Oleh: Mohd Syafie Mustan

Secara umumnya, Teori Putaran Ganas Kemiskinan adalah satu keadaan di mana apabila sesuatu masyarakat itu hidup dalam keadaan miskin, bermula dari orang tua mereka lalu kemudiannya kemiskinan tersebut akan diwarisi kepada anak-anaknya.

Dalam hal ini, terdapat dua keberangkalian yang terjadi :

Pertama : Anak-anaknya sedar tentang kemiskinan yang diwarisinya lalu berusaha untuk mengubah nasib kehidupan dengan keluar dari belenggu kemiskinan tersebut.

Kedua : Anak-anak tidak memahami konsep Putaran Kemiskinan ini lalu kemiskinan tersebut akan di warisinya dengan mengekalkan cara hidup keluarganya yang lama.

Mendalami hal ini, terdapat beberapa perkara yang harus kita amati. Tentunya, setiap manusia menafsirkan kemiskinan itu secara berbeza-beza mengikut apa yang dinilainya. Secara realiti, manusia menilai kemiskinan melalui mata wang dan materialistik sehingga ada yang mengetepikan konsep budaya dan kepercayaan.

Dalam kes-kes yang berlaku di Sabah, ada yang menyatakan orang yang tinggal di kawasan hutan itu miskin sedangkan mereka di sana berasa cukup kerana hidup dengan hasil hutan.

Ada yang menyatakan orang-orang di laut itu miskin kerana tinggal di atas perahu namun mereka berasa nyaman kerana boleh menikmati hasil laut.

Lalu muncullah individu atau kumpulan-kumpulan manusia yang merasa cukup dan berkemampuan untuk masuk ke dalam kumpulan masyarakat yang mereka anggap miskin ini untuk membantu lalu cuba untuk mengubah kebudayaan mahupun kepercayaan mereka mengikut apa yang kumpulan ini percaya. Ada juga yang cuba mengambil kesempatan bermodalkan bungkusan-bungkusan makanan untuk mempertontonkan kerja mulia di laman-laman sosial. Dalam hal ini, telah timbul sifat mengeksploitasi secara langsung dan tidak langsung kerana mengambil kesempatan, merebut dan menggugat kehidupan manusia lain tanpa mengira akar daripada bantuan dan perubahan yang harus diberikan.

Persoalan yang seharusnya diangkat adalah,

“Siapakah yang bertanggungjawab ke atas permasalahan ini ?”

Melalui konsep bernegara dan persempadanan pada hari ini, tentunya tanggungjawab sepenuhnya akan dipikul oleh pihak yang memerintah atau disebut sebagai Kerajaan.

Melihat kepada ketidakfungsian pihak Kerajaan dalam menguruskan Manusia Tanpa Negara ini, muncullah beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO). Hal yang lebih menarik adalah, bagaimana NGO-NGO ini mampu mendalami masyarakat tersebut dengan lebih berakar dan membina modul-modul pembangunan yang akan digunakan.

Sebagai contoh terdekat, Borneo Komrad telah membina Sekolah Alternatif dengan tema “Pendidikan Alat Perubahan Bangsa”. Dalam hal ini, jelas dapat dilihat bahawa Pendidikan adalah perkara utama yang harus diberikan kepada anak-anak tanpa negara ini. Melalui modul pendidikan yang diajarkan, anak-anak kemudiannya diharapkan dapat berfikir dan menentukan masa depan mereka sendiri ke arah masa depan yang lebih baik.

Namun, masalah ini bukanlah semudah menterbalikkan tapak tangan. Pihak Kerajaan Sabah khususnya dan Kerajan Persekutuan Malaysia secara amnya harus bertanggungjawab dalam memikirkan masalah ini. Membiarkan masalah ini terus berlanjutan akan membina “Bom Jangka” dengan tempoh masa yang lebih lama dan berpanjangan. Sebuah solusi harus diberikan kepada Manusia Tanpa Negara samaada dari segi Dokumentasi, Pendidikan mahupun Penempatan bagi mereka meneruskan kehidupan melalui budaya dan kepercayaan yang mereka jalani.

Semoga desakan-desakan terus dilakukan untuk membangunkan manusia-manusia “Tidur” di dalam pemerintahan Kerajaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *