Oleh: Farahani R.
Ketika artikel ini ditulis, Malaysia baru mengakhiri fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan dan bakal memasuki fasa ketiga PKP dengan tempoh 2 minggu. Kabur semakin ingatan rakyat pada kadar kes yang dilaporkan setiap hari oleh Ketua Pengarah Kesihatan DG Norhisham.
Setiap 2 minggu, ada saja perkara baharu yang hangat dalam alam maya. PKP 1 menyaksikan berbondong-bondong rakyat yang masih degil dan mengingkari perintah PKP sehingga pasukan tentera terpaksa dikerahkan untuk membantu pihak polis mengawal keadaan. Pada waktu ini, warga maya begitu sibuk ‘meraikan’ cuti dan berusaha menyesuaikan diri bekerja dari rumah.
Ketika akhir PKP 1 dan menginjak beberapa hari awal PKP 2, rakyat mulai terpecah-belah-bahaginya apabila bantuan kewangan mulai diumumkan. Elitis bertanya, mana duit kami pula? Presiden Seniman tebal muka tersenyum, “bad publicity is still a publicity”. Katanyalah. Wujud kluster generasi kedua daripada peserta perhimpunan Sri Petaling.
PKP 1 memperlihat kegagalan Dr. Adham Baba menjaga reputasi sebagai Menteri Kesihatan hingga beliau ‘dihilangkan’ dalam paparan rasmi. PKP 2 menunjukkan betapa remeh masalah wanita sehingga poster disalah-eja dan peranan Doraemon digunakan sebagai simbol. Menteri Perumahan sendiri melanggar SOP proses sanitasi. Menteri Kementerian Pengajian Tinggi memilih platform yang ‘salah’ untuk mencipta pertandingan. Pada waktu ini; KP Hisham merupakan satu-satunya wakil kerajaan yang disayangi rakyat.
PKP 3 pula menampakkan wujud ‘kelonggaran’ ekonomi apabila terdapat sektor yang telah dibenarkan beroperasi semula. Orang ramai sudah berani keluar; mencuba secara minimalnya untuk menjarakkan diri ketika berada di luar. Berita kejayaan Malaysia setiap hari tidak hanya memberi nada optimis, ini juga memberi keyakinan yang tidak patut untuk situasi yang belum sepenuhnya terkawal.
WHO sudahpun memperkenalkan istilah ‘new normal’, memberi erti bahawa kita belum menang lagi dalam perjuangan melawan COVID-19. Vaksin hanya siap dalam tempoh setengah tahun, tatkala lebih banyak penyelidikan ubat baharu diwujudkan. Malaysia sendiri dikatakan terlibat dalam program tersebut, sepertimana beberapa negara lain seperti Korea Selatan dan China.
Meskipun PKP tidak lagi dikuatkuasakan seketat beberapa minggu lalu dan mungkin akan dilonggarkan beberapa bulan kemudian. Apapun jenis perhimpunan tidak dapat dibenarkan bagi mengelak wujudnya kluster baharu. Apa-apa ruang awam masih perlu ditutup, dan perubahan industri ekonomi didesak untuk berpindah ke alam digital. Syarikat-syarikat terpaksa cuba ‘mengapungkan diri’ menempuhi badai pandemik ini.
Di China, prejudisme semakin teruk apabila warga berkulit hitam dinafikan sebarang perkhidmatan kerana dianggap sebagai ‘orang luar’. Di Amerika, wajah bermata sepet dipinjamkan sebagai wajah virus halimunan. Di Perancis, idea dua orang saintis untuk menguji-kaji virus tersebut kepada orang Afrika mengungkit kepahitan kenangan imperialisme dan eksploitasi benua tersebut di tangan kolonial orang putih.
Saya tidak pasti jika inikah ‘new normal’ yang harus kita hadapi, selain dari terpaksa membawa hand sanitizer, topeng muka dan menjauhkan diri sekurangnya semester dari orang lain. Di Malaysia pula, adat budaya kita sentiasa berbalik semula kepada rasa komuniti dan kekitaan. Kerana itu, ada menyatakan Ramadan tahun ini suram kerana tiada hiruk pikuk bazar. Mungkin balik kampung pun suatu ‘adat’ yang perlu dikorbankan. Lepak bersemuka juga suatu yang perlu dilupakan seketika. Berkunjung ke rumah terbuka, bermain bunga api dan mercun raya, bersalam menerima angpow… semua ini harus disimpan dahulu.
Peperiksaan dan majlis keraian juga kena ditangguhkan. Pelan percutian ke luar negara dan dalam negara perlu ditunda dahulu (paling kurang dihadkan). Seharusnya PKP adalah gambaran kehidupan kita semasa ancaman wabak tersebut masih wujud di seluruh dunia. Pakar meramalkan keadaan ini mungkin berlangsung hingga 2022.
‘New normalcy’ ini mungkin syurga untuk introvert (atau penghidap social anxiety), dan neraka buat extrovert pada dasarnya – tetapi harus saya sentuh juga tentang kesihatan mental. Saya secara peribadinya sudah beberapa kali terasa gelisah dan kemurungan. Sudah 2 kajian soal selidik mengenai tahap kesihatan mental telah saya ambil – kedua-duanya saya akui bahawa saya merasai kegelisahan. Saya tidak pasti puncanya dari mana; kuarantin, kadar kes setiap hari atau kerisauan peribadi saya terhadap ibu saya yang merupakan sebahagian dari tenaga penting di HQE.
Terima kasih. Mantap artikelnya..