Berakhirnya Sejarah (Siri 3)

Share this post on:

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Berakhirnya Sejarah (Siri 1)
Berakhirnya Sejarah (Siri 2)

Dalam siri ketiga ini kita masih membincangkan perihal kitab The End of History and The Last Man karangan Francis Fukuyama.

Persoalan sama ada ekonomi yang baik bergantung kepada sistem politik yang bebas atau demokratik merupakan tema kajian yang telah lama wujud dalam bidang politik-ekonomi. Acemoglu dan Robinson dalam buku mereka Why Nations Fail membincangkan perkaitan ini, dimana mereka membawakan thesis pembangunan ekonomi bergantung kepada sistem politik yang terbuka dan demokratik. Tetapi ada sebahagian ahli ekonomi yang menolak thesis ini, antaranya Ha-Joon Chang dalam bukunya 23 Things they Don’t Tell You About Capitalism, Chang memberi contoh bagaimana General Park Chung-hee menggunakan pemerintahan diktatornya untuk memodenkan Korea Selatan hingga menjadi salah satu dari Harimau Asia.

Fukuyama dalam bukunya juga membicarakan bagaimana demokrasi kadangkala menjadi penghalang kepada polisi progresif ekonomi. Beliau memberi contoh kegagalan mereformasikan pemilikan tanah di Filipina oleh Aquino selepas jatuhnya pemerintahan diktator Marcos. Hal ini kerana polisi ini akan merugikan ahli-ahli legislatif yang memiliki tanah yang banyak. Dalam hal ini Fukuyama menyatakan pemerintahan diktator lebih baik kerana ia boleh memaksa perubahan progresif ini dan membantu memodenkan masyarakat seperti yang dilaksanakan Amerika ketika mereka menjajah Jepun dan melaksanakan reformasi pemilikan tanah. Jika diktator menggunakan kuasanya untuk melaksanakan hal ini, bagi Fukuyama, tidak ada sebab untuk menganggap ia sebagai polisi yang tidak baik untuk ekonomi moden.

Jika hanya ekonomi yang menjadi ukuran, Fukuyama menyatakan bahawa model politik yang paling sesuai adalah adalah gabungan antara ekonomi yang liberal dan politik yang authoritarian, model ini digelar “bureaucratic authoritarian state” atau “market oriented-authoritarianism”. Terdapat banyak data-data yang membuktikan kejayaan sistem ini dalam memacu ekonomi seperti German dibawah pemerintahan Imperial, Jepun dibawah Meiji dan banyak lagi. Pada era 60-an sebagai contoh, negara demokratik seperti India berkembang sebanyat 2.1 peratus, manakala negara dengan pemerintahan diktator seperti Korea Selatan berkembang sebanyak 5.2 peratus.

Sebab mengapa ini berlaku adalah sangat mudah. Negara-negara demokratik perlu membuat keputusan ekonomi dengan mengambil kira tekanan politik dari pengundi yang sentiasa mahu melindungi ekonomi jangka pendek mereka walaupun ia tidak baik untuk jangka masa panjang. Dalam masa yang sama, kerajaan diktator boleh memaksa pelan ekonomi jangka masa panjang tanpa perlu takut akan tekanan politik, dalam kata lain rakyat terpaksa menanggung kesukaran jangka pendek untuk kelestarian polisi jangka masa panjang.

Contoh paling dekat dengan kita mungkin adalah perlaksanaan cukai GST, walaupun ia digunakan oleh hampir majoriti negara didunia, GST akhirnya dikalahkan di Malaysia. Ia mungkin mempunyai kesan buruk jangka pendek seperti kenaikan harga barang secara tiba-tiba, sistem peringkat awal yang mengelirukan, dan lain-lain. Tetapi dalam jangka masa panjang negara akan mempunyai dana yang cukup untuk menanggung belanja manfaat sosial rakyat, perkembangan sistem kesihatan dan pendidikan, juga dana pembangunan. Polisi-polisi baik tetapi tidak popular ini mudah dikalahkan dengan pilihanraya. Tetapi China sebagai contoh, dapat memaksa polisi dengan mudah, polisi satu anak sebagai contoh, merupakan sebahagian polisi China dalam membangun ekonomi, walaupun ia mempunyai banyak kelemahan dari segi harga kemanusiaan yang perlu dibayar, sepertimana yang dibincangkan dan dikritik hebat oleh Mei Fong dalam bukunya One Child: The Story of China’s Most Radical Experiment, polisi ini berjaya dilaksanakan dan China mengubah nasib 850 juta rakyatnya yang sebelum ini hidup dalam kemiskinan.

Membicarakan perkara seperti ini mungkin akan menyebabkan rasa tidak selesa. Kita mudah dilabel tidak demokratik atau pencinta diktator. Tetapi dengan tidak membicarakannya kita akan menjadi tidak jujur, kita akan gagal melihat sudut kelemahan pemerintahan yang ada, kita akan gagal memahami limitasi sistem pemerintahan yang kita pilih. Dan apabila kita gagal memahami, kita akan gagal mencari solusi yang betul, atau lebih buruk, kita akan melaksanakan polisi yang salah yang membawa lebih banyak kerosakan.

Author: Borneo Komrad

Membangun gerakan anak muda dan mahasiswa yang mandiri dan pro kepada rakyat kelas bawah.

View all posts by Borneo Komrad >

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *