Oleh: Nur Huda
Ketika artikel ini ditulis, Malaysia telah mencatatkan jangkitan yang ke-100. Dengan peningkatan bilangan jangkitan setiap hari, tentunya kerisauan kita pun bertambah. Ditokok pula oleh berita-berita tidak berhujung pangkal yang disensasikan, kerisauan bertukar kepada ketakutan, seterusnya mencetus panik.
Kegusaran yang berlaku sepatutnya menyebabkan kita lebih mengambil tahu tentang risiko dan pencegahan penyakit berjangkit, mengambil langkah berjaga-jaga, menjaga kebersihan, mengawal jarak dan berhati-hati di tempat umum. Semua ini telahpun diterangkan oleh petugas kesihatan dan garis panduan telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Sebaliknya masyarakat menjadi takut kepada kumpulan etnik tertentu, membuat pembelian pukal barang keperluan seolah-olah akan berlaku apokalips dan menyebarkan berita-berita tidak sahih, sepertinya penyebaran berita boleh mengekang tersebarnya virus di persekitaran. Namun, pada masa yang sama, masih lagi keluar ke tempat awam tanpa keperluan mendesak, contohnya menghadiri ceramah politik dan perhimpunan umum. Malah masih ada yang bercuti ke negara berisiko tinggi kerana tidak mahu menanggung kerugian pembelian tiket penerbangan.
Sepanjang memerhatikan sikap dan tindakan pengguna media sosial terhadap epidemik yang berlaku ini, saya dapati terdapat salah faham dalam beberapa perkara. Berikutan kelemahan ini, terdapat pihak yang menangguk di air keruh, cuba menjual pelbagai jenis barangan kononnya boleh mencegah jangkitan. Tidak kurang juga yang menunggang apa-apa kepercayaan mereka melalui ceramah berbayar. Yang paling tidak membantu ialah mereka yang bermain sentimen untuk mendapat perhatian, pada masa yang sama menyebabkan jangkitan berbahaya ini dipandang remeh.
Topeng muka tidak memberi perlindungan sepenuhnya dari virus, kerana saiz virus adalah jauh lebih kecil dari rongga poros pada topeng tersebut. Ia juga tidak menutup sepenuhnya hidung, mulut dan mata kita. Penggunaan topeng muka adalah untuk menapis titisan air liur dan mukus yang mungkin terpercik apabila seseorang bercakap dengan kita. Lebih penting lagi, ia boleh mengelakkan orang lain berjangkit sekiranya kita dijangkiti virus tersebut, tanpa kita sedari. Pemakaian topeng muka juga secara tidak langsung menghalang kita dari asyik menyentuh hidung dan mulut kita menggunakan tangan. Perlu diingatkan, tapak tangan kita adalah tempat yang paling tinggi kemungkinan terdapat kotoran dan mikroorganisma. Jangan pula apabila memakai topeng muka, kita pun dengan senang hati merayau-rayau di tempat umum tanpa keperluan kerana menyangka bahawa kita telah terselamat dari dihinggapi virus.
Pembelian topeng muka secara pukal sehingga kehabisan di pasaran bukan sahaja tidak perlu, tetapi ia adalah tindakan mementingkan diri sendiri. Orang yang paling memerlukan topeng muka ialah pekerja kesihatan di barisan hadapan. Risiko jangkitan yang mereka hadapi sangat tinggi dan mereka tidak boleh lari dari berhadapan dengan pesakit dan terdedah kepada virus. Selain itu, orang-orang yang berkerja di lapangan dan tempat awam, pekerja pembersihan, pekerja retail, penghantar dokumen dan makanan juga memerlukan topeng muka. Orang-orang tua, kanak-kanak dan mereka yang berpenyakit lebih berisiko dan lebih memerlukan topeng muka. Kepada yang lain, boleh mengasingkan diri di rumah/pejabat dan mengelak dari menghadiri tempat yang ramai.
Adakah covid-19 membawa penyakit yang pasti menyebabkan kematian? Sepertimana jangkitan flu yang lain, ia boleh membawa kematian, tetapi ia boleh disembuhkan. Kadar penyembuhan pula adalah sangat tinggi. Setakat ini kadar kematian akibat covid-19 tidaklah lebih tinggi berbanding kematian akibat jangkitan flu yang lain. Di Malaysia, pihak berkuasa perkhidmatan kesihatan sangat efisyen dalam mengekang penyebaran virus ini. Kita juga mempunyai fasiliti canggih dan pakar-pakar yang handal untuk menangani jangkitan.
Dalam keterdesakan masyarakat, bukanlah sesuatu yang pelik apabila ada yang sanggup berbuat dan mencuba apa sahaja untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga. Datanglah petua-petua yang kita tidak tahu asal-usulnya. Atau mungkin juga berasal dari pembacaan yang kurang difahami. Paling biasa ialah penggunaan bawang putih untuk membunuh virus dan bakteria. Juga potongan bawang besar yang diletakkan di tapak kaki. Petua-petua ini bukan sahaja tidak pernah dibuktikan keberkesanannya, malah mungkin boleh membawa mudarat. Bawang mengandungi banyak air, apabila dipotong dan terdedah, ia menjadi medium yang sesuai untuk pembiakan mikroorganisma, terutama kulat. Kulat menghasilkan spora yang akan berterbangan dan boleh memasuki paru-paru kita.
Seperti dijangka, usahawan-usahawan ‘ubat’ traditional dan alternatif rancak menimbulkan diri. Yang paling selalu saya lihat ialah saranan pengambilan vitamin C pada dos yang melampau tinggi. Vitamin C yang dijual itu pula sangat mahal harganya berbanding yang boleh didapati di farmasi. Vitamin C adalah mikronutrient, ia sangat diperlukan tetapi bukan pada kuantiti yang banyak. Keperluan vitamin C harian kita ialah sekitar 80-90 mg sahaja. Pengambilan berlebihan boleh menyebabkan penyakit batu karang dan keracunan. Dalam kes covid-19 ini, vitamin C tidak mengekang jangkitan dan tidak menyembuhkan flu.
Kesempatan juga diambil oleh uasahawan penapis udara dan penapis air. Seperti namanya, penapis-penapis ini boleh menapis udara dan air, tetapi tidak boleh menapis virus termasuk covid-19.
Ada juga yang takut untuk membeli barangan dari China dan makan di restoran Cina. Ketakutan ini kelihatannya berasas kerana virus ini datang dari China dan asalnya menjangkiti orang Cina. Kita perlu memahami bagaimana virus berpindah dari satu individu kepada individu lain. Virus memerlukan perumah (manusia atau haiwan), ia hidup dan membiak di dalam bendalir tubuh perumahnya. Ia tidak boleh membiak di luar perumah, seperti barangan, bungkusan, bekas makanan dan sebagainya.
Satu artikel dari sebuah portal bebas menyatakan bahawa virus boleh hidup 9 hari pada pemegang di dalam lrt. Kerisauan untuk menyentuh pemegang di dalam bas dan lrt, butang lif, tombol pintu, pemegang tangga adalah berasas. Sekiranya seseorang yang dijangkiti covid-19 batuk atau bersin pada tapak tangannya dan kemudian memegang sesuatu, air liur atau mukus yang mengandungi virus pada tangannya boleh berpindah kepada permukaan lain. Sekiranya kita menyentuh permukaan tersebut, bendalir itu akan berpindah ke tangan kita. Tetapi kita tidak akan terjangkit dengan cara ini. Kita hanya akan terjangkit apabila kita memegang muka, hidung dan mulut, memindahkan bendalir bervirus tersebut dari tangan kepada hidung dan mulut kita. Selalulah membasuh tangan menggunakan sabun. Atau bawa sahaja hand sanitizer ke mana-mana.
Penularan apa-apa pun penyakit berjangkit adalah tangible, ia sesuatu yang fizikal, bukan magik, bukan juga dari alam dimensi berlainan. Ia boleh dijelaskan secara nyata. Ia adalah perpindahan dari satu tempat ke tempat lain, sepertimana kita melihat tracking barang yang kita beli dalam talian, begitulah juga kita boleh mengesan perpindahan virus dan bakteria. Dari mana, ke mana, melalui apa, semuanya boleh dikesan dan dibuktikan. Sebab itu kita faham cara pencegahannya adalah mengelakkan perpindahan dan cara merawatnya ialah membunuh virus tersebut, samada menggunakan ubat atau serangan antibodi.
Samada epidemik ini adalah balasan, dosa atau karma tidak siapa yang tahu. Tidak ada yang dapat mencari, mengesan dan buktikan. Bukan itu saja, ia langsung tidak membantu mengekang penularan penyakit ini. Tidak payah menunding jari kepada kesalahan sesiapa, virus tidak memilih orang baik atau jahat. Tidak perlu takut kepada sesuatu kumpulan etnik, virus tidak diwarisi melalui genetik dan tidak mengenal keturunan. Tidak patut meremehkan dan melecehkan penyakit ini kerana kepercayaan anutan yang lebih superior, virus tidak peduli. Amatlah tidak benar perhatian diberikan kepada penularan covid-19 kerana ia menjangkiti orang kaya, virus tidak tahu pendapatan tahunan anda.