagi tak nampak mana keabsahan untuk berkata tidak, satu sajalah puncanya, cara fikir yang sepenuhnya dipengaruhi dengan bias sama ada mereka sedar atau tidak walaupun mereka kata mereka ikut disiplin agama.” Selesai memetik kata kawan aku, Huda Ramli.
Inilah yang kita hadapi, kita menghadapi golongan konservatif yang tiada daya dan intelektualisme yang bagus dan serta golongan yang tidak dapat mencerna masalah yang lebih besar dan lebih umum serta manusiawi.
Ini mengingatkan aku kepada golongan yang menolak pendidikan seks secara semberono. Mereka ini tidak tahu apa itu pendidikan seks, yang mereka beranggapan sekadar mengajarkan jimak semata-mata. Sebenarnya ini juga dan kedunguan ini juga datang daripada mereka yang punyai pangkat seperti dan khususnya politikus PAS dan para aktivis Melayu-Muslim yang berorientasikan islamik yang konservatif dan puritan.
Sebenarnya pendidikan seks secara umum dan Islami telah dinyatakan oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan di dalam buku Tarbiyatul Aulad fil Islam menulis secara terperinci mengenai pendidikan seksual ini mengikut empat tahap umur iaitu mumayyiz (7-10 tahun) yang mana mereka diasingkan tempat tidur antara lelaki dan perempuan dan diajar adab melihat juga adab meminta izin apabila ingin masuk ke bilik ibu bapa.
Tahap kedua ialah prabaligh iaitu murahiqah (10-13 tahun). Meraka dididik mengenai perubahan diri juga diawasi daripada perkara yang boleh merangsang nafsu seks. Tahap ketiga umur akil baligh iaitu 14 hingga 16 tahun. Mereka diajar adab berhubungan antara lelaki dan perempuan dan tahap terakhir pada usia 17 tahun ke atas. Mereka ini diberi kefahaman mengenai tanggungjawab reproduksi dan dididik dengan adab menjaga maruah serta kehormatan diri.
Malah kita juga memerlukan pendidikan seks yang komprehensif dan realistik, selain undang-undang yang bagus kita juga memerlukan pendidikan yang bagus. Ini kerana undang-undang yang bagus tidak akan menjadi apa-apa tanpa pendidikan yang bagus, komprehensif, realistik dan holistik. Pendidikan seks adalah pendidikan supaya kanak-kanak dan remaja mengenal dirinya sendiri, biological diri mereka dan serta emosi mereka. Juga berkaitan dengan masalah HIV, penyakit berjangkit, penyakit kelamin serta keganasan dalam perhubungan dan lain-lain lagi. Pendidikan seks bukanlah sekadar jimak-menjimak semata-mata tetapi ianya berhubung kait dan pasal hak asasi manusia, norma gender dan perhubungan yang baik dan bagus atau consent relationship. Pendidikan seksual komprehensif mengajarkan anak-anak tentang akil baligh, tubuh mereka serta kesehatan reproduksi dan seksual. Ini memberikan informasi penting yang dibutuhkan anak perempuan untuk kehidupan, termasuk pencegahan kehamilan, seks yang aman dan selamat, memahami tubuh dan batas mereka, menavigasi hubungan. Dengan itu juga mengajarkan rasa hormat terhadap diri mereka sendiri. Ini memberdayakan kaum muda untuk membuat keputusan yang baik demi kebaikan mereka.
Pendidikan dan ilmu yang luas dan rencam ini juga perlu diajarkan juga kepada ibu bapa, supaya ada kesedaran yang menyeluruh dan supaya anak-anak muda kelak menjadi ibu bapa atau pengajar yang berilmu serta manusiawi.
Kita juga berharap ulama serta pemikir dan ahli dalam bidang psikologi, undang-undang dan yang berkait, mestilah adakan suatu seminar dan supaya seminar itu membuahkan hasil yang sesungguhnya, ini kerana masalah ini bukanlah masalah kecil seperti yang dikatakan Mohd Amar Nik Abdullah dan sebahagian orang lain yang jahil dan bebal. Ini masalah yang besar dan masalah kemanusiaan umumnya. Tidak dapat membutakan mata, ianya harus ada solusi yang radikal serta manusiawi.
Keempat adalah isu kejiwaan manusia.
Dengan ilmu yang bermanfaat aku percaya, bahawa kejiwaan manusia akan selamat. Falsafah ilmu dan kebermanfaatan ilmu itu sendiri yang diaplikasikan atau diamalkan akan berhujung kepada keselamatan jiwa dan kemanusiawiaan. Seperti musik dan alunan ritma yang indah dan bersemangat, ianya memberikan manusia itu getaran jiwa dan semangat baru.
Kita tahu benar kondisi manusia ini bagaimana, tetapi tiap manusia haruslah terus belajar dan kehadapan tetapi tidaklah sampai melupakan apa yang terjadi dahulu. Dan memang manusia adalah progress atau berubah, kerana tiada yang statik, melainkan tumbuhan dan haiwan, manakala manusia adalah progress, kerana perubahan itulah yang maujud.
Berubah kearah pendidikan, sistem, undang-undang yang lebih segar dan baru, radikal, holistik dan indah. Supaya hak asasi segala manusia terbela oleh manusia sendiri, bukannya dihancurkan dan dirosakkan oleh manusia sendiri. Dan kita tahu, perkara ini bukanlah perkara yang sehari dua, tetapi mulakanlah sekarang. Tiada penangguhan lagi. Masalah pencabulan hak asasi kanak-kanak dan pedofilia ini sangat membawa bencana dan kerosakan moral. Hindari adat jahiliah sebegini semua.
Maka, kita, manusia, belalah manusia sekaliannya.
Insyaallah, wallahualam.
***
Klik untuk baca Bahagian Pertama, Bahagian Kedua dan Bahagian Ketiga.