Oleh: Syed Ahmad Fathi
Hari demi hari kita selak, kita telaah dan hayati, akhirnya kita tiba di pagi baru. Kita tutup tahun 2019 untuk memasuki dekad baru. Pagi ini terasa aman, mataharinya bersinar ceria, anginnya lembut mendinginkan jiwa. Mari mulakan dekad ini dengan mencari bahagia, melihat kedalam diri, memberi makna kepada sesuatu yang kita gelarkan sebagai kehidupan.
Elok kiranya kita bermuhasabah dengan datang tahun baru ini dengan karya-karya Rumi, walaupun setelah 700 tahun, tulisan beliau masih “membunyikan loceng” di dunia moden ini, puisinya masih menggerimis hati seperti hujan yang selalu turun dibumi.
Rumi menulis berkenaan dengan cermin yang ada dalam diri manusia, kita tidak dapat mengungkapkannya, tetapi kita tahu akan kehadiran dan kewujudannya.
Bait rangkap tulisan Rumi menangkap hati. Dalam diri kita ada perasaan, yang selalu membuatkan kita merasakan kita tahu sesuatu, kita merasai sesuatu, merasai emosi yang kita tidak dapat ungkapkan dengan kata-kata. Itulah perasaan, satu pengetahuan yang kita tak bisa ungkapkan. Ia adalah bukti bahawa sesuatu yang tidak dapat diungkapkan, tidak dapat ditulis, tidak dapat diceritakan, tidak semestinya tidak wujud. Ia wujud tetapi dalam bentuknya yang tersendiri, didalam hati, tak tertafsir oleh sebarang ilmuwan mahupun karyawan. Maka dipermulaan baru ini, di tahun baru ini, marilah mencari bahagia jauh di dalam diri, ia wujud wahai teman.
Rumi juga menulis perihal kapak, yang tidak pernah risau tentang ketebalan dahan, ia memotongnya kepada cebisan-cebisan, tetapi ia tidak pun menyentuh dedaun.
Setiap insan punya kekuatan mereka sendiri. Seperti daunan yang kelihatan lembut, mudah melayang, meliuk-liuk ditiup angin. Tetapi apabila kapak datang, dahan yang keras yang menjadi mangsa, dedaun lembut dibiarkan tidak cedera. Dalam kita merenung tahun baru ini, terimalah kelemahan-kelemahan kita, kesilapan yang tak mungkin dapat kita betulkan, perkataan yang telah keluar dan tak mungkin kita padam kembali. Dalam masa yang sama carilah kekuatan dan kelebihan yang kita ada dicelah-celah kelemahan kita. Gunakanlah ia untuk menempuh cabaran di masa hadapan. Maafkan kesilapan diri kita, dan mulalah mencari kekuatan dan kelebihan kita di tahun baru ini.
Dan dalam kita menempuhi cabaran masa hadapan, jangan kita risaukan masalah-masalah yang bakal dan mungkin timbul. Teruslah mara dan berusaha. Ibarat kapak yang tak pernah memikirkan kekuatan atau ketebalan kayu. Ia terus sahaja menghayun, mengapak, sehingga akhirnya dahan yang paling keras pun terbelah. Begitu jugalah kita dalam menghayuni kehidupan, teruslah bekerja membelah segala masalah. Tahun baru ini nescaya perlu kita jadikan tahun untuk kita bekerja, bukan duduk merisaui masalah sahaja.
Mari kita akhiri muhasabah tahun baru kita dengan sebuah cerita oleh Rumi.
Ada seorang anak muda mencari sebuah nasihat, dia mahu bertanyakan soalan kepada ahli bijak pandai. Orang-orang kampung memberitahunya, ada seorang Sheikh yang sangat tinggi keilmuannya, carilah dia dihujung kampung bermain dengan kanak-kanak ujar orang-orang kampung. Sheikh ini mempunyai pengetahuan yang mendalam, tetapi ia menyembunyikannya dengan berlakon gila dan bermain dengan kanak-kanak.
Maka pergilah pemuda tadi mencari Sheikh tersebut. Dia menjumpai Sheikh tersebut sedang menaiki kuda mainan dan bermain dengan anak-anak. Anak muda tadi bertanya, mengapa Sheikh tersebut menyembunyikan kebijaksanaannya?
“Mereka ingin aku bekerja untuk mereka, mereka mahu aku menjadi hakim, menjadi magistret, menjadi penafsir kepada lembaran-lembaran perkataan. Tetapi pengetahuan aku tidak mahukan itu semua. Ia mahu menikmati dirinya sendiri” kata Sheikh tersebut.
Rumi kemudian menulis bahawa Sheikh itu merasakan dirinya seperti ladang tebu, dalam masa yang sama makan dan merasai kemanisan tebu.
Walaupun sudah 700 tahun, kisah yang dibawakan Rumi ini masih relevan pada tahun baru 2020 kita kini. Kita sering melihat ilmu sebagai tiket untuk kita memasuki alam pekerjaan. Kita mengejar sekeping sijil sarjana muda untuk kita hantar sebagai umpan mencari pekerjaan. Maka hilanglah kemanisan ilmu itu, ilmu yang kita kumpul dan pelajari tidak dapat kita rasai, tidak dapat kita hirup dan resapi, akhirnya kita hanya menjadi robot dan pekerja di kilang dan pejabat. Kita terlupa kehidupan yang kita ingin hidupkan, kita terlupa keilmuan kita. Maka tahun baru ini berhentilah sejenak merenungi, dan merasai kemanisan ilmu, lebih dari sekadar alat untuk mencari duit.
Sheikh itu menyambung lagi, bahawa apabila keilmuan itu dipergunakan dan diremehkan hanya untuk karier dan pekerjaan, ia akan selalu risau akan pandangan orang lain. Ia tidak lagi jujur dengan ilmunya, tetapi sering menggunakannya untuk habuan dunia. Dia bercakap apa yang orang mahu dengar, dia sorokkan apa yang manusia tidak mahu dengar. Luntur keilmuan kepada sekadar hiburan. Maka kita pada tahun baru ini, wajar berhenti untuk mengambil pusing cemuhan orang dan terus bekerja dan menyebar kebaikan.
Bagi Sheikh tersebut ilmunya adalah untuk Tuhan, dia telah jatuh cinta dengan Tuhan. Maka biarkanlah dia menjadi orang yang jatuh cinta, yang nampak seperti orang gila di mata orang lain. Kerana orang yang tidak gila sentiasa risau, risau tentang pandangan orang lain, risau akan apa yang bakal terjadi, risau dengan masalah itu ini. Tetapi tidak bagi orang gila, orang gila tidak risaukan apa-apa. Maka tahun baru ini mari menjadi orang gila, kita menggilakan kehidupan yang penuh dengan makna, lebih dari makna-makna material dan kebendaan.
Terima kasih saya ucapkan kepada sidang pembaca yang setia membaca tulisan-tulisan saya sepanjang 2019. Semoga ianya bermakna dan menyebar kebaikan bersama. Terima kasih juga saya ucapkan buat sidang editor juga tim penulisan Borneo Komrad kerana sudi menerbitkan penulisan bersama-sama, moga kita terus berkerja demi kebaikan di tahun baru ini.
P/S: Bagi yang mungkin tertanya-tanya buku Rumi mana yang saya baca dan kongsikan. Bukunya bertajuk “The Essential Rumi – Translation by Coleman Barks with John Moyne” terbitan Harper San Francisco pada tahun 1995.