Oleh: Mukmin Nantang

1. Mengapakah bantuan dari NGO wujud?
NGO dan bantuan-bantuannya wujud untuk melengkapi masalah atau persoalan masyarakat yang tidak diselesaikan oleh kerajaan. Memang semua kerja NGO sepatutnya kerja kerajaan. Tapi kerajaan lebih banyak main politik dan tidak mampu bergerak seprogresif NGO dalam membantu masyarakat terpinggir. Tumbuhnya NGO bagai cendawan selepas hujan adalah mencerminkan kelompongan yang besar dalam kerja-kerja orang politik.

2. Kerajaan mahupun mana-mana orang politik tidak harus sombong. Sedarlah diri. Sepatutnya bekerjasama dengan NGO dan mengambil maklumat atau dapatan dari NGO. Ketika kamu duduk di atas kerusi empuk, NGO bekerja setiap hari memahami masalah masyarakat. Kamu dari atas memang tidak akan pernah memahami.

3. NGO juga mahu duduk rumah dan berehat. Tapi bagaimana kalau setiap hari kami dibanjiri mesej dan didatangi orang yang berjumpa kami untuk memohon bantuan? Mengapa mereka bertemu NGO bukan pusat kerajaan? Sebab sistem kerajaan sangat teruk– banyak birokrasi, serabut dan akhirnya, masalah masyarakat banyak tidak mampu diselesaikan.

4. Kerajaan banyak bercakap soal polisi dan dasar tetapi implimentasinya bagaimana? Bagaimana dengan orang di pulau, orang di pedalaman, pelarian dan orang tanpa dokumen? Bagaimanakah cara mendekati dan membantu mereka? Sedarlah bukan saja mereka tidak dapat bantuan, informasi juga mereka tidak dapat. Tidak semua orang ada kenderaan dan kelebihan menggunakan jalur lebar (internet).

5. Sedarkah kerajaan ada pulau yang berjam-jam untuk kita sampai menaiki bot? Ada pedalaman yang berhari untuk kita sampai dan ada yang tidak boleh masuk menggunakan kenderaan? Ada pelarian yang terperangkap di penempatan mereka? Ada orang tanpa dokumen yang takut untuk keluar dan bantuan tidak pernah sampai ke tempat mereka?

Bantuan makanan di Semporna. Sekolah Alternatif sebagai pusat pengumpulan barang bantuan. Barang disusun mengikut jenis dan penduduk kampung akan mengambil secara bergilir.

 

6. Kerajaan tidak perlu larang NGO, kami boleh berhenti sendiri buat kerja kebajikan dan kemanusian ini. Tetapi, bolehkah kerajaan beri jaminan akan membantu semua golongan diceruk-ceruk mana pun? Boleh? Kalau boleh, kami semua berhenti buat kerja PERCUMA ini!

7. Jangan kata kami tidak salurkan maklumat kepada kerajaan. Habis air liur, habis kertas A4 laporan dicetak dan habis duit berulang kali naik turun pejabat kerajaan. Jangan kata kami tidak salurkan maklumat kepada kerajaan. Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM)? Kalau JKM ni bagus, rancangan Bersamamu TV3 pun tak wujud!

8. Bercakap dari bibir politikus yang sedang duduk dikerusi empuk, tidak mungkin sama dengan gambaran sebenar penderitaan rakyat kelas bawah.

9. Saya tidak akan berhenti bagi bantuan. Hukumlah apa pun dan jangan lupa bantu komuniti yang saya jaga!

10. Kami NGO juga takut dijangkiti Covid-19. Tapi, apa yang lebih kami takut adalah saudara semanusia kita dibiarkan mati tak makan, mati tidak beri perubatan!

Orang tiada, tidak boleh meminta. Kedai tutup, tiada sumber. Atap tiada, tidak boleh berteduh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *