Oleh: Aakmal Yusop

“Ronald, laju kamu!” Macy hampir muntah.

Jalan sepanjang Kalabakan adalah penuh dengan lubang-lubang, batu kelikir yang terdedah dari tar yang terhakis, serta lubang-lubang dari tar yang terkupas. Gegaran kereta yang berterusan membuatkan Macy muntah.

“Aih, jangan kena bapa kita kak!” Ronald terloncat dari kerusi pemandunya, menembungkan kepala dengan siling kereta. “Aduh!”

Bapa mereka, Encik Wallace, terkujur layu sambil dadanya ditekan beberapa kali oleh Darius. Teresak-esak, dia mempraktikkan ilmunya dari Bulan Sabit Malaysia. Tekan-tekan tengah dada, hembus nafas ke dalam mulut Wallace. Tekan, hembus, tekan, hembus.

Macy mengkumurkan mulutnya lalu meludah keluar kereta. “Sudah dulu Darius, kakak lagi!” Proses itu diteruskan. Macy sendiri sesak nafas kerana membongkok dengan perut yang besar tidaklah membawa banyak oksigen ke dalam badan.

Darius masih menangis. Dia hanya dapat menyalahkan tindakan dirinya pagi tadi.

Encik Wallace sedang berbincang dengan mandurnya. Pokok kelapa sawit lama sudah ditarah, dan yang baru sedang ditanam kuli-kuli dari Indonesia. “Kamu nda payah risau pasal itu EU, masih ada China, Afrika, sama Amerika Selatan masih mau itu kelapa sawit. Nanti kalau kita nda buat, siapa mau beli?”

“Tapi bos, bagus juga kita ternak sapi kah rusa di samping-samping itu. Kalau jatuh lagi harga, nda sengsara mau menunggu sawit naik balik. Dapat juga side income.”

Encik Wallace terasa lawak. Dunia nyata bukan seperti dalam game, kalau mahu ladang lembu, ketik butang tetikus dan letak di tanah sudah selesai. “Kamu ini, banyak lah idea buduhmu. Mana kita mau cari lembu sama makanan dia? Kau mau kasi makan biji kelapa sawit kah?”

Pegawai itu tergamam. “Boleh, oilpalm cakes dengan…”

“Ah, ah, ahahahahaahah!!!” Ketawa Wallace tidak tertahan lagi. “Kamu ini, ada-ada saja. Buat paperwork, nanti minggu depan kita cerita!”

Pegawai itu menggelengkan kepala lalu beredar pergi. Wallace masih menggelengkan kepalanya sambil terkekeh-kekeh. Darius menawarkan Wallace sedikit kek. Wallace mengambilnya tanpa melihatnya. “Mmm, sedap! Kamu guna apa?”

Darius tersenyum. “Saya guna durian merah.”

Rahang Wallace terbuka lebar. “Apa? Bapa alergik…” Wallace terhenti, mukanya kembung, nafasnya sesak, lututnya jatuh ke tanah. Ronald dan Macy berteriak lalu cuba menelefon ambulans.

“Tiada signal! Astagha, Darius, bawa sini kunci kereta di pejabat!”

Darius kaku. Dia cuba menggerakkan kakinya, ia sekeras konkrit. Ronald menampar Darius. “Darius, bangun! Kamu yang tau mana bapa taruk kuncinya! Kita bawa dia pigi ospital!”

Darius mula menangis, lalu memecut ke arah pejabat. Hidung Darius kembang kuncup, hingus dari tangisan gugur ke tanah. Darius mengambil kuncinya lalu berlari semula. Apabila sampai, dia terus membaling kunci ke arah Ronald. Ronald memulakan keretanya, dan Macy sendiri mengangkat Wallace ke dalam kereta.

Lamunan Darius terhenti apabila Macy menampar belakangnya. “Kamu lagi, semput aku!”

Ronald memperlahankan kenderaan dia.

“Kenapa itu?”

“Ada roadblock.”

Beberapa ahli tentera simpanan sedang menahan kereta-kereta yang melalui jalan itu. Mereka mahukan kad pengenalan untuk diperiksa.

Macy mengurut-urut dadanya. “Aduh! Di sini juga diurang buat post!”

Ronald menahan nafasnya sedikit, mengelak dari nafasnya menjadi tidak terkawal. Kereta itu akhirnya sampai ke tepi pos pengawal. “Petang bos, boleh tunjuk IC?”

“Sorry bos, sia mau bawa bapa pigi ospital ini.”

Tentera itu menunjuk ke arah papan tanda ‘pemeriksaan tentera.’ “Kijap saja ini.”

Ronald melepaskan nafas dengan perlahan. “Nah.” Kad pengenalan biru tertulis ‘Ronald bin Wallace’.

Tentera itu membawa kad pengenalan itu ke pondok. Ronald hanya dapat melihat orang menggerak-gerakkan kertas. Seminit kemudian, tentera itu memberi kadnya semula. “OK, boleh jalan. Selamat.”

Ronald mengangguk. Beberapa minit kemudian, dia melihat ke cermin pandang belakang. Macy sedang meniupkan nafasnya ke dalam paru-paru ayahnya.

“Masih nda bernafas lagi?”

“Iya, tapi jantungnya berdenyut sudah.”

Apabila mereka sampai ke pintu gerbang Bandar Kunak, Macy tidak lagi memberi bantuan pernafasan. Darius sudah kering air matanya.

Hospital Keningau tidaklah segah Hospital Queen Elizabeth, namun ia penuh dengan orang-orang yang cedera dan sakit. Ronald terpijak kaki seorang remaja yang masih bersimen kakinya. “Ops, sorry.”

Remaja itu menarik kakinya. “Nasib kakiku sembuh sudah, mau dibuka doktor. Kamu apa juga sakitnya?”

Macy dan Darius menganduh Wallace. “Saya mau bawa bapa saya jumpa doktor.”

Remaja itu memanggil seorang jururawat. Jururawat itu berlari ke arah mereka. “Ya, apa boleh saya bantu?”

Ronald menunjuk ke arah mereka bertiga. “Bapa saya sesak nafas selepas makan kuih.”

Jururawat itu mengangguk, lalu memeriksa Wallace sebentar. Nafasnya ada tetapi lemah, dan degupan jantungnya lemah. “Tunggu, saya bawa stretcher dulu.”

Macy dan Ronald menunggu di kerusi. Orang ramai masuk dan keluar, mendapat nasihat doktor serta ubat-ubatan yang disyorkan. Darius yang lapar menghabiskan kuih tadi.

“Darius, apa doktor bilang?”

“Doktor bilang bapa bukan serius keadaannya sekarang. Dia puji apa kita buat tadi, kecuali saya kasi makan bapa benda alergik.”

Ronald menghempuk belakang Darius. “Kenapa juga kau buat kek durian merah?”

“Mau try. Nda aku tau bapa alergik sama durian merah?”

“Nah, lain kali kalau kami bercerita kau dengar. Jangan lari dari bapa.”

Doktor yang merawat Wallace berada di sebelah mereka. “Siapa yang paling tua di antara kamu?”

Ronald berdiri. “Saya.”

“Bapa kamu stabil, tapi ada masalah… lain.”

Tulisan ini mengekalkan gaya bahasa dan dialek negeri Sabah dalam percakapan watak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *