Oleh: Farahani R.

Artikel ini ditulis saat angin bayu menerpa-nerpa, mendinginkan keringat milenial dan generasi Z yang hampir sedekad dihina serendahnya oleh media. Saya tidak pasti sama ada penulis opini dan kolumnis memang punya gambaran peribadi bahawa milenial ini pemalas, atau sekadar tarik trafik ke laman web mereka. Mereka kerap menggambarkan milenial miskin dan bodoh kerana sukakan kegembiraan yang kecil – mengembara, minum kopi mahal, beli telefon terbaharu.

Kita letaklah dahulu konteks untuk memahami gelisah milenial hari ini. Berikut adalah garis masa kelahiran generasi yang dinyatakan oleh Says.com:

  1. Baby boomers (Born 1943 – 1960)
  2. Generation X (Born 1961 – 1981)
  3. Generation Y / Millennials (Born 1982 – 2004)
  4. Generation Z (Born 2005 onwards)

Garis masa ini mempengaruhi perkembangan minda dan persepsi masyarakat pada masa tu. Kalau kita renungi zaman-zaman ini dalam perspektif sejarah di Malaysia; Boomers, Generation X dan sebahagian dari Generation Y/Millenials lebih mudah dapat kerja kerajaan berbanding sebahagian Generation Y dan Generation Z. Mudah bina empayar perniagaan macam drama TV3.

Kenapa saya letak kerja kerajaan? Sebab dalam minda masyarakat Malaysia, khususnya bumiputera dan kuota-kuota istimewanya di bawah Dasar Ekonomi Baru; keberjayaan DEB adalah dengan mencipta kelas pertengahan yang membolehkan sebahagian besar bergerak ke atas tangga kelas ekonomi masyarakat. Kerja kerajaan umpama emas dengan safety net dan pencen, diskaun dan sebagainya. Empayar perniagaan tu boleh saja atas bantuan kerajaan, MARA.

“Ketika itu” tidak sama dengan “ketika ini”. Ramai pegawai besar kini, terutamanya yang sudahpun kononnya merasakan keperitan dan kegetiran yang tidak dapat dikalah-kalahkan dahulunya tidak akan dapat difahami oleh milenial dan orang muda, mulai membengkak dengan ageisme serta prejudisnya kerana perbalahan cara kerja dan tuntutan permintaan fikir, hati generasi mudanya.

Segar di hati saya, bagaimana generasi Boomers dan generasi X (malang sekali ramai menyalahtafsir Boomers adalah semua yang lahir sebelum milenial) merendah-rendah nasib susah graduan muda. Memperlekeh permintaan gaji mereka dan menolak isu-isu berkenaan mereka, walhal mereka sendiri meminta generasi muda menjadi ketua negara yang sempurna. Kesempurnaan apa yang lahir dari fitnah dan penolakan?

Segar di hati saya, bagaimana pendidikan itu diperbudak-budakkan dengan menyatakan generasi muda tiada kualiti dan lemah oleh generasi Boomers dan generasi X ini. Mereka berani mendakwa generasi muda tiada skil dan kemahiran insaniah serta berbahasa. Waktu ini Boomers dan Generasi X jadi bos, majikan. Kuasa untuk bertegas dan menegaskan superioriti, senioriti. Padahal jika disetarakan pendidikan tersebut dalam ujian kecerdasan antara tua dan muda, boleh jadi generasi muda lebih baik pemahamannya terhadap dunia berbanding Boomers dan Generasi X yang ‘berlagak’ cukup makan garam. Garam adalah khazanah praktikal, manakala milenial ada teori hasil dari khazanah yang diperhalusi. Milenial ada perasa, perencah. Entah mengapa Boomers dan X enggan terima.

Lihat akhirnya, Boomers dan generasi X terpaksa diheret dengan bekas kuku-kuku mereka di lantai. Zaman digital adalah zaman dimana ego Boomers dan generasi X tertunduk. Budaya pejabat akhirnya wajib berubah menuruti gaya budaya alaf 21. Organisasinya sudah biasa diketuai oleh lepasan muda yang jauh lebih banyak sijil pendidikannya dari senior Boomer dan Generasi X. Mungkinkah prejudis ni juga bersulamkan marah bahawa mereka semakin tua dan cepat ketinggalan dengan benteng-benteng baharu globalisasi dan teknologi?

Segar di hati saya, bagaimana retorik dan imej yang tercipta kerana pernyataan media dan polisi kerajaan terdahulu menafikan suara warga muda dan masalah-masalahnya. Seolah negara ini untuk orang tua-tua dan mereka yang berdekatan dengan si tua-tua berhormat ini. Negara ini menyalahkan generasi muda atas segalanya: sifat tidak bersyukur, sifat kurang ajar, sifat tidak patriotik, sifat tidak bertanggungjawab, sifat hedonistik, sifat fatalistik, sifat gagalis. Kerana itu, Syed Saddiq ada deposit undi belia yang tinggi berbanding KJ. Kerana itu, Dr. Mahathir mencuri peluang memikat Syed Saddiq dahulu menjadi ‘anak ikannya’, mendidiknya sebagaimana dia pernah mendidik Anwar. Syed Saddiq lebih berseni, lebih tampan dan lebih teratur gaya strategi caturnya. Populismenya hidup mekar kerana sezaman, sekehendak dengan generasi muda sekurangnya 3-4 generasi selepasnya.

Benda-benda ini segar di hati saya kerana saya memerhati gelagat para tua-tua dan nada-nada bongkak mereka yang melihat generasi muda seperti kurang berakal memahami seisi dunia kerana tidak melalui proses ‘keperitan’ yang mereka pernah alami dulu. Generasi muda tidak merasa berjalan kaki beratus kilometer, generasi muda tidak merasa bekerja sendiri, generasi muda manja kerana ibubapanya pegawai kerajaan yang cukup makan. Begitulah tanggapan herot itu mengilai jahat di pokok ara minda orang-orang tua.

Ingin saya mencelah: siapa kata milenial tidak alami keadaan-keadaan ini lagi? Situasi ini relatif pada banyak perkara seperti lokasi, sosioekonomi keluarga dan peluang yang ada di sekeliling seorang muda. Di ceruk Borneo, masih ada lagi seorang pelajar sekolah rendah naik sampan untuk ke seberang. Terpaksa berjalan kaki pulang berpuluh kilometer dan tiada duit kocek untuk sebuah telefon pintar mahupun minta hantar Grab. Itu bagaimana, para Boomers dan generasi X sekalian? Sebelum kalian menampar saya dengan prekonsepsi Borneo itu azalinya ketinggalan, lihat sendiri warga kampung pedalaman negeri anda. Lihat sendiri warga penduduk B40 yang tinggal di ceruk-ceruk rumah PPRT dalam kota penuh dusta.

Gelisah milenial adalah mereka juga terpaksa cari makan dan cari duit bekerja sambil belajar tanpa memberitahu mana-mana rakan, keluarga dan ibubapa.

Gelisah milenial adalah mereka dipaksa belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kerjaya yang tidak lagi wujud dan relevan kini.

Gelisah milenial adalah mereka terdesak mencari nafkah sehingga 2-3 kerja sehari untuk menyara hidup.

Gelisah milenial adalah mereka perlu berharap agar kerja kerajaan itu milik mereka selepas berpuluh kali gagal temuduga.

Gelisah milenial adalah mereka ada sijil yang pelbagai, untuk menuju ketiadaapa-apaan dalam masa depan.

Gelisah milenial adalah mereka digesa menyelamatkan dirinya dan negara dalam masa yang sama.

Gelisah milenial adalah mereka berjuang ditekan hutang belasan, puluhan ribu ketika dia berumur 23 tahun, dan disuruh membayar hutang ansuran itu bernilai ratus ringgit sebulan dengan gaji RM1100 di samping menjadi penyara keluarga.

Gelisah milenial adalah mereka perlahan-lahan dijatuhkan daripada kelas pertengahan, menjadi kelas bawah semula dalam kota.

Gelisah milenial adalah mereka ingin bulu mereka sebagai kambing hitam kegagalan polisi good governance menjadi putih semula seperti Boomers dan Generasi X.

Gelisah milenial adalah apakah mereka sebenarnya ada masa depan di Malaysia ini?

Masalah utama perbezaan fikiran ini adalah si tua enggan mendengar, dan si muda dipaksa mendengar nasihat yang lapuk, tidak lagi relevan, lebih mudah dikitabkan dalam sejarah masyarakat. “Belajar rajin-rajin, jadi doktor” sedangkan kini pelajar perubatan juga susah mencari kerja. “Belajar rajin-rajin, jadi guru”, sedangkan kini guru terbeban dengan bermacam cabaran menangani pelajar yang dibiarkan ibubapanya. “Belajar rajin-rajin, jadi pensyarah”, sedangkan pentas akademik tidak seluas dahulu. Dimasinkan dengan pemotongan bajet dan peralihan gaya pentadbiran: semua ini bukan ditanggung kerajaan lagi. Kerajaan ada duit, cuma bukan untuk memberi peluang pada rakyatnya mendapatkan impian-impian berkarat yang sudah tersumbat. Si tua enggan membuka mata dan menyantuni si muda dan kesusahannya. Si tua tiada pula berkelip matanya dengan si muda yang berkeistimewaan kerana keluarganya mampu memberi mewah. Maka yang disimpulkan adalah milenial adalah generasi tidak tahu beruntung dan pemalas. Oh lupa, semua salah milenial.

‘Ok, Boomer’ adalah slogan pematah yang tuntas bahawa milenial dan generasi muda selepasnya penat mendengar. Jika malas bersama kami, maka si tua perlu diam-diam tanpa perlu menghukum nilai hidup seorang milenial. Cabaran hidup tidak jauh beza, hanyalah si tua yang tidak mahu peduli.  Barangkali kerana generasi tua pada Boomer ini pernah tidak peduli pada mereka. Maka, mereka membuli milenial atas terpendamnya sakit hati itu.

Pesan saya, saling hormat-menghormati itu bergerak dua arah: untuk dihormat, untuk menghormat. Generasi muda paling mudah menghormati orang tua. Sayang sekali itu bermakna generasi muda perlu diam – kitaran prejudis pun segeralah diam-diam hingga muncul generasi baharu, maka berputarlah ia. Pesan saya, simpati dan empati itu adalah sebahagian dari tanggungjawab moral tanpa mengira generasi apakah ia. Generasi muda paling mudah bersimpati dan empati pada kesukaran orang tua, namun apakah generasi lama ini mampu menghormati, simpati dan empati pada generasi muda? Nampaknya, hanya (dengan simpati dan empatinya) segelintir saja yang mahu hinggakan milenial harus menjawab ‘OK Boomer’ kepada mana-mana warganet tua dengan pendapat sezaman lalu, sengaja meminta perhatian dalam berbincang hal semasa khususnya berkenaan kebajikan milenial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *