Oleh: Mukmin Nantang
“Terpaksa pilih hitam untuk hidup!”
Sinopsis
Kompek Hitam merupakan sebuah adaptasi realiti kehidupan yang berlaku kepada masyarakat sekitar Daerah Tawau Sabah. Daerah Tawau terkenal dengan berbilang etnik yang berasal dari Negara Indonesia dan Filipina. Kisah ini menceritakan tentang sebuah keluarga yang melarat kemiskinan. Acok merupakan seorang anak muda yang terpaksa menyara ibu dan adik perempuan setelah kematian bapanya. Ibu Acok sering saja sakit setelah kematian bapanya. Adiknya pula sedang belajar di peringkat SPM. Acok menghadap masalah sukar mendapat pekerjaan kerana dia tidak mempunyai kad identiti sebagai warga Negara Malaysia. Liku-liku keperitan perjalanan kehidupan Acok sehingga terjerumus ke lembah hitam sebagai seorang penjual rokok seludup di jalanan.
Prolog
Lampu dibuka dengan malap di tengah pentas. Kedengar bunyi siren polis. Kelihatan seorang lelaki dikejar oleh dua orang anggota polis. Lelaki tersebut menjerit-jerit “lari! lari! lari! polis! Semua penjual rokok lari daripada kawasan jual rokok.
Acok: Ini cerita tentang perjalanan kehidupan yang tiada seorang pun mahu mengerti. Siapa kisah bila kita dalam susah dan siapa pula peduli walau kita hampir mati. Orang-orang sedang riang dengan kehidupan yang bersenang-senang tanpa sedikit pun memikirkan nasib orang-orang malang. Betulkah tiada orang peduli? Atau kita lupa bahawasanya ujian tuhan terhadap orang lain lebih besar dari kita. Kita melakar kehidupan dengan warna-warna berbeza, ada yang merampas, ada yang meminta dan ada pula yang berserah. Lari, lari, lari, begitulah sifat manusia sering lari dari realiti. Namun bukankah hidup satu pilihan? Iya keterdesakan mendesak kita memilih jalan yang salah. Namun, bukankah hidup satu pilihan.
Babak 1
(Acok dan Paman datang menaiki sebuah motorsikal dengan membawa dua kompek hitam di tangan)
Acok: Apa ni Paman?
Paman: (Mengeluarkan berbungkus-bungkus rokok dari dalam plastik hitam)
Acok: Astaghfirullah Paman. Rokok? mau buat apa dengan rokok ni Paman…
Paman: Kau tenang saja Cok, kau jangan takut dulu bah, nanti aku cerita pelan-pelan. Nah ini untuk kau (Paman memberi plastik hitam kepada Acok).
Acok: Aku mahu buat apa dengan rokok ni Paman, aku ni bukan hisap rokok.
Paman: Ndak hisap rokok? Hahaha. Suci. Eh Cok nanti kau lama di sini kau hisaplah. Hahaha. Begini Cok, rokok ni bukan untuk kau hisap, tapi sebagai barang bisnes kau.
Acok: Bisnes? Bisnes apa pulak Paman.
(Neng dan Otok masuk ke pentas)
Neng/Otok: Paman.
Paman: Ya.
Neng: Awal sampai Paman.
Paman: Biasa orang tua.
(Neng dan Otok hanya senyum)
Paman: Kau tengok tu, bukan kau saja yang hidup susah, kita ada ramai kawan di sini. Kau dengar sini Cok, orang macam kita Cok ini kerja paling suci, kau ndakda pilihan. Kau ni sudahlah ndakda IC, orang mana mahu ambil kau kerja?
Acok: Tapi Paman aku masih boleh usaha buat benda yang bagus-bagus. Banyak lagi benda kita boleh buat Paman…
Paman: Sudah Cok, kau jangan ceramah aku. Aku orang lama Cok di sini. Kau dengar sahaja cakap aku Cok. Rokok Suria ni kau jual lima ringgit, Premium empat ringgit, L.A lima ringit, Astro tiga setengah sama dengan rokok Era ni. Lepas kau jual semua ni, nanti tu duit tu kau boleh putar modal untuk menjual lagi.
(Puding masuk ke dalam pentas)
Acok: Paman lamakah sudah menjual ni?
Paman: Dari putih kulitku sampai jadi macam sekarang. Hitam manis. Kenapa?
Acok: Risau aku Paman. Ndak bahayakah jual ni Paman? Matilah aku kalau kena tangkap, siapa yang mau kasi makan mamak dengan adikku.
Paman: Jadi sekarang kau mau biarkan dorang tu mati sebab kelaparan? Hei Cok, sekurang-kurangnya duit jual rokok ni kau boleh isi perutmu dan keluargamu.
Acok: Ya Allah… Paman ndakkan aku mahu kasi makan mamak sama adikku duit haram…
(Neng, Otok dan Puding memandang ke arah Acok)
Paman: Haram?… Oh jadi kau anggap kerja kami selama ni kerja haramlah? Hei kau dengar sini, sekurang-kurangnya kita ni ndak rampas hak orang lain! Walau kita mati sekali pun. Bukan macam orang-orang besar di luar sana tu. Sudahlah, kau ndak payah banyak cakap. Pandai-pandailah kau fikir sama ada mau teruskan dengan ego dan lihat keluarga kau mati kelaparan…
Acok: Janganlah cakap begitu Paman. Aku bukannya apa, aku sudah cukup terancam di sini. Apa-apa pun aku mesti berani juga. Kalau begitu macam mana aku mahu jual ni? lagi satu, penjual lain ndak rasakah aku ni menganggu periuk nasi dorang?
Paman: Bagus. Soalan yang bagus, ingat Acok disini juga ada peraturan kau jangan sembarangan. Kalau mau menjual siang kau ndak boleh menjual malam, kita mesti tukar-tukar. Semua orang mahu carik makan. Begitu juga dengan pelanggan jangan berebut dengan penjual lain. Kita mesti berganti-ganti.
Acok: Ooo begitu, bah yalah Paman. Tengoklah dulu macam mana, aku cuba ikut jugak tu ikut cakap Paman. Paman, siapa tu?
Paman: Ooo itu. Cewek tu si Neng Jawa. Lelaki tu si Otok. Neng menjual siang, Otok malam. Di hujung tuu si Puding. Orang bugis macam kau. Nanti kau tegur-tegurlah dorang.
Acok: Dorang dua tu becewekkah?
Paman: Kenapa?
Acok: Ndakdalah.
Paman: Dorang tu memang dari dulu rapat.
Acok: Oh yakah. Bah yala Paman.
(Neng dan Otok memerhatikan Paman dan Acok dari jauh)