Oleh: Farahani R.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita demi berita yang sesaat mengamit perasaan ingin peduli pada arena politik. Mereka yang tidak peduli akhirnya peduli, dan mereka yang kononnya memerhati kini menyarungi topi serba tau terhadap senario percaturan kuasa. Saya antara pemerhati sekali sekala terhadap perebutan kuasa ini; tidak pada mata kasar, tetapi pada mata pembaca/penganalisis isu semasa. Ini adalah pandangan saya semata-mata, sebagai penulis sejarah dan pengamal media.

Terlepas dari pandangan awam adalah kesungguhan PKR mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai PM-8. Anwar adalah sosok politik yang berpengaruh, dan permulaan dirinya itu kena pada waktunya. Sebagai seorang Islamist terkemuka, beliau juga seorang intelektual yang dipandang mengamalkan nilai kesederhanaan. Sebagai sosok politik, dia begitu ramah dan mesra dalam membina jaringan ummah, kesepakatan pada mereka yang inginkan teman yang bijak berceloteh. Tidak seumpama Mat Sabu yang berapi-api ucapannya; Anwar Ibrahim tahu bila ingin petik tokoh Barat, bila ingin petik tokoh Melayu, bila ingin petik tokoh Islam.

Terlepas dari pandangan awam juga adalah bagaimana PKR terpecah dari dalam. Bermula dari kem Azmin melawan kem Rafizi; disudahi pula dengan kekalahan Rafizi Ramli dalam proses undian dalam parti itu dengan tuduhan bahawa Azmin menipu. Sepatutnya Rafizi menang. Dakwanya begitulah. Saya teringat lagi, ada dakwaan lain menyatakan bahawa berlakunya masalah sistem ketika proses undian dalaman parti tersebut di Sabah; sepatutnya Rafizi menang, tapi sebaliknya, Azmin pula mendominasi undi di sana.

Rafizi akhirnya bersara dari politik, membawa kehampaannya pada politik dalaman parti itu sendiri lalu membina sistem teknologi AI dalam industri cari kerja. Adnexio. Invoke yang dahulunya dijadikan sebagai pusat analisis undi bertukar menjadi syarikat pemasaran digital mahal, khas sesiapa yang berduit menggunapakai kepakaran mereka dalam alam media sosial. Oh, tidak ramai orang sedar betapa berkuasanya media sosial.

Azmin kemudiannya hilang dari radar pertemuan demi pertemuan, mesyuarat demi mesyuarat parti. Sejak Azmin diangkat menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, wujudnya ‘kartel’ termasuklah Zuraida sendiri. Untuk yang kurang faham istilah kartel ini, ia secara asasnya merupakan suatu kelompok ‘kroni’ yang diberi jawatan, status atau kedudukan disebabkan hubungannya dengan seseorang yang berkuasa. Kroni-kroni ini akan sedaya upaya melindungi patronnya, yakni dalam hal Malaysia, Azmin sendiri. Kroni inilah mencetus pergaduhan dalam mesyuarakat PKR lalu.

PKR kini terbelah dua: antara kem Anwar dan kem Azmin. Dari sudut pembangkang yang mulai retak akibat satu persatu pemimpinnya diheret ke kendang tertuduh, kemenangan mereka di Kimanis dianggap sebagai satu petanda kononnya UMNO masih relevan. Saya tidak pasti sejauh mana benar kenyataan ini, tapi yang saya pasti, kemenangan tersebut disumbangkan oleh banyak faktor. Faktor utama yang dapat saya lihat adalah media yang ‘memayungi’ naratif tersebut dan isu Pas Sementara Sabah (PSS). Berikutan kekalahan ini, idea PSS disumbat ke dalam laci Kementerian Dalam Negeri.

UMNO-PAS mulai bercumbu kembali, walaupun masing-masing ternyata mendesak hati agar bermesra atas istilah ‘penyatuan ummah’. Slogan Muafakat Nasional terbentuk, dan diharap berupaya mengendong dosa mereka jauh dari mata rakyat. Rakyat yang mudah memaafkan pasti melihat kesucian mereka sebagai manusia biasa yang tidak bebas dari dosa. Dosa mencuri lebih ringan dari dosa makan babi. DAP terus dibakar bernyala-nyala oleh minyak perkauman.

PAS lebih dahulu ingin bersalam dengan Mahathir. Lebih baik ditubuhkan kerajaan bersama; pujuk mereka. UMNO turut serta, sekali lagi bersalam dengan Mahathir. Anwar hanya mengerling, tidak jauh dari kanan Mahathir. Wan Azizah tengah sibuk bekerja demi keluarga, manakala Nurul Izzah diam sepi, saya kira turut melaksanakan apa-apa yang media rasa tidak cukup sensasi untuk diangkat. Tidak seperti Syed Saddiq yang bijak bernada rakyat dalam media sosialnya. Dia menang kerana popularitinya dalam kalangan muda; sudah tentulah platform terbaik melebarkan pengaruhnya adalah menerusi akaun Twitternya.

Bersatu terlebih dahulu mengungkap nama Pakatan Nasional. Idea yang diciplak dari Muafakat Nasional. Saya tidak pasti jika Mahathir sedar wujudnya istilah ini lagi-lagi ia dituturkan oleh salah seorang ahli partinya, namun istilah Pakatan Nasional ini didatangkan lebih awal. Beberapa hari lebih awal sebelum Langkah Sheraton dijalankan. 23 Februari adalah hari yang tenang untuk saya yang berada di Kota Kinabalu. Tidak pula saya menyangka, beberapa pemimpin Sabah dan Sarawak tengah berasak-asak ingin menyaksikan sendiri rampasan kuasa dalam bentuk makan-makan besar. Saya faham. Mereka ingin jadi kingmaker.

Hotel Sheraton tentu lebih untung selepas ini, melihatkan istilah Langkah Sheraton sudah tertulis dalam minda rakyat. Di minda saya, ini adalah bloodless coup. Satu pergolakan yang dimulakan, kononnya oleh Azmin sendiri selepas beberapa kali ditangkap basah oleh media bersama dengan barisan pembangkang. Pertama, di rumahnya sendiri dan kedua, di Hotel Sheraton. Kisah di pengetahuan saya ada dua sisi: Ini adalah kerja Azmin, atau ini adalah kerja Muhyiddin.

Kedua-dua versi membawa kepada tema pengkhianatan. Versi ‘Azmin pengkhianat’ ini berlegar dalam kalangan ahli PKR, ditambah lagi dengan komen Anwar sendiri. “Si Kitol dan Mak Lampir”, mereka menggelarkan pasangan seduet ‘pengkhianat’ ini. Sarawak Report turut menegaskan versi ini, mengikut sumber mereka. Kemudian, dalam satu versi yang diriwayatkan oleh ahli PKR lain: ini semua kerja Muhyiddin. Sudah tentu, ini adalah sumber saya. Muhyiddin-Azmin-Zahid adalah kepala utama yang merancang peralihan ini. Disebut sebagai ‘pensejajaran semula’, bukannya peralihan kuasa. Ertinya, Pakatan Harapan atau Pakatan Nasional, Mahathir tidak kalah.

Situasi alternatif:

Jika Pakatan Nasional berjaya ditubuhkan (atas alasan dapat majoriti mudah), Mahathir sebagai Presiden parti Bersatu dan Pakatan Nasional sendiri sokong Mahathir… Mahathir tetap menjadi PM, namun kabinetnya digantikan dengan barisan UMNO dan PAS.

Jika Mahathir menolak dan menginginkan PH terus menerajui kepimpinan mereka; Bersatu-Warisan-GPS tidak hilang apapun. Sepatutnya.

Mereka tidak menjangka (mungkin) bahawa langkah checkmate: Mahathir letak jawatan, sekaligus mematahkan sebarang usaha ‘pensejajaran semula’. Seorang demi seorang menteri melambai tanda akhir perkhidmatan mereka. Paling sayu di hati rakyat adalah ucapan Dr. Dzul sebagai Menteri Kesihatan dengan membawa berita manis kesembuhan beberapa pesakit COVID-19 di Malaysia.

Kemudian satu lagi versi yang dihadiahkan pada saya menerusi kenalan Facebook. Barangkali ini semua The Great Game untuk Mahathir. Istilah ini pada mulanya untuk menghubungkan peristiwa geopolitik penjajahan British dan Rusia, tetapi izinkan saya pinjam pula untuk konteks Malaysia.

Saya faham versi The Great Game ini. Beberapa bulan lalu, kita seringkali mendengar ‘ancaman penuh bermakna’ dari Mahathir sendiri bahawa akan berlaku rombakan kabinet. Lagak Mohammad Ketapi terngiang di kepala saya: “Saya tidak takut, prestasi saya hampir 100%”. Walhal ada dilaporkan bahawa hubungan beliau dengan para pegawainya kurang baik disebabkan kekurangan komunikasi.  Beliau menafikan laporan tersebut.

Ketika ‘rombakan kabinet’ itu keluar dari bibir tua Mahathir, beberapa saluran media sudahpun mengeluarkan analisis, pendapat dan perkiraan undi sendiri mengenai calon Menteri yang harus dibuang dari kabinet. Antara yang popular (untuk dibuang) adalah Dr. Maszlee, Waytha Moorthy dan Lim Guan Eng.

Keinginan segelintir itu tercapai apabila Dr. Maszlee dibuang dahulu, sempat diberi peluang untuk ‘meletakkan jawatan’ berbanding dibuang oleh Ayahanda. Thukulcetak (mantan CEO dan pengasasnya adalah ZF Zamir, pegawai khas Dr. Maszlee sepanjang perkhidmatannya sebagai Menteri Pendidikan) sempat menukul kemas buku terakhir mereka, tulisan Wan Ji. Berbalik kepada Azmin pula; beliau adalah anak emas kepada Anwar, kemudian kepada Mahathir nampaknya. Saya tidak tahu peranan dan potensi beliau, melainkan Azwan Ali sendiri mengatakan abangnya itu ‘ular’.

Di sinilah saat kita harus mengeji tindakan menubuhkan kerajaan pintu belakang. Usaha UMNO dan PAS bersalam dengan Mahathir dilihat cara baharu untuk menawarkan kerusi mereka agar dapat mencipta majoriti mudah. Bersatu pula terbuai panik dengan boogeyman Azmin yang menyatakan Anwar sudah dapat sokongan majoriti untuk menjadi PM. Ya, PH sudah lama bercerai-berai. Kemelut ini memperlihat DAP sebagai parti berprinsip, hingga dikatakan pada 24 haribulan itu, permohonan keanggotaan DAP meningkat mendadak.

Saya ingat lagi satu ciapan berkata:

“Jika nak main politik, rakyat pun boleh main politik”. Itu satu api garang dari hati yang ‘fed up’ pada drama politik sebegini.

‘Kerajaan pintu belakang’ ini mengotorkan semangat demokrasi dan prosesnya. Buat apa kita harus memperjuang ketelitian dan ketelusan proses pilihan raya jika pada akhirnya, para pemimpin ini suka hati bermain permainan ‘majoriti mudah’ untuk mengganti kuasa? Namun ada juga yang mengutuk para aktivis pro-pilihan raya ketika mereka tampil membantah tindakan ini. Yang ini, saya tidak jelas mengapa. Sama ada mencari modal untuk mengutuk, ataupun hanya memancing reaksi. Boleh jadi pada awalnya, mereka menolak untuk hidup bertuan, berkerajaan dan dalam demokrasi: “rakyat adalah tu(h)an negara.”

Apa yang terjadi lepas ini adalah sedutan sejarah yang baharu. Campur tangan YDP Agong dalam hal ini menampakkan betapa seriusnya krisis ini di mata baginda. Memandangkan Mahathir diangkat sebagai PM Interim yang kini tidak berparti (beliau keluar dari Bersatu sebelum menyerahkan surat perletakan jawatannya pada YDP Agong). Jika krisis ini tidak ditangani, boleh jadi drama ini akan berulang semula kelak. Satu precedent kepada krisis politik yang baharu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *