Oleh: Nur Huda

Tarikh 23 November 2019 akan dikenang oleh warga konservasi hidupan liar apabila Iman, badak Sumatera betina terakhir di negara kita telah mati pada pukul 5.35 petang, di Borneo Rhino Sanctuary  di Tabin, Sabah. Kematian Iman mencatatkan sejarah kepada negara kita di mana pada tarikh ini, dengan rasminya badak Sumatera telah pupus sepenuhnya di Malaysia. Tidak ada lagi badak spesis ini di hutan mahupun di dalam jagaan. Tamatlah riwayat satu spesis hidupan unik yang pernah tinggal dan hidup di negara kita.

Ini ialah kisah 3 ekor badak Sumatera terakhir di Malaysia, Tam, Puntung dan Iman.

Tam, seekor badak jantan telah dijumpai pada tahun 2008 ketika merayau-rayau di sebuah ladang kelapa sawit. Ketika dijumpai Tam telah pun berumur sekitar 30 tahun. Tam telah dibawa ke Jabatan Hidupan Liar Tabin dan diletakkan di bawah penjagaan Borneo Rhino Alliance (BORA). Puntung, seekor badak betina pula ditemukan pada tahun 2011 dalam keadaan cedera dan malnutrisi. Yang terakhir ialah Iman, juga seekor badak betina, ditemukan pada tahun 2014. Kesemua badak ini diletakkan di bawah jagaan BORA.

Kisah badak Sumatera di Sabah menjadi perhatian dunia apabila pada April 2017,  pasukan Jabatan Hidupan Liar Sabah menghantar satu artikel untuk disiarkan di dalam The Borneo Post online. Artikel ini menerangkan keadaan Puntung yang memerlukan bantuan perubatan segera, akibat mengalami jangkitan yang boleh mengancam nyawa.

Seorang  wartawan alam sekitar, Adam Welz yang ketika itu berada di Afrika Selatan telah membaca artikel tersebut dan telah menghantar satu kicauan di twitter meminta pihak/individu yang berkenaan untuk membantu. Kicauan tersebut telah diulang kicau di seluruh dunia dan dengan kerjasama antarabangsa, dalam masa 10 hari, seorang pakar pergigian veterinar dari Thailand dan seorang pakar bius veterinar dari Singapura telah diterbangkan ke Sabah.

National Geographic menyiarkan kisah ini di dalam satu artikel bertajuk How Social Media Saved One of the World Last Sumatran Rhino.

Puntung yang dijumpai pada 2011, ketika itu berumur sekitar 20 tahun. Ketika dijumpai, sebelah kakinya kudung dipercayai akibat cubaan melepaskan diri dari perangkap pemburu haram. Puntung juga didapati pernah mengandung dan mengalami keguguran. Puntung telah dibawa ke pusat hidupan liar Tabin untuk dirawat dan dibiakkan dengan Tam, badak jantan terakhir yang masih hidup. Malangnya Puntung didapati menghidap ketumbuhan pada rahimnya, menyebabkan ia tidak dapat mengandung. Ketumbuhan tersebut dipercayai kesan dari keguguran sebelumnya.

Para saintis bagaimanapun tidak berputus asa. Rancangan seterusnya ialah untuk membiakkan Puntung dan Tam melalui persenyawaan in-vitro, dimana telur dari Puntung akan disenyawakan dengan sperma Tam di dalam makmal. Proses rumit ini akan dilakukan oleh sekumpulan pakar saintis yang terdiri daripada Professor Thomas Hildebrandt dari Jerman,  Professor Cesare Galli dari Itali dan Professor Arief Boediono dari Institut Pertanian Bogor, Indonesia. Apabila proses ini berjaya, embrio yang terhasil akan di masukkan ke dalam rahim seekor badak Sumatera betina di Indonesia. Badak Indonesia ini akan berperanan sebagai ibu tumpang kepada anak Puntung dan Tam.

Puntung yang tiba-tiba jatuh sakit menyebabkan misi ini terhenti. Bahagian atas rahangnya didapati luka bernanah dan keadaannya boleh mengancam nyawa. Maka bermulalah misi menyelamatkan nyawa Puntung dengan kerjasama masyarakat antarabangsa yang berkongsi kicauan di twitter.

Pada 19 April 2017, pasukan BORA menarik nafas lega apabila Puntung berjaya dibedah untuk mencabut 3 batang gigi geraham sebelah kiri bahagian atas yang dipercayai mengalami jangkitan. Berita kejayaan ini disiarkan di sini. Pembedahan ini dijayakan oleh Dr Tum Chinkangsadam, doktor pergigian veterinar dari Thailand, Dr Abraham Mathew, pakar bius veterinar dari Singapura dan Dr Zainal Zainuddin, doktor veterinar di Borneo Rhino Alliance, juga pegawai-pegawai veterinar dari Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Taman Negara di Semenanjung Malaysia.

Pembedahan mencabut gigi Puntung.
Tiga batang gigi geraham Puntung yang telah berjaya dicabut

Kegembiraan tersebut bagaimanapun tidak lama. Luka bernanah yang pada mulanya disangkakan jangkitan kuman kembali menyerang Puntung dan kali ini lebih besar dan agresif. Setelah prosedur biopsi dilakukan, Puntung didapati menghidap kanser jenis squamous cell carcinoma. Puntung berada di dalam kesakitan. Setelah mendapatkan perundingan daripada pakar veterinar dan onkologis seluruh dunia, keputusan telah diambil dimana Puntung perlu ‘ditidurkan’. Tidur untuk selama-lamanya. Proses euthanasia telah dilakukan pada 4 Jun 2017. Berita kematian Puntung telah disiarkan di sini, di sini dan di sini.

Tumor pada rahang kiri Puntung

Pada September 2018, sempena World Rhino Day, National Geographic telah menerbitkan satu dokumentari yang memaparkan usaha untuk melindungi badak Sumatera dari kepupusan. Dokumentari ini yang dinamakan ‘Operation Sumatran Rhino’ boleh ditonton di sini https://youtu.be/lthOGX1JQG4

Kini hanya tinggal 2 ekor badak Sumatera yang masih hidup, Tam dan Iman. Usaha untuk membiakkan Tam diteruskan dengan kehadiran Iman. Tam yang telah berusia lebih 30 tahun bagaimanapun tidak berjaya membuntingkan Iman, dipercayai atas sebab-sebab patologi.

Inisiatif seterusnya dilakukan melalui kerjasama diplomatik dengan kerajaan Indonesia dengan menubuhkan satu makmal teknologi pembiakan termaju (Advanced Reproductive Technology – ART) di Universiti Malaysia Sabah kampus Sandakan. Objektif utama penubuhan makmal ini ialah untuk menjalankan kerja-kerja pemuliharaan spesis yang terancam. Pada peringkat awal, makmal ini digunakan untuk menjayakan usaha membiakkan Tam dan Iman.

Walau sebegitu hebat usaha dilakukan untuk menghalang spesis badak Sumatera ini dari pupus, Tam tetap tidak berjaya membiak. Cubaan untuk mendapatkan sperma dari Tam yang sudah menjangkau usia tua tidak berhasil. Tam mengalami komplikasi hati dan kegagalan buah pinggang yang telah meragut nyawanya pada 27 Mei 2019. Kini tinggallah Iman, satu-satunya badak Sumatera yang masih hidup.

Dengan kematian Tam, Iman tidak mungkin akan dapat membiak lagi. Usaha seterusnya adalah untuk mendapatkan telur Iman agar pada masa akan datang boleh disenyawakan dengan sperma dari mana-mana badak jantan. Iman kemudiannya didapati menghidap penyakit kanser yang akhirnya merebak sehingga ke pundi kencingnya. Usaha untuk mendapatkan telur menjadi lebih sukar.

Dalam keterdesakan dan kesuntukan masa, penyelidik di BORA telah menulis artikel yang menyeru kepada masyarakat dunia untuk menyokong usaha pemuliharaan badak Sumatera ini. Artikel ini disiarkan di dalam Pachydem; Journal of the African Elephant, African Rhino and Asian Rhino Specialist Groups.

Kerajaan Malaysia juga cuba untuk memeterai perjanjian dengan Indonesia untuk bersama-sama memulihara spesis badak ini dengan membenarkan telur Iman disenyawakan dengan badak jantan dari negara tersebut. Belum pun sempat kerajaan Indonesia memberi maklum balas, kita diberitakan dengan kematian Iman, sekaligus dengan pengisytiharan rasmi kepupusan badak Sumatera di seluruh negara. Malaysia bagaimanapun optimis akan berkerjasama dengan Indonesia untuk bersama-sama memulihara spesis yang terancam oleh kepupusan.

Dr Zainal pada hari terakhir sebelum Puntung ditidurkan

Berita kepupusan ini disiarkan di seluruh dunia sains terutama kumpulan konservasi hidupan liar. Di antara portal yang menyiarkan berita ini ialah Mongabay, yang sentiasa mengikuti perkembangan badak Sumatera di Sabah, National Geographic, The Washington Post, BBC News, dan lain-lain. Beberapa video juga telah dimuat naik di youtube oleh The Star Online, Bloomberg dan CBS News.

Ucapan penghargaan kepada Datuk Dr Junaidi John Brian Payne, pengerusi eksekutif Borneo Rhino Alliance (BORA) yang melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan di peringkat hubungan antarabangsa dan tempatan, serta menghubungkan badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan. Penghargaan tertinggi harus diberi kepada Dr Zainal Zahari Zainuddin, pakar veterinar yang mengetuai pasukan konservasi dari proses menangkap di hutan, menjaga dengan penuh dedikasi, memeriksa dan merawat badak-badak tersebut, memastikan mereka selesa dan tidak terus menderita sehinggalah hari terakhir kewujudan mereka. Terima kasih kepada Prof Dr Abdul Hamid Ahmad kerana sentiasa memaklumkan setiap perkembangan di dalam usaha konservasi ini. Tahniah kepada seluruh pasukan BORA di atas usaha yang tidak mengenal kalah.

Gambar profil; Ratu dan anaknya Andatu – Pusat Penangkaran Badak, Wai Kambas, Lampung, Sumatera Selatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *