Oleh: Farahani R.
Saya tidak berkesempatan menulis berkenaan beberapa isu; ia terlintas di minda saya dan luput ketika lebih banyak kerja terbahu kiri kanan. Sebenarnya ketika ni, saya juga masih memikul kerja yang saya tinggalkan untuk luangkan tenaga jiwa kepada keluarga pula. Ketika ini juga, saya melayani radio GTA Vice City, Flash FM. Ia adalah radio fiksyen, suatu kesegaran yang terbit dari idea pencetus gelombang ‘open world’ dalam dunia permainan komputer iaitu Rockstar Games. Walaupun ia radio fiksyen, lagu-lagu yang dipinjam oleh mereka di’curated’kan dengan teliti, dimana kebanyakannya popular lepas tahun 1987.
Dekad nostalgia ungu-hujung-senja
Perubahan waktu merupakan suatu yang kita hanya sedari bila kita menulis tarikh, atau tengah mengira umur. Mungkin semasa mengira kedutan di cermin. Umur saya waktu penulisan ini hanya membenarkan saya mengira rambut putih yang semakin kelihatan. Saya sepatutnya melintasi umur suku abad, jika ditakdirkan hidup hingga 100 tahun. Kata orang, Nabi hidup beribu tahun, dan generasi akhir zaman memang pendek-pendek umurnya.
Sebagai seorang yang menyukai semangat nostalgia, tiap dekad zaman itu saya lihat kerapkalinya dalam perkembangan budaya pop (pop culture). Secara teorinya, perkembangan budaya pop ini selari dengan kemodenan, kemajuan kuasa beli. Di Jepun misalnya, kepesatan ekonomi mereka memudahkan budaya pop Amerika menusuk ke dalam jiwa seorang Jepun. Consumer culture pekat dalam minda mereka, ditambah lagi sebelum perang dunia kedua, hubungan budaya Jepun-Amerika itu melekat pada warga intelektual Jepun yang belajar di Amerika. Kerana itulah, sub-culture muzik lo-fi selalunya menggunakan lanskap Jepun sebagai latar nostalgik 70-80-90an.
Namun ini cara saya memperjelas perkembangan dekad demi dekad dunia pasca perang. 70-an dan 80-an adalah suatu budaya yang mengasyikkan; di Barat, ia adalah satu pergelutan kejiwaan antara kapitalisme dan liberalisme Amerika manakala di Timur, ia adalah satu kebangkitan kuasa politik Islam. Di dunia pasca-penjajahan seperti di benua Afrika dan tanah besar Asia, ia adalah satu kuasa perlawanan melawan imperialisme Amerika dalam sosiopolitik dan sosiobudaya mereka. Bidang kajian pascakolonial dikembangkan dengan wacana penindasan lalu yang dimisalkan dari sejarah ratusan tahun Afrika dan dunia Lautan Pasifik. 70-an dan 80-an adalah zaman kebangkitan teknologi, zaman mencabar batasan manusia dalam membina peralatan.
90-an pula ambang kepada revolusi teknologi yang mengecil saiznya, hingga terbentuknya jaringan abstrak menerusi Internet. Laman web dengan bahasa-bahasanya sendiri, dikutip sedikit demi sedikit dari sumber kod teknologi dekad 70-an dan 80-an ketika kuasa dunia sibuk berlumba keluar bumi. Tidak banyak yang berlaku pada dunia ketika dekad ini, melainkan ia adalah kesan dari polisi kerajaan pada dua dekad terdahulu. Namun di Asia Tenggara, 1997 menjatuhkan banyak negara hingga terpaksa berhutang dengan Bank Dunia. Ketika ini, perubahan sejarah dalam budaya pop agak ketara dalam fesyen, teknologi dan genre muzik. Fast-paced, fast-changing, fast fashion.
Abad ke-21 dan Ceritanya
Melangkah Y2K, ia acapkali dititikkan sebagai abad hujung zaman – ramai takut dengan 2000-an kerana beberapa dekad lalu, kiamat dikatakan semakin mendekat. Namun tidakkah kiamat itu akan datang jua bila tiba masanya? Ramalan-ramalan kaum Maya dan Nostradamus jadi topik utama oleh penggemar visi apokaliptik, imej ‘end-of-the-world’ dipopularkan sekali lagi. Fetish sesungguhnya sebahagian manusia mencari Four Horsemen, distopia yang didatangkan wira messiah. Kaitan perlanggaran 9/11 mengubah nada politik dunia terhadap dunia Islam. Islamofobia menanti sedekad lagi, selangkah kiri menuju 2010. 2012 dikomersialkan menjadi sebuah filem gempak Hollywood, dibintangi oleh John Cusack, Chiwetel Ejiofor, Amanda Peet dan Morgan Lily.
Sepanjang 10 tahun awal di abad ke-21, saya membesar dengan berita pro-kerajaan di televisyen perdana. Membenci pembangkang, membenci Usama bin Laden, Muammar Ghaddafi, Saddam Hussein, mencintai Amerika, mengagungkan bahasa Inggeris, membaca karya fiksyen yang diadaptasi dan disesuaikan untuk pemahaman kanak-kanak dari buku Aesop Fables dan Grimm’s Fairy Tales. Beberapa tahun kemudian, saya baru tahu betapa banyak ‘penyesuaian’ dari Grimm’s Fairy Tales bila saya berkesempatan baca karya aslinya. Baru saya tahu-beza antara propaganda dan kawalan media.
2010 adalah tahun saya mendewasa menjadi jiwa yang melawan. Melawan dunia, merasai kesakitan dunia, menolak kenikmatan dunia. Saya tidaklah jadi seorang sufi (ketika ini saya turut melawan Tuhan dan agama); cuma kerja melawan dunia adalah jalan yang sunyi. Sepanjang perlawanan peribadi ini, saya juga masih mencari diri, mencari fungsi kelahiran dan kehidupan dan kematian sang Farahani. Beberapa tahun itu, saya mendongak pekat malam, bertanya pada si bintang Jerman, Otto Von Bismarck yang dikatakan turut bersangka dirinya tiada berguna hingga umurnya mencapai 20 tahun. Beberapa tahun kemudian, saya bersendirian membaca 5-6 buku sebulan di bilik kerana menyangka universiti adalah institusi yang sengit berlumba berdebat ilmu. Meleset. Bilik tutorial selalu sunyi kerana orangnya yang ramai memilih diam.
Di Sebalik Dilema dalam ‘Anti-Universiti’
Kemelesetan ini buatkan saya lebih berseni memahami dunia intelektual Malaysia. Beberapa tahun lalu, saya langsung tidak peduli dengan Malaysia dan dunia Islam serta masyarakat marginal sehinggalah seorang sahabat saya menukar cara pandang saya terhadap segalanya. Saya rangka semula semesta fikiran saya – kali ini berusaha keras membangunkan wacana yang bertujuan melawan pembodohan masyarakat.
Kemelesetan ini buatkan saya lebih cakna memilih cara untuk memerhatikan dunia dan memahami masyarakatnya. Buatkan saya lebih peduli siapa yang harus diangkat, siapa yang harus dihancurkan tugu sembahannya. Buatkan saya lebih mengerti siapa berisi, siapa menyalak. Bak ungkapan Abu Bakar As- Siddiq: “Orang yang kalian nilai kuat, sebenarnya aku anggap lemah. Adapun yang kalian pandang lemah adalah orang yang kuat dalam pandanganku.” Lontaran jangkaan meleset ini mencair dalam ‘Anti-Universiti’, terbitan Republik Buku pada 2017.
Mengimbau sejarah dekad lalu dengan Rasa
Kini saya sudah berada dalam satu lagi dekad baharu. Saya telah hidup separuhnya dalam 70-an, 80-an kerana cinta saya pada semangat zaman kebangkitan subversif, kebebasan berekspresi, perlawanan mencari identiti bangsa. Saya telah hidup sebahagiannya dengan permainan anak-anak 90-an, hidup sebahagiannya lagi hingga 2010 di merata tempat atas tanah bawah bayu.
Hidup sepenuhnya bertemankan buku, intelektual, aktivis dan hal-hal yang harus digaduhkan bila ia patut digaduhkan 10 tahun kemudian. Kini sibuk menulis untuk mudahkan masyarakat memahami dunia, kerana saya membesar tanpa panduan tentang bagaimana untuk memikirkan dunia ini. Baru hari ini saya mencerna makna di sebalik pepatah yang kembali sekali sekala di hujung ingatan, tergantung di atas ruang tangga sekolah rendah saya di Tawau (mereka terjemahkan pepatah ini dari bahasa Inggeris oleh Horace Walpold)- dunia adalah satu jenaka untuk mereka yang berfikir, dan satu kesengsaraan untuk mereka yang merasa.
Mei 2018 menyaksikan tumbangkan rejim gemuk UMNO-BN di beberapa negeri, dan kalah di peringkat nasional akhirnya lepas 60 tahun berteriak ‘Hidup Melayu’ di pentas nasional. Di Sabah, kebangkitan Parti Warisan seolah mengembalikan kegarangan kekuasaan politik negeri yang dahulunya dikawal oleh peringkat Persekutuan. Drama perebutan kerusi berlaku sekali lagi di Sabah, dan ura-ura guling Menteri Besar Perak berkumandang pada penghujung tahun tersebut.
Pada 2019, polisi austerity mengubah Malaysia daripada negara ‘separa sosialis’ menjadi Malaysia ‘neoliberal’. Dr. Dzulkefly dalam bukunya Najibnomik cuba membela sebarang transformasi ekonomi yang akan berlaku jika Pakatan Harapan menang. Hari ini, beliau sendiri kabur apabila kementeriannya (Kementerian Kesihatan) pula mengalami perubahan polisi yang drastik. Isu elaun kritikal dibangkit-marah para doktor, kakitangan kesihatan. Dari Mekah dia berkicau “saya sudah arahkan KSU untuk peduli isu ini.”
Sejarah lebih dari sekadar Perjalanan
Sejarah, bagi saya, adalah lebih dari sekadar perjalanan, “babad”, “pohon” dan apa-apa saja yang diertikan secara ilmiah. Sejarah dan tugasnya adalah untuk membiarkan manusia membentuk corak, prinsip dan kerangka pandangan untuk menilai, meramal, memikirkan semula, dan menghargai salah dan betulnya dunia. Bertemu diri saya pada 10 tahun lalu, saya lebih banyak merasa berbanding berfikir. Sejarah itu kosong, melainkan fakta (nombor tanpa makna, destinasi intipati faham itu tiba pada hari peperiksaan).
Hikmahnya, saya faham posisi para pelajar yang membenci subjek Sejarah, posisi ahli masyarakat yang akur pada emosi berbanding rasional dan neutraliti dan posisi seorang penulis yang lebih dahulu marah pada segalanya berbanding menimbang kewarasan ketika itu dan kewajaran berat untuk menyebarkannya pada bacaan awam. Sesungguhnya perjalanan dekad peribadi ini disulam dengan akses Internet dan perpindahan ke ibu kota, sekali sekala keluar mencari pengalaman di ibu negara, sekali mimpi mencari rasa di kota pesat Amerika.
Hari ini, saya hidup dengan semangat sejarah dari Ralph Waldo Emerson: “History no longer shall be a dull book. It shall walk incarnate in every just and wise man. You shall not tell me by languages and titles a catalogue of the volumes you have read. You shall make me feel what periods you have lived.” Dekad-dekad ini hanya dirasai secara retrospektif, kadangkala ia terlepas dari jangkauan mereka yang tidak memerhatikan pergerakan zaman walaupun mereka hidup di dalam arus masa itu. 2000-2010-2020; saya kena menoleh belakang untuk melihat jejak kakinya. Mungkin 10 tahun lagi, barulah dekad-dekad ini boleh dimaknakan semula dengan sempurna sekali lagi. Satu realisasi menemani alunan Hall and Oates, “Out of Touch”: kita tidak akan berhenti memaknakan tahun.