Oleh: Syed Ahmad Fathi
Saya masih ingat nama perkampungan itu, Kampung Inn Dinn dimana 10 orang warga Rohingya dibunuh oleh penduduk Buddhist dan dibantu oleh tentera. Mereka diikat tangan, dibariskan, diambil gambar, sebelum dibunuh. Ada yang ditembak, ada yang ditetak sehingga mati, sebelum mereka ditanam bersama dalam satu kubur besar. Laporan ini dikeluarkan oleh Reuters, walaupun tahu apa risiko yang bakal di alami untuk melaporkan kebenaran, Reuters menerbitkan laporan berkenaan, 2 wartawan mereka warga Myanmar yang berani mendokumenkan pembunuhan ini kemudiannya ditangkap. Laporan itu begitu teliti, setiap mangsa disiasat nama mereka, pekerjaan mereka, malah ahli keluarga mereka yang berjaya melarikan diri ke kem pelarian ditemu bual. Walaupun pedih mereka menyaksikan gambar-gambar suami, ayah, abang, dan adik mereka yang dibunuh kejam untuk mengabsahkan laporan tersebut. Untuk seketika laporan itu menggegarkan dunia. Namun laporan ini merupakan cebisan kecil dari pembunuhan etnik beramai-ramai yang sistematik yang menyaksikan ribuan kaum Rohingya menjadi pelarian di Bangladesh.
Kekejaman luar biasa di abad ke-21 ini menggerakkan hati seorang lelaki bernama Abubacarr Tambadou, seorang Menteri Kehakiman di negara kecil di barat Afrika, Gambia untuk membawa Myanmar bersama pejuang kemanusiaan palsu mereka Aung San Suu Kyi ke mahkamah dunia untuk menghadapi tuduhan genocide. Abubacarr mengatakan bahawa apa yang dilakukan Myamar adalah sama dengan apa yang dilakukan di Rwanda, dimana satu etnik direndah-rendahkan, dipanggil dengan pelbagai nama untuk merendahkan martabat kemanusiaannya, sebelum dihapuskan beramai-ramai. Dunia memandang tinggi sumbangan Abubacarr, yang bertindak melebihi semangat bangsa atau negaranya, beliau berdiri di mahkamah antarabangsa membela kemanusiaan dan manusia-manusia yang dibunuh dan ditanam tanpa suara.
Hari ini kita membaca dengan sedih bagaimana kerajaan menghalau bot-bot yang penuh pelarian dari masuk ke perairan kita. Ia akan menjadi sejarah hitam dalam sejarah kemanusiaan kita sebagai sebuah negara. Dalam masa yang sama kita menangis membaca kisah mereka yang kelaparan ditengah laut, bersama anak-anak kecil, yang mati dibuang ke laut tanpa dikubur, apabila sampai ke perairan kita, mereka dihalau, dibiarkan mati. Apa yang kita buat ini tidak ada bezanya dengan apa yang dilakukan oleh negara Eropah yang menghalang pelarian yang datang dari Syria dan Libya, yang mana kemuncaknya dunia menyaksikan gambar seorang anak bernama Alan Kurdi mati bergelimpangan ditepi pantai, seolah nyawa tidak lagi berharga. Cuma bezanya kita dengan negara Eropah, kita berbangga dengan perkataan “Islam” yang termaktub dalam perlembagaan kita. Maka pagi-pagi kita baca qunut nazilah, berdoa agar Allah bantu saudara kita yang dizalimi di Myanmar. Bila matahari terbit kita halau pelarian Rohingya yang ingin menyelamatkan diri, kita halau mereka dari perairan kita untuk mereka mati di tengah laut. Ada yang memberikan justifikasi untuk mengelakkan kemasukan virus pandemik yang melanda, sedangkan kita menerima mereka-mereka lain yang balik dari luar negara. Mereka boleh disaring dan di kuarantin, apakah mereka merupakan manusia yang lebih rendah nilainya?
Tidak kurang ramainya netizen yang mencaci bangsa Rohingya di media sosial. Ada yang mencaci kerana mempunyai pengalaman buruk dengan mereka, ada yang mencaci kerana mereka ingin berkongsi rezeki ekonomi, ada yang mencaci disebabkan mereka sememangnya bersifat rasis. Memanggil mereka sebagai kotor, busuk, tidak beradab, tidak bertamadun dan seribu satu nama-nama jelik yang lain adalah usaha menidakkan hak mereka. Mereka perlu direndahkan martabat manusianya, mereka perlu dilihat kurang-manusia dari kita untuk dibiarkan mati. Itu lah yang dilakukan oleh Israel untuk menjustifikasikan pembunuhan orang Palestin, apa yang dilakukan oleh Hitler untuk membunuh orang Yahudi, juga dilakukan Myanmar untuk membunuh Rohingya, dan kita mahu mengikuti jejak langkah mereka? Jika mereka yang berhijrah tidak boleh berkongsi rezeki ekonomi, kaum Ansar dahulu perlu menghalau kaum Muhajirin, imigran yang berhijrah ke Madinah kerana Saidina Uthman si Muhajirin pandai berniaga. Adakah mereka berkelakuan seperti itu? Masih segar dalam ingatan ketika 11 September ramai cendiakawan Islam keluar berdebat dengan Barat melawan ideologi Clash of Civilization dengan hujah “segolongan penjenayah buat kejahatan tak mewakili agamanya”. Hari ini kita terbalikkan hujah itu dan kita pun petik beberapa kes sana sini “oh mereka ini kotor dan tak beradab, biar aja mati lemas dalam bot-bot mereka”. Begitukah Islam kita? Hipokrit dan selektif. Tidak malukah kita melaungkan kemanusiaan membela saudara Syria dan Palestin dalam masa yang sama mengabaikan saudara Rohingya kita? Atau kerana kulit mereka tidak putih gebu?
Malaysia merupakan negara yang terkenal dengan sikap toleransi merentasi bangsa. Pasca era kolonial, ketika negara serantau lain memperkenalkan satu identiti negara dengan satu bahasa, satu sistem pendidikan dan satu budaya, Malaysia mengambil jalan tengah dengan mengiktiraf kepelbagaian bangsa, menerima bangsa lain sebagai warga Malaysia, malah memelihara bahasa dan melindungi sistem pendidikan masing-masing. Walaupun ia bukanlah sistem yang sempurna, rakyat Malaysia mampu menerima perbezaan dan hidup bersama. Di arena antarabangsa Malaysia juga memainkan peranannya dalam mempertahankan hak asasi manusia. Ketika konflik Balkan pada tahun 1992, Malaysia adalah antara negara yang aktif membantu di bawah naungan PBB. Malah Malaysia dengan berani mengumumkan akan menghantar bantuan ketenteraan apabila krisis memuncak di mana bangsa Bosnia dibunuh dengan kejam oleh bangsa Serbia. Bahkan sehingga hari ini jasa Malaysia diperingati di Bosnia dengan penubuhan Masjid Malaysia di Nova Breka, Sarajevo. Dalam hubungan serantau juga, Malaysia memainkan peranan aktif, antaranya dengan menjadi broker keamanan bagi menyelesaikan konflik bersenjata di Mindanao, Filipina dengan menggalakkan perjanjian keamanan ‘Bangsamoro’. Begitu juga komitmen Malaysia membantu krisis kemanusiaan di Palestin, Syria dan lain-lain negara.
Kita mempunyai sejarah kemanusiaan yang harum, maka kini kita dipersimpangan. Adakah kita akan meneruskan sejarah harum kemanusiaan kita yang penuh dengan persahabatan dan kasih sayang atau kita akan mengotori sejarah kita dengan titik-titik hitam yang penuh dengan kecurigaan, prasangka, dan prejudis.
Asal Nya Rohingya Memang Pelarian Perang. Mereka ditempatkan di Kem Pelarian di sempadan Myanmar Bangladesh. Sepatutnya mereka tinggal di Kem Pelarian, bukan lari ke negara lain seperti Malaysia.
Mereka bukannya Disiksa di Kem, Kenapa Harus Mereka Melarikan Diri ?? Di Kem mereka diberikan perlindungan, tempat tinggal dan keperluan lain. Kenapa lari dan datang ke Malaysia?
Sekarang Mereka Yang Datang Ke Malaysia Bukan Mangsa Perang,Tetapi Pendatang Tanpa Izin (Pati) Maka Wajiblah Lah Rohingya Di Usir Dari Malaysia Bersama Pendatang Tanpa Izin Dari Negara Lain.
Penceroboh negara mesti dihalau!
Kalau nk terima kapal PATI Rohingya atas dasar kasihan & agama, maka terimalah semua PATI Indonesia, Bangladesh DLL atas dasar agama. Barulah adil.
Rohingya memang busuk. tak payah nak back up. pergi mampus Haluan