Oleh: Syed Ahmad Fathi
Baru-baru ini ada perbincangan hangat di forum rahsia di Facebook “GE-Global” perihal peta-peta lama nusantara. Saudara Lo Yue Chen (bukan nama sebenar) mempersoalkan bilakah ada sejarah bertulis perihal tanah melayu atau “malay archipelago”, saya terus teringat akan buku The Malay Archipelago tulisan Alfred Russel Wallace yang diterbitkan pada 1869. Saya berikan link kepada buku tersebut di dalam perbincangan tersebut. Ia terus di kritik saudara Kirby Sow (bukan nama sebenar) yang mengatakan terma tersebut merupakan ciptaan British. Buku Wallace tentulah bukan pertama kali terma itu digunakan, dan saya sedar dalam forum tersebut apa yang penting adalah perlawanan naratif, namun saya tidak berminat berlawan pada hari tersebut, saya tinggalkan sedikit sarcasm sebelum beredar. Namun tulisan kali ini bukan untuk membincangkan isu sensitif seperti perlawanan naratif, tetapi kepada sosok yang saya kira sangat menarik, iaitu Alfred Russel Wallace.
Apabila membicarakan perihal teori evolusi, nama pertama yang akan keluar di minda kita adalah Charles Darwin. Nama Wallace seolah tenggelam, walaupun beliau berperanan penting dalam penemuan teori ini. Teori evolusi versi Darwin sangat popular sehingga sering digelar Darwinism, ia menjadi seolah ideologi yang tidak boleh dicabar, pernah saya berdiskusi dengan seorang pseudo-intelektual, apabila saya membawa naratif evolusi yang sedikit berbeza, beliau terus melompat, katanya “teori evolusi tak disanggah lagi sampai sekarang. Bahkan seluruh biologi hari ini dibina atas teori itu. Khalas”. Sekali lagi, terus saya mengangkat kaki dari diskusi tersebut.
Menurut Natural History Museum, pada satu hari pada tahun 1858, ketika sedang demam dan berehat di dalam khemahnya di Pulau Ternate, Indonesia, Wallace mendapat idea tentang bagaimana spesis berevolusi, mereka berubah kerana yang paling kuat survival dapat bertahan dan membiak, menurunkan genetik yang mempunyai kelebihan kepada generasi seterusnya. Wallace segera mengutus surat kepada seseorang yang dia tahu berminat akan teori tersebut, iaitu Charles Darwin. Darwin telah cuba membangunkan teori tersebut selama 20 tahun, tetapi belum menerbitkan hasil kerja beliau. Darwin mendapatkan nasihat kawannya yang menyarankan bahawa idea kedua-dua tokoh ini dibentangkan dalam pertemuan di Linnean Society. Magnum opus Darwin, The Origin of Species terbit setahun selepas itu. Dan sejak itu, nama Darwin menenggelamkan nama Wallace, dan hanya nama Darwin dikaitkan dengan teori evolusi dengan pemilihan semulajadi.
Namun Wallace seorang yang sangat kuat spiritualnya, beliau percaya natural selection (pemilihan semulajadi) tidak dapat menjelaskan kemunculan intelek manusia, beliau merupakan naturalist yang bermazhab dengan mazhab intelligent evolution. Sepanjang hayatnya Wallace mengumpulkan hampir 100,000 specimen biologi dari Amazon hinggalah ke kepulauan nusantara dan dianggap sebagai antara naturalis yang tersohor pada kurun ke-19. Bagi Wallace, evolusi merupakan proses yang mempunyai penyusunan, bukan rawak. Perbezaan ini tidak disenangi Darwin walaupun mereka terus kekal bersahabat. Berbeza dengan penulisan sains popular hari ini, seperti buku yang ditulis Yuval Noah Harari yang mengatakan pembentukan organ tidak mempunyai tujuan, Wallace percaya bahawa pembentukan kehidupan ini mempunyai rekaan dan mempunyai tujuan, dan Wallace sampai kepada kesimpulan ini berdasarkan kefahaman sains beliau, bukan dogma agama.
Masalah utama yang dibawakan Wallace pada teori evolusi dari pemilihan semulajadi yang dianggap rawak dan berdasarkan survival adalah banyak sifat manusia yang langsung tidak punya ciri survival. Intelek manusia misalnya, kecintaan mereka kepada kesenian dan lukisan atau sifat altruism manusia, semuanya tidak memberikan manusia kelebihan untuk survival, oleh itu beliau berfikir, pasti ada penjelasan yang menjangkaui proses rawak tersebut.