Oleh: Farahani R.

Catatan pendek ini mungkin akan membangkit rona-rona marah, sesekali makian. Tunggu dahulu, Kapten Beatty ada benarnya. Terlalu membaca juga buruk, Guy.

Aktiviti membaca ini sebenarnya adalah suatu amalan yang ekslusif. Tentunya ini tidak bermaksud, ia hanya untuk orang kaya semata-mata. Secara sejarahnya, buku adalah komoditi mahal dan tersirat grandeur buat sesiapa yang membina suatu sudut khas demi menempatkan komoditi ini dengan kesanggupan yang maha tinggi. Kini tidak lagi, atas derma ikhlas dan rasa malas menyimpan, Markus Zusak suruh curi saja. Macam anda, Guy.

Saya memaksudkan ekslusiviti ini dari perspektif seorang pembaca tegar yang banyak melihat kepelbagaian yang memecahkan tabung toleransi untuk menafsir bahawa membaca itulah satu-satunya jalan ilmu. Masing-masing menegakkan benang pendapat mereka; ah membaca itu umpama meneguk pelajaran dari tokoh lama yang sudah tiada. Itu benar, tapi bagaimana pula dengan tradisi lisan dahulunya yang lebih mencurah kisah dan adat? Mereka ingat sekeras dan sehalusnya, seteliti dan seadanya. Akhirnya secekap perisian, secepat itu analisis komentari terlantar di bibir. Macam Bobolian menjampi turun naik semangat, macam Socrates bertanya ‘kenapa, kenapa, kenapa’, macam pendeta Yahudi menerangkan Muhammad itulah yang terpilih.

Ekslusiviti ini juga bertarung atas cakerawala dunia pembacaan buku, menempelak gaya pembacaan mana yang lebih afdal. Membaca selaju kilat, atau membaca sejuta buku setahun? Membaca mendalamkan faham, atau membaca menulis sebahagian besar itu dengan tanda “NOTA” di depannya? Skimming atau mencatat? Adakah ini sepatutnya diamalkan atas budi bicara pembaca atau telah ditetapkan ke atas segolongan lain bahawa membaca itu seperti pengajaran bahasa; gaya bahasa metafora, epifora, hiperbola dan latar-latar serta nilai pengajaran dalam ruangan 15-30 markah? Adler menjeling si pelumba-lumba baca, manakala si pelumba ini masukkan dalam resumenya, ‘jumlah buku sebulan Februari yang sudah dibaca adalah 31 buku’. Kuantiti mengigit kualiti, kualiti memijak kuantiti. Oh, saya tidak memasukkan berdustanya penulis-penjual, penulis-ilmuwan, penulis-penulis, penulis-penyair. Sfera tahu saya hanya tiga terkedepan, yang terakhir atau lainnya itu, baik saja tukarkan nama saya jadi ultracrepidarian.

Belum kira lagi usaha dari atas yang mahukan semua orang membaca. Boleh saja kita paksakan, budaya menjadi biasa. Kempen-kempen lembut hati hanyalah khayalan separuh tenaga. Perubahan yang dijalankan keras adalah cara Asia. Lihat China – kritikan itu adalah senjata yang memandulkan ‘jed magik’ mereka. Ahli sukan hinggalah ke syarikat besar tidak berani menyentuh bahu China saat dia sedang mengerang dicucuk Hong Kong. Itu tidak bermasalah, bukankah buku sudah dimusuhi api lalu kita tuliskan saja pada manual para Salamander bahawa buku itulah punca keruntuhan alam fikir manusia? Kapten Beatty juga benar, bahawa buku itu menyesatkan.

Ia menyesatkan dan memusuhi hidup yang minimal dan simplistik. Buat apa dengan kesaratan membaca, Guy? Di dunia saya, Internet adalah dalang kebobrokan moral, sarang segala nista jahat seorang jiwa manusia. Jean Baudrillard kata ini cuma realiti atas realiti. Orang baik dalam realiti yang satu, menjadi orang jahat dalam realiti yang satu. Apakah ini, tatacara dunia mimpi atas mimpi atas mimpi Nolan? Entah bebal mana yang bercogan kata,”apabila ia menyakitimu, ertinya dia sedang pulihkan dirinya”. Itu toksik, Guy. Toksik. Macam racun yang ditelan-haus-diperbaharui Mildred.

Di dunia saya, Internet adalah jendela nakal yang sekejap saja boleh terbuka ke abyss bernama web gelap. Tiapnya konon dijaga sang Hades, Cerberus, Anubis, Jabru, Xilbaba yang mana perlu dijemput dahulu barulah tanpa segan mampu melangkah dalam kumpulan tanpa nama. Kerana bahasa Inggeris adalah Tuhan bahasa kepintaran ikut sesetengah orang, maka mereka dinamakan Anonymous. Atau itu hanya khabar yang salah? Lihat, kesan Internet. Membaca dan membaca, surat khabar didakwa adalah mutlak kebenarannya oleh guru saya. Jadi saya membaca dan membaca dan membaca surat khabar serta laman akhbar. Salah betul-  guru saya tampar minda saya: cikgu tidak pernah salah. Maka surat khabar adalah guru, laman akhbar Internet adalah guru. Maka surat khabar dan laman akhbar Internet tidak pernah salah. Baik cikgu, aye aye!

Sudahnya, saya jadi tahu semua. Saya tahu bencana-bencana rakyat dan kematian. Esok lusa tulat mungkin batang hidung Dajjal kelihatan. Kemudian di kedai buku Popular (malang amat, negeri saya hanya kaya sumber kayu dan kilang kertas tapi tidak buku), yang popular itu adalah dua: buku untuk tidak jadi Freemason, dan buku untuk bertaubat. Dua-dua saya ada, dan syukurlah, saya tidak jadi Freemason dan saya tidak lupa taubat. Itu saja saya tahu. Buku bukanlah urusan pihak atas. Buku adalah urusan pihak luar yang datang mendidik kami sang pembaca. Buku bukanlah urusan pihak orang biasa. Buku adalah urusan penulis luar yang datang kerana Inggeris adalah bahasa kepintaran yang tatabahasanya mengukur jaguh akal. Lurus tatabahasanya, lurus sempurnalah imannya sebagai seorang siswa siswi berpelajaran tinggi gading yang terpotong dari gajah tumbang di ladang kelapa sawit. Siswa siswi ini akan keluar membaling mortar ke perpustakaan universiti senjakala lalu menghentak kepala mereka esok hari kerana industri tidak lagi melayan karenah seorang ijazah sarjana muda.

Oh ya, kami juga ada industri statistik dimana tersudut menjeruk adalah statistik membaca yang sepatutnya menunjukkan bahawa orang kami ini kurang bertamadun kerana kurang membaca. Claude Mollard berbisik pada saya, dengan bantuan imaginasi Lea Seydoux yang terpinjam oleh Faisal Tehrani dalam membina dunia Eropah dalam kanta mata herot heteroseksual menulis sisi homoseksual Profesor Suliza, kebudayaan ini sepatutnya dikira sekali anggotanya dari sekecil tugas. Jika ditahan sesiapa saja di tepi jalan lalu dihulur “nah, kamu terpilih jadi sampel kajian, sila isi sesuka hati” maka sampel kajian itu terpalit sepatutnya mewakili jumlah besar rakyat juta-juta dunia saya. Tidakkah itu suatu yang problematik, Guy? Dikatakan pula kurang membaca, bagaimana jika borangnya hanya ditemukan ruang soalan “berapa banyak buku anda baca?” – apa itu baca, kalau sekadar untuk buku, jadi macam mana dengan penggemar buku audio? Pembaca artikel itu bukankah asasnya juga membaca?

Simbol tanya itu kami panggil sebagai ‘telinga gajah’, laksana Dumbo si gajah telinga besar. Lihat betul-betul, apakah Dumbo wujud? Bagaimana kita temukan gajah terbang kalau tidak dari buku. Khayalan dan khayalan. Saya tahu keliru memilih seronoknya miliki tunnel vision bermata satu yang lebih nyata cerah menarik berbanding teks berbaris kelabu. Komik juga tidak disifatkan sebagai buku, bolehlah dibakar dengan titik suhu Fahrenheit 451. Dunia saya tidak menggelar komik itu buku. Mungkin ia dianggap industri hiburan televisyen kerana ia melazimi warna warni visual watak setiap halaman. Lagi satu, Guy, industri buku juga terbelah dua iaitu berapa banyak ia terjual dan berapa banyak orang baca. Penjual dan pembaca. Pekerja kedai buku bukan kedua-duanya, kata statistik negara saya. Mereka serigala jadian, mungkin lari dari dunia Buffy the Vampire Slayer ataupun Harry Potter, barangkali terlupa diikat oleh Stephanie Meyer. Saya pun ragu asal usul kejadian pekerja kedai buku ini.

Baik Guy, jika di dunia anda, Salamander adalah pahlawan mengawal buku; di dunia saya, Bateri komputer adalah pejuang mengawal tenaga menulis. Kapten Beatty benar, terlalu banyak membaca buku itu memburukkan. Berlawan bercanggah beroposisi lebih banyak dari mengiya, mengakui, bersetuju. Ada melawan kerana melawan. Ada melawan kerana kebenaran. Itu atas nama keilmuan. Mengatur-gagal fikir juga menghina keilmuan, tanda horoskopnya buku. Jika gagal berfikir, berbaloikah membaca apatah lagi terlalu banyak membaca? John Locke melihat membaca cuma alat, yang buah fikir itulah madu yang dinikmati. Adakah prestij yang dimahukan, atau pengetahuan yang dimajukan? Raja Kecil menghampiri meja saya. Saya harus pergi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *