Oleh: Noor

Tengah hari itu agak mendung. Angin dari Laut China Selatan laju menderu membawa puji-pujian dan doa-doa suci yang dipanjatkan oleh anak-anak Sekolah Alternatif Teluk Layan. Beralaskan tikar getah, tengah hari itu kami solat berjemaah di sekolah berimamkan Azpar, anak cerdas dari kelas A. Samad Said yang berumur 15 tahun. Suasana damai bersama bunyi ombak memukul pantai, juga daun-daun pokok di sekeliling kawasan sekolah seolah-olah menari mengikut deruan angin sejuk dan rentak bait-bait selawat ke atas nabi yang kami alunkan ketika saling bersalaman dan berpelukan seusai bacaan doa selepas solat Zohor.

“Apa yang kamu doakan tadi Ain?” tanyaku pada anak murid ketika tubuh kecilnya memeluk kemas tubuhku.

“Aku tadi ada dua doa. Satu aku mahu selalu datang sekolah. Satu lagi semoga Allah ampunkan dosa aku dan kawan-kawan,” balas Ain tersenyum malu-malu sambil menyorok mukanya disebalik dakapanku.

‘Ah, dosa apa yang kalian ada?’ getus hati aku.

Cikgu dan anak-anak Sekolah Alternatif Teluk Layan, Kota Kinabalu, Sabah.

Kelas pada hari Sabtu 4 Januari habis agak lewat, sekitar jam 1.30 petang. Seusai mengemas kelas, aku bersama-sama Cikgu Syah, Cikgu Mia dan sepuluh orang anak-anak yang tinggal di Kampung Kibagu dan Kampung Numbak lekas bergerak menuju ke arah pantai. Di sana, ibu-ibu sedang menanti anak-anak mereka di bawah pokok redup bersama senyuman dan kasih sayang. Begitulah rutin ibu si Azpar dan ibu si Ain, menghantar ke sekolah dan berjalan pulang bersama anak-anak mereka dan jiran yang tinggal jauh dari Kampung Teluk Layan. Setiap kali apabila aku tanya berapa jauh lokasi rumah mereka, anak-anak selalu menjawab, “Jauh saaaaaaaana tu cikgu”.

“Cikgu betul mau ikut kami jalan?” tanya ibu Ain.

Hari itu aku putus untuk menziarahi beberapa keluarga pelajarku yang sedang sakit. Azrul mengadu yang adiknya Nazri tidak dapat hadir ke sekolah akibat demam dan muntah-muntah. Abang Ain pula cedera akibat terkena tumpahan minyak masak panas ketika bekerja. “Kau mau tau cikgu, kalau malam-malam tidur, melekat lukanya itu pada baju”, bersungguh Ain cerita padaku perihal abangnya.

“Cikgu betul ini kau mau ikut kami jalan sampai rumah?”, tanya ibu Ain banyak kali minta kepastian.

Hari yang mendung beransur-ansur menjadi cerah, begitu juga langkah kami pada permukaan bumi yang beransur-ansur berubah daripada kawasan pasir pantai – jalan raya – semak berduri – memanjat batu-batu curam – mendaki bukit – jalan raya – jambatan kayu. Perjalanan kami panjang namun tidak pernah sedetik sunyi tanpa bicara, pasti ada yang bercerita dan diselang seli dengan nyanyian lagu Anak Merdeka, lagu 1234 dan lagu sekolah. Banyak kali ketika sedang berjalan terutamanya di kawasan bukit, anak-anak akan pesan,

“Cikgu hati-hati, depan sana ada banyak duri!”

“Cikgu hati-hati, sini batu licin!”

“Cikgu hati-hati, sini selalu ada penyengat!”

Kadang-kadang aku tanya, “Mana kamu tahu?”

“Sebab aku pernah kena. Sakitnya tu cikgu”, selamba Ain menjawab.

Setelah singgah di Kampung Kibagu untuk merawat dan menziarahi keluarga anak murid kami di sana, kami meneruskan perjalanan ke rumah Azpar anak murid kami yang tinggal di Kampung Numbak. Apabila tiba di rumah, jam sudah menunjukkan jarum 5.00 petang dan masing-masing terduduk kepenatan. Namun, perjalanan ini tidak berakhir bagi tiga orang pelajar kami, Jamaluddin dan adik-adik perempuanya. Mereka perlu meneruskan lagi perjalanan dan merentasi sebuah bukit untuk sampai ke rumah mereka. Aku tengok telefon, jumlah perjalanan kami dari sekolah ke rumah Azpar ialah 8km.

Antara perjalanan yang perlu dilalui oleh anak-anak ini untuk pergi dan pulang sekolah.

Ya, 8km. Hampir 3 jam kami berjalan. Baru aku faham maksud ‘jauh saaaaaaana’ yang selalu dikatakan oleh anak-anak. Aku tanya Azpar (15 tahun) dan adiknya Manja (7 tahun), “Kamu pernah rasa malas mau pergi sekolah? Jauh ba ini mau jalan kaki”.

“Ndak pernah lah cikgu. Biasa sudah kami. Kalau penat berhentilah sekejap, terus sambung jalan lagi. Lagipun di sekolah seronok”, balas Azpar senyum-senyum.

Otak aku ligat berfikir, cuba memahami akan, ‘Semangat apa yang mereka ada sehingga sanggup bersusah-susah sebegini?’ ‘Semangat apa yang ibu-ibu ini punya sehinggakan anak-anaknya begini?’

Selepas lalu bukit, lalu jalan raya dibawah terik matahari.

Anak-anak dari Kampung Numbak dan Kampung Kibagu ini perlu berjalan kaki 5-8km untuk ke sekolah dan tidak pernah sekali pun mereka hadir lewat. Malahan Azpar dan Manja, tidak pernah sekali pun tidak hadir ke sekolah.  Biarpun demam, Azpar tetap ke sekolah. Ibu mereka bercerita bahawa anak-anak ini perlu bangun sekitar jam 5.30 pagi untuk bersiap dan mereka sama-sama akan keluar daripada rumah sebelum jam 6.30 pagi supaya tiba ke sekolah sebelum jam 9 pagi. Ah, semangat dan disiplin yang luar biasa! Belum lagi bercakap tentang perjalanan pulang yang selalunya tidak tentu berbumbungkan bagaimana.

Cikgu Mia dan anak-anak.

Memori tentang pertemuan aku dan Shakila bersama Pegawai Jabatan Pelajaran Negeri Sabah tempoh hari untuk usaha mendaftarkan Sekolah Alternatif masih segar, ”cuba kamu bayangkan kalau kita bagi budak-budak yang tidak ada dokumen ini masuk sekolah, mesti mereka akan bersaing dengan anak-anak kita. Kamu pun tahu anak-anak stateless ini kuat, kalau bersaing dengan anak-anak kita pasti mereka yang menang. Nanti, kita juga yang rugi.”

Dangkal.

Tanggal empat itu aku pelajari tentang kisah hidup anak-anak muridku dengan lebih dalam – tentang mata mereka menyaksikan orang-orang berkuasa merobohkan rumah mereka, tentang tangis dan trauma mereka membesar dengan ketakutan sewaktu ibu dan bapa mereka ditahan berbulan-bulan di rumah merah (rumah transit) dan seterusnya dihantarkan ke Filipina atas jenayah tidak mempunyai dokumen. Kenapa Filipina? Kerana mereka berketurunan Bajau Ubian. Si ibu perlahan-lahan membuka cerita, matanya berkaca namun cepat-cepat diseka dengan senyuman. Cuba untuk nampak kuat di hadapan anak-anaknya yang turut ikut mendengar cerita. Apabila aku bertanya pada si ibu bagaimana keadaan di dalam rumah merah, segera beliau menjawab, “Palis! Palis! (minta jauh)” – terlalu berat untuk mengimbau kembali kisah hitam lalu.

Aku menulis catatan pendek ini bertemankan air mata dan amarah, yang aku kira sepatutnya sudah kering semalam. Banyak sisi-sisi kehidupan anak-anak dan ibu bapa yang dikongsi dan setiapnya terlalu sarat dan berat. Anak-anak marginal ini adalah mangsa kepada tangan-tangan kita sendiri. Azpar, Ain dan Manja adalah simbolik kepada ramai anak-anak tanpa dokumen yang punya trauma, ditindas, namun memilih untuk membina kehidupan melalui ilmu dan harapan. Sewaktu mereka mentah-mentah ditolak daripada sistem arus perdana, mereka terus menerus memilih untuk kekal hidup dan membina harapan melalui jalan-jalan alternatif.

Dan adalah zalim dan berdosa jika aku untuk terus bersantai dan berleka, memperjudikan harapan dan kepercayaan mereka. Dan adalah zalim dan berdosa untuk aku terus berdiam membiarkan penindasan. Namun aku juga gusar ketika aku melaungkan perlawanan dan perjuangan ini, ada tindak-tandukku yang secara halus menindas anak-anak ini.

“Aku tadi ada dua doa. Satu aku mahu selalu datang sekolah. Satu lagi semoga Allah ampunkan dosa aku dan kawan-kawan”, balas Ain tersenyum malu-malu sambil menyorok mukanya disebalik dakapanku.

‘Ah, dosa apa yang kalian ada?’, getus hati aku.

‘Kami yang berdosa, Ain’, bisik hati aku.

Keluarga kecil kami di Kampung Numbak, 8km dari sekolah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *