Oleh: Farahani R.

Suatu kebetulan pada malam Borneo Komrad berhasrat mengadakan pembentangan tertutup untuk sesiapa yang berminat untuk mengetahui gerak kerja dan operasi mereka, saya baru sahaja balik dari berkelana ke Pitas, Sabah. Saya tidak sekejap mengenali Borneo Komrad; saya membesar menjadi dewasa hari ini sambil memerhati kembang-besarnya kolektif yang asalnya terlahir dari Blok Seni, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan.

Pada malam itu, saya melihat api bekerja. Saya melihat 6 anak muda dan mudi, yakin dan penuh semangat. Semangat api yang bekerja, tidak mudah padam selagi ada kayunya. Pembentangan pertama dikepalai oleh Mukmin Nantang, dari namanya disebut ketika dia berambut panjang dan dihalang memasuki Parlimen Belia sehinggalah terpapar di kaca televisyen. Mungkin satu-satunya kesal saya terkait Mukmin adalah usai dia berkongsi idealismenya di sebuah program bual bicara nasional, hosnya bercanda “wah, nampak marah ya”. Dalam lagak cuba bergurau, ia juga boleh dibaca sebagai suatu perlecehan tidak sedar. Itu bukan marah, itulah dia semangat membara. Saya tidak hairan; media sudahpun disimpulkan Noam Chomsky sebagai alat status quo, maka hos program itu juga harus berperanan sebagai mulut status quo jua.

Dalam sesi pengenalan terhadap Borneo Komrad, saya kira tunas lidahnya sendiri sudah menghafal skrip pembentangannya. Saya membayangkan inilah mukadimah yang tertuntut apabila dia dipanggil berbicara dalam webinar. Lebih tertarik fikir saya itu pada sesi pembentangannya adalah apabila dia memperkenalkan idea neo-kolektif. Neo-kolektif ini bagi saya, suatu idea yang pragmatik dan berani dalam kalangan aktivis. Ia mengingatkan saya pada cernaan pengalaman Raja Ahmad Aminullah mengenai kesetiaan pada idea. Ketika segelintir radikalis menolak dunia untuk terjun ke dalam lurah sub-kultur, neo-kolektif mengajak perhatian dan galak dijadikan sebagai contoh budaya aktivis mandiri.

Kemudian tanpa berlengah, sesi kedua berlangsung. Sabir Syarifuddin merupakan nama yang saya sudah biasa dengar, dan kedudukannya sebagai Presiden KARMA memberi kredibiliti besar untuk saya memahami cabaran KARMA. Di universiti, KARMA adalah sebuah kelab yang sangat aktif dan mungkin, berjasa besar membuatkan Blok Sains Sosial dalam payung Fakulti dulu cemburu kerana memecah sunyi dan menarik hadirnya gerombolan siswa Sains Sosial setia di sana. Sepengalaman saya memerhatikan KARMA, sirkulasi zine mereka agak menarik dan sudah menumbuk lembut ke dalam hati-hati pembacanya. Sempat saya berjual di sisi seorang komrad, Rosyaidi pada 2018 – saya dengan buku saya, dia (dengan kawannya lagi satu) membawa zine-zine tulisan KARMA. Pada 2017 juga atas jemputan Mukmin, saya dijemput menjadi panel forum Bicara Orang Muda. Itu kali pertama saya berada di pentas wajah hadirin dari berbagai fakulti, sanggup turun memenuhi bilik KARMA tepat jam 8 malam. Menulis tentang KARMA bagai menulis memori sendiri. Begitu dekatnya KARMA dalam hati saya, dan berharap ia berdiri terus, kalau boleh, mencari identitinya sendiri agar tidak terlalu tenggelam dalam perlawanan. Pernah sekali terdetik di hati saya sewaktu masih bergelar siswi di peringkat prasiswazah: KARMA tampak ekslusif. Pada waktu itu, Blok Sains Sosial, meskipun namanya gah itu; sebenarnya kaku dan terlewat. Ruangan menonjolkan diri (di Blok Sains Sosial) dilihat cuma dua arah – politik kampus ataupun selalu suka menjawab dalam kuliah terbuka. KARMA boleh membuka arah baharu untuk menonjolkan ‘kucing-kucing’ segan macam saya.

Masuk ke sesi ketiga, Presiden Suara Mahasiswa Izzat Dahelan memulakan pembentangannya. Saya bangga menyaksikan kebangkitan Suara Mahasiswa yang pertama, mengimbau beberapa nama yang saya kenali dahulu. Berbaju Melayu hitam segak; saya boleh katakan rata-rata majoriti rakan sekursus pengajian saya berkempen untuk mereka. Kebangkitan Suara Mahasiswa turut memberdayakan suara mahasiswa yang terkunci dek birokrasi dan ugutan halus oleh pihak pengurusan, baik dari peringkat pengurusan yang dikepalai siswa mahupun pegawai pentadbiran. Mengenai hal politik kampus, saya rasa hal itu bukan di dalam kepakaran ataupun celah pemerhatian saya. Namun apa yang mampu saya katakan adalah Suara Mahasiswa berjaya mengundang reaksi. Bertemakan idealisme Usman Awang, Soe Hok Gie dan Pramoedya Ananta Toer; ini adalah ideologi perlawanan pemikiran, penolakan untuk melutut ke bawah kekuasaan yang berat sebelah. Menurut Izzat, ideologi ini boleh dimalar-segarkan dengan idealisme yang dibawa. Saya mengamati kekuatan (dan kelemahan) Suara Mahasiswa, antaranya adalah kekukuhan, keakraban dan keluasan jaringan Suara Mahasiswa itu dengan kesatuan mahasiswa dari universiti lain, para aktivis serta personel media. Secara tidak langsung, kekuatan ini mampu menekan pentadbiran ‘with considerable strength’. Suara Mahasiswa tetap menarik segelintir yang tergerak pada radikalisme dan aktivisme. Daripada segelintir itu, kadangkala terjumpa pula kelompok yang suka melawan kerana melawan. Kelompok yang ini, dikhuatiri mampu menyumbang kepada mob mentality dan serangan buli siber ke atas siswa dari proksi lain sekiranya ada perbalahan berkenaan kebajikan mahasiswa. Akhirnya, perkara ini membenih sifat melawan tanpa sebab dalam segelintir siswa dan siswi. Mungkin pendekatan ‘keras’ dan ‘tegas’ ini harus ditegakkan lebih lurus, dengan sebolehnya mengekang sekiranya ada penyokong (aktif dan pasif) cuba bertindak luar batas dari politik sihat.

Sesi keempat membawakan persoalan pendidikan alternatif bersama Cikgu Azwan, dan antara perjuangan utama Borneo Komrad. Sebelum idea pendidikan sekolah alternatif ini mendapat perhatian ramai, ada sebuah sekolah jalanan yang cuba dibuka oleh siswa Sains Sosial yang meletakkan sasarnya pada kanak-kanak tanpa negara di Pasar Filipina. Naim Fahmi, pengasas dan antara siswa melawan yang ternama dalam tahun pengajian saya. Dikenal dengan gelar Naim Marxist dek penyebaran zine berwarna merahnya tentang pengenalan terhadap idea Marx, sekurangnya idea pendidikan alternatif tidak lagi asing untuk saya. Ditakdirkan juga ketika itu, Zulfikri Zamir dan Dr. Maszlee menapak naik dengan idea sekolah alternatif ini. Penangan zeitgeist ini terkena juga kepada saya, apabila saya bersama dua lagi rakan saya dari jurusan Antropologi dan Sosiologi membawakan tajuk kanak-kanak tanpa negara untuk dibentang dalam kelas Bahasa Inggeris. Tiada siapa pernah mendengar isu ini, malah isu ini amatlah baharu dalam sejarah kelas bahasa Inggeris di universiti ketika itu. Beberapa tahun kemudian, pendidikan alternatif sudah lazim diasosiasikan dengan Borneo Komrad. Bila kita menyentuh isu kanak-kanak tanpa negara, kita turut memaksa ia dinilai merentasi persoalan kemanusiaan yang lain seperti hak kewarganegaraan, kebajikan dan keadilan serta hak untuk mendapatkan akses pendidikan. Malang sekali isu ini, di mata kerajaan, adalah isu yang boleh diketepikan untuk diuruskan oleh NGO. Saya membayangkan neraca Foucaltian: Borneo Komrad dibenarkan hidup selagimana anak-anak tanpa negara ini boleh ditoleransikan oleh struktur kuasa yang mengemudi kerajaan hari ini.

Untuk sesi kelima pula yang diterajui Achmad Fathkur, pengamatan saya disajikan dengan hasil dapatan untuk mengetahui persepsi awam mengenai Borneo Komrad. Memandangkan saya tidak mempunyai salinan laporan tersebut, maka saya gagal mengulas soal sejauh mana relevannya Borneo Komrad di hati orang awam. Apa yang dapat saya perhatikan pula, soal selidik ini tetap membuktikan bahawa Borneo Komrad memiliki audiensnya tersendiri. Persona Borneo Komrad yang jelas, personaliti Mukmin dan pengaruh komrad lain, serta hasrat idealisme pendidikan untuk anak-anak tanpa negara memetik bunga simpati di taman nurani manusiawi. Saya percaya Borneo Komrad juga ada pembencinya, seperti kelompok nasionalis Sabah yang bertebaran berani membenci ‘pilak’ hanya di belakang kaum yang dibenci mereka semata-mata. Berhadapan dengan ‘pilak’, bermanis atau cuma mengiring setiap bekas tapak kaki mereka dengan lirikan sinis.

Manakala untuk sesi keenam, Wan Syakila membentangkan laporan gerak kerja dan kewangan Borneo Komrad. Sekali lagi, saya tidak mempunyai laporan tersebut dan tidak pula merasakan ia suatu hal yang patut diulas lanjut lagi-lagi oleh seorang penulis yang selalu gagal matematik. Walaupun saya tidak berapa faham dan fasih bertutur bahasa matematikal; saya mengerti bahawa Borneo Komrad mempunyai banyak inisiatif untuk membina kolektif yang mandiri khususnya dari segi kewangan. Kewangan merupakan sisi yang mungkin tidak senang diperkatakan oleh golongan aktivis, takut dijadikan hamba kapitalis apabila sudah mendekat takat akhir kemampuan tenaga sukarelawan. Kudos kepada usaha abang dan kakak jagoan yang mampu menarik sumber dana dan derma daripada orang ramai, ditambah lagi dengan usaha-usaha memulakan perniagaan termasuklah perancangan membuka agensi pelancongan. Walaupun saya masih optimis dengan masa depan sektor pelancongan pascapandemik ini, ada juga alternatif lain berkenaan pelancongan yang lebih murah dan ‘scalable’ iaitu pelancongan maya. Salah satu laman sesawang yang menawarkan maklumat dan perkhidmatan ini adalah MyXVp. Ia sekadar idea tambahan, sekiranya Borneo Komrad serius ingin mengorak ruang inisiatif baharu untuk mandiri dan peluang menjana pendapatan tambahan kepada para pembaca yang berminat.

Komentari ini saya harus sudahi dengan pujian sekali lagi, memberikan hidup baharu kepada komuniti terpinggir yang dilupakan orang dan memberi saya kesempatan untuk meneliti perspektif Borneo Komrad dan prinsip-prinsip berani yang terus dimajukan ke generasi lain. Sesungguhnya generasi kepimpinan pada hari ini sudah berdiri lebih tinggi kerana kaki mereka meminjam bahu kalian pada hari kelmarin. Begitulah sebaiknya kita mencipta kebaikan setiap hari, agar dunia sekurangnya kurang sakit untuk orang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *