Oleh: Farahani R.

Isu ini pedas untuk diperkatakan, sehinggakan saya teragak-agak menulis isu ini pada mulanya. Kes kelompok yang enggan berdiri hormat ketika lagu Negaraku didendangkan menarik perhatian seluruh warga Malaysia. Ramai marah dan mengecam tindakan ini, dan ini membawa saya semula ketika pemain bola keranjang berkulit hitam di Amerika juga enggan berdiri hormat ketika lagu kebangsaan Amerika dimainkan. Ia suatu bentuk protes, dan saya kira, kelompok yang tidak mahu bernegara Malaysia ini juga melihat tindakan duduk itu adalah suatu protes yang membanggakan.

Tulisan ini tidak bertujuan untuk menilai moral kelompok pemisah ini. Saya hanya ingin menulis isu ini untuk memperkenalkan mereka pada warga Malaysia, khususnya buat warga Semenanjung Malaysia yang prihatin terhadap isu kelompok pemisah ini. Tambah lagi, tulisan ini juga tidak bertujuan untuk ‘mengapi-apikan’ mana-mana pihak. Saya memikirkan lebih baik diwujudkan suatu ruang wacana yang membolehkan kita faham mengapa mereka boleh bertindak sedemikian. Walau bagaimanapun, saya harus akui bahawa tulisan ini tersalur sekadar dari pengetahuan, pengamatan dan pemahaman saya terhadap mereka selama beberapa tahun mengikuti perkembangan mereka.

Pada awalnya, pemimpin politik selalu mengulangi retorik ‘Sabah for Sabahan’ dan ‘Sarawak for Sarawakian’ dengan agenda tersendiri. Pembangkang memakai slogan ini untuk ‘mengubah’ manakala pihak kerajaan menolak slogan tersebut untuk memastikan kebumiputeraan terus menjadi elemen pemilihan pangkat dalam pentadbiran. Malang sekali, kadangkala kebumiputeraan inilah memisahkan calon jawatan yang betul-betul berkualiti dengan calon jawatan yang ‘berketurunan’ sama dengan pemimpin tersebut. Ya, kepelbagaian etnik yang ada tetap gagal menyelesaikan isu bias atau kecenderungan memilih seseorang calon. Namun ini hanya khabar angin, tiada terbukti dan cukup dipersetujui ramai anak muda tempatan.

Khabar-khabar angin ini, entah betul atau tidak, menyemarakkan lagi isu kebumiputeraan. Tidak cukup dengan itu, retorik kebumiputeraan menyusup masuk dalam hak-hak orang Borneo dan kemajuannya. Hal ini tidak banyak beza dengan isu Ketuanan Melayu, hanyalah kali ini, ia tidak dapat diperkatakan sebagai ‘Ketuanan Borneo’. Jika dalam konteks Sabah, saya agak ia tempias dari nasionalisme Kadazan yang masih menyala bara apinya. Tuntutan hak bumiputera dan pembangunannya kini diwakili oleh organisasi pemisah. Bagi mereka, MA63 menekankan kepentingan Malaya terhadap Borneo sedangkan seharusnya, Borneo yang kaya dengan sumber ini diangkat berkepentingan sama seperti Putrajaya. Mereka mengimbau kisah 1976, apabila kedudukan Sabah dan Sarawak seolah diubah dan direndahkan sebaris dengan negeri-negeri Malaya yang lain.

Makna MA63 adalah hak dan kedaulatan. Kehormatan dan kesetiaan. Sebuah kontrak yang dipersetujui Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Apa yang dipinta 20 perkara itu harus wujud dan tetap dikuatkuasakan sebagaimana yang diakui. Daripada 20 perkara ini, kesan yang amat jelas adalah hak persempadanan. Untuk bumiputera Borneo, proses mendapatkan pas masuk ke negeri-negeri mereka adalah salah satu bentuk penguatkuasaan yang dituntut demi kedaulatan Borneo. Hak persempadanan ini juga dijadikan senjata politik bagi pihak kerajaan negeri dalam menegah masuk beberapa tokoh politik dan agamawan. Seolah-olah perundangan Sabah ini juga tiada jiwa dan boleh ditiduri oleh sesiapa sahaja yang berkuasa.

Penghormatan ini sudah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan tiada apa yang mampu memadam kewujudan beberapa perkara utama ini. Kerana kedaulatan jugalah, campur tangan parti Melayu dari Semenanjung Malaysia berusaha menembusi latar politik negeri. UMNO dahulunya sebuah parti yang gagah kerana disokong atas nama agama, barulah bangsa. Orang-orang kampung amat bangga menjadi sebahagian dari UMNO kerana ia dimanifestasikan dari kepala orang Semenanjung yang dilihat lebih pandai, bijak, maju dan kaya. Pengenalan DEB yang akhirnya mengkonsepsikan etnik Borneo sebagai ‘bumiputera’ yang duduk sama tinggi dengan orang Semenanjung dari segi ekonomi dan pendidikan. Ia juga menarik penduduk kampung terpencil menjadi lebih gemar bertindak menukar maklumat etnik dalam dokumen pengenalan mereka sebagai ‘Melayu’ berbanding mengekalkannya kepada ‘Bugis’ dan ‘Bajau’, enggan dilihat mundur disebabkan keturunan etnik mereka.

Ini adalah hari-hari lalu, ketika pentadbiran pertama Mahathir begitu agresif menasionalkan pemikiran awal para pentadbir Borneo. Kerjasama Borneo-Kuala Lumpur dipanjangkan menerusi kemasukan parti-parti politik negeri menjadi komponen Barisan Nasional, gagasan UMNO yang gagah selama 6 dekad. Setiap dekad ini, politik takut -menakuti dan ditakuti-, seperti tikus dan kucing berkejaran bergigit lapar dibulatkan semula menjadi penumbuk yang berhasil menerkam hati-hati penduduk tempatan yang melihat Menara Berkembar Petronas berdiri dari jauh. Tun Fuad Stephens pernah minta revisi semula, Tun Mustapha pernah ugut berpisah adalah jalan kedua atas meja. Televisyen yang semakin lama semakin murah, menjadi tingkap yang menawarkan keindahan hijau, burung kenyalang dan hutan tropika. Oh, itulah Sabah dan Sarawak nun jauh sana.

Berbondonglah datang orang dengan harapan bahawa Borneo itu seindah hutan, sungai dan gunung sejuk. Itu sahajalah. Penduduknya bercawat dan menari tengah sawah. Waktu itu, televisyen menjadi penghubung dunia orang biasa Malaysia Barat dan Malaysia Timur. Elit-elit Borneo yang berpendidikan tahu realiti ini dan mulai mencari isu-isu sosial yang boleh diperjuang dan dibangunkannya. Sesetengahnya menjadi tenaga pengajar, separuh lagi menjadi kaum professional kerajaan. Sekerat lagi pergi menunaikan niat membuka legasi, segelintir lagi masuk politik. Elit-elit ini bising dan semakin bising, “Sabah Sarawak tiada itu dan ini, tapi Semenanjung ada!” Maka orang negeri juga ikut bising, mengharap cerdik pandai memperjuang cerita-cerita orang yang sudah berpergian jauh lalu kembali membawa cerita bangunan gah serta kereta mewah.

Cerita ini menitis dari satu telinga ke telinga yang lain. Dibawa pula dari satu generasi ke generasi yang lain. Memasuki alaf ke-21, Internet mendemokrasikan ilmu yang mencerahkan orang-orang muda dengan hikayat ketertinggalan orang Sabah Sarawak di hujung ekor Semenanjung Malaysia. Ketika ini, gerakan pemisah tidak meluas. Diketahui asasnya pun barangkali cuma sekampung dua. Idea pemisahan dijadikan sebagai minyak dagu untuk menundukkan Putrajaya. Saya berpandangan, proses integrasi (baca: hegemoni budaya) Malaysia yang dipacu sedikit sebanyak mentawarkan magisnya idea pemisahan ini. Tidak ramai lagi melihat pemisahan sebagai jalan lestari ke arah kemajuan. Tidak ramai, dalam maksud saya, tetaplah wujud segelintir lagi yang memilih pemisahan sebagai jalan revolusi. Bahawa Melayu bukan Borneo. Integrasi ini hanyalah melemahkan kepahlawanan dan kemandirian Borneo.

Borneo boleh mandiri, seperti Singapura dan Brunei. Itu impian mereka yang duduk di bawah gerakan separatis ini. Yang mahu Borneo keluar dari gagasan Malaysia kerana Semenanjung Malaysia dipaparkan sebagai ‘peminjam’ kekayaan Borneo. Kerana Borneo ada tuannya sendiri, dan ia bukannya Putrajaya. Maka berpisahlah jalan paling adfal. Dari situ, elit-elit berpendidikan dari Borneo yang mahu berpisah ini mengorek semula perjanjian lama dan mendapati kelompangan-kelompangan sepertimana seorang ahli teoritikal mencari kekurangan teori mereka dalam lapangan praktikal. Kebanyakan argumen mereka mencapah dan memecah belenggu definisi, penstrukturan ayat serta gaya bahasa dokumen-dokumen lama. Di situlah penelaah arkib meniup terbang debu agar dapat membuka seisi sejarah lama untuk mengkonstrukkan naratif Perjanjian Malaysia.

Maka kita terbang semula ke tahun 2012. Doris Jones disebut ramai, berpangkalan jauh di negara kota London yang sejuk dan mewah. Katanya, dia tidak dapat pulang jika terbang semula ke Malaysia. Dia mendakwa sudah berurusan dengan peguam-peguam hebat di London demi membebaskan Borneo dari Malaysia yang dilukiskan begitu jahat sekali. Dia seorang elit berpendidikan yang digilai ramai tempatan, berharap gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) berjaya. 7 tahun kemudian, orang hampir lupa dengan SSKM kerana tenggelam dengan pepatah ‘Bossku’. 7 tahun kemudian, kuasa tular mengheret imej warganegara ‘Sarawak 4 Sarawakian’ yang nyata sekali duduk ketika Negaraku dimainkan. Bentuk protes kecil jika dibandingkan dengan demonstrasi-demonstrasi sepanjang 7 tahun ini sama ada oleh gerakan pemisah mahupun hanyalah warga Borneo yang mahukan perubahan dari Putrajaya.

Media tidak ingin memperlihatkan kegusaran Borneo sepanjang 7 tahun ini. Kuasa tular Internet sahaja boleh melawan arus media perdana. Kegusaran Borneo sudah lama, dan tumbangnya Barisan Nasional di Sabah adalah suatu kelegaan besar untuk membina semula ruang pembangunan jiwa, minda, ekonomi dan fizikal masyarakat Borneo. Hari pembaharuan harapan untuk orang biasa itu cuma sehari. 9-10 haribulan Mei 2018. Saya mengenang semula ‘peranan’ saya jadi tukang penyampai-rumus perkembangan berita drama Ketua Menteri Sabah menerusi laman Facebook untuk rakan-rakan Malaysia Barat dan pantai Timur Sabah.

Saya simpulkan, gerakan separatis ini bukan gerakan rogue. Ia adalah organisasi tersusun yang popular secara diam-diam. Bagi saya, adalah suatu kesalahan jika kita tidak memandang isu ini dengan serius untuk jangka masa yang panjang. Kelompok ini bukan ‘marah’ kerana geramkan perkara kecil. Ia hampir boleh dilihat sebagai suatu ‘tujuan hidup’ kerana dedikasi dan komitmen mereka untuk mengangkat idea pemisahan ini walaupun terpaksa bergerak di bawah tanah. Namun begitu, saya juga tertanya jika ini semua sekadar sandiwara politik, memperkuda naif rakyat biasa yang ternyata amat percaya dengan lakonan kelompok separatis ini. Mungkinkah kelompok ini berkepentingan sembunyi-sembunyi, dibayar gaji untuk jadi ‘rook’ arena catur politik Malaysia?

Penafian: Seluruh kandungan artikel ini adalah dari lensa pemahaman dan pengalaman peribadi saya. Ia tidak sepatutnya dijadikan rujukan utama untuk mengendalikan perbincangan Borneo-Putrajaya, dan setahu saya, sudah ada beberapa kajian yang mengutarakan pertimbangan dari kaca mata ilmiah mengenai isu tersebut. Untuk memahami isu ini, bacaan susulan harus ada kerana ia terjadi dalam suatu tempoh yang agak panjang dan kompleks untuk benar-benar dibongkarkan dalam satu artikel semata-mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *