Oleh: Nurhuda Manshoor
Lembangan Maliau atau lebih biasa dipanggil Maliau Basin bukan sahaja mendapat perhatian rakyat Malaysia malah juga penduduk dunia. Lembangan yang diberi jolokan ‘Sabah’s lost world’ ini kelihatan seperti kawah gunung berapi yang besar jika dilihat dari udara, bukan sahaja menjadi habitat pelbagai spesis haiwan dan tumbuhan serta mikroorganisma, juga menyimpan khazanah alam semula jadi yang dianggarkan berusia jutaan tahun yang tidak ternilai harganya. Lembangan ini juga menjadi perhatian kerana terdapat fenomena awan rendah, di mana awan terbentuk pada altitud yang rendah di dalam kawah lembangan. Selain itu, tarikan utama Lembangan Maliau adalah air terjun Maliau setinggi 7 tingkat dan menjangkau lebih 18 meter. Dikatakan terdapat lebih dari 200 buah air terjun di dalam lembangan ini, menunjukkan bahawa kawasan seluas 588 km persegi ini kaya dengan aliran anak-anak sungai yang memberi kehidupan kepada penghuninya. Air terjun ini bergabung menjadi Sungai Maliau dan seterusnya bersambung dengan sungai Kinabatangan, sungai terpanjang di Sabah, sungai yang menjadi nadi kehidupan sebahagian besar penduduk di pantai Timur negeri Sabah.
Lembangan Maliau yang baru sahaja dijumpai sekitar tahun 1940-an ini telah beberapa kali mencipta kontroversi. Pada tahun 1981, Yayasan Sabah telah telah menjadikannya sebagai kawasan pemuliharaan dengan tujuan penyelidikan, pendidikan dan latihan. Seterusnya pada tahun 1997 kerajaan Sabah telah mewartakan Lembangan Maliau sebagai kawasan konservasi kelas 1, di mana kawasan ini dilindungi sepenuhnya tanpa ada sebarang pembangunan dibenarkan pada masa kini dan akan datang. Pada tahun 1999, Journal of Commerce magazine melaporkan cadangan kerajaan Malaysia untuk membangunkan industri arang batu bergred tinggi di negeri Sabah, secara spesifiknya di Maliau. Laporan ini lengkap menyatakan nama syarikat (dari Australia) yang akan mengadakan eksplorasi, membina lombong, pengangkutan dan fasiliti hinggalah pembinaan pelabuhan. Pada ketika laporan ini disiarkan, syarikat tersebut telahpun bersedia untuk melakukan ekspolasi kedua! Hasil tentangan dari rakyat Sabah, terutama penduduk Sandakan dan Lahad Datu, projek ini disenyapkan seketika. Pada September 2018, dalam sidang Conference of the Electric Power Supply Industry (CEPSI), Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa negara akan mengeksploit sumber arang batu yang banyak didapati di Sabah dan Sarawak. Nama Lembangan Maliau disebut-sebut lagi. Menteri Tenaga, Teknologi Hijau, Sains, Perubahan Cuaca dan Alam Sekitar telah mengumumkan bahawa negara kita tidak akan membina loji kuasa nuklear, malah akan menutup agensi regulatori kuasa nuklear Malaysia dan akan terus munggunakan sumber dari bahan bakar fosil. Sungguh ironi nama kementerian ini dengan tindakan yang diambilnya.
Apakah sumber tenaga yang digunakan oleh penduduk dunia hari ini?
Secara umum terdapat 3 jenis sumber tenaga, yang paling banyak digunakan ialah sumber dari pembakaran bahan fosil seperti arang batu, petroleum dan gas asli. Sumber kedua adalah tenaga nuklear dan yang ketiga, yang paling banyak sedang dikaji dan dibangunkan di seluruh dunia ialah sumber tenaga yang boleh diperbaharui. Sumber tenaga boleh diperbaharui ini ada banyak jenis, dan buat masa sekarang, the limit is your sky. Sumber yang paling banyak digunakan hari ini ialah tenaga solar dan elektrik hidro, diikuti sumber angin (windmill), gelombang laut, geotermal, biomass dan lain-lain.
Hampir separuh daripada sumber tenaga dunia hari ini adalah dari pembakaran bahan fosil. Sumber pembakaran bahan fosil inilah menghasilkan paling banyak pencemaran di dunia dan penyumbang tertinggi kepada kesan rumah hijau yang mengakibatkan pemanasan global. Banyak negara di dunia kini mula meninggalkan sumber tenaga ini dan sedang menuju ke arah sumber yang lebih bersih dan boleh diperbaharui.
Antara sumber tenaga yang paling bersih ialah tenaga nuklear. Kajian terhadap sumber tenaga nuklear telah mencapai tahap kematangan dan telah digunakan dengan jayanya dan secara meluas di negara-negara maju. Malah negara seperti Perancis, Lithuania, Slovakia dan Jepun menggunakan hampir sepenuhnya tenaga dari sumber nuklear. Tenaga nuklear yang digunakan sekarang adalah hasil pemecahan (fission) daripada unsur radioaktif terutama uranium, plutonion dan thorium, bergantung kepada ketersediaan bahan tersebut di negara-negara yang menggunakan tenaga ini. Penghasilan dan penggunaan tenaga ini dikawal ketat oleh International Atomic Energy Agency sebagai langkah keselamatan. Malaysia juga mempunyai kepakaran dalam bidang nuklear di mana Malaysian Institute for Nuclear Technology Research (MINT) telah ditubuhkan pada tahun 1972 lagi dan masih giat menjalankan kajian dalam bidang ini. Universiti tempatan sahaja telah berpuluh tahun mengeluarkan graduan jurusan sains nuklear, sayangnya mereka tidak dapat mengimplimentasikan pengetahuan dan kepakaran mereka kerana negara kita enggan menceburkan diri dalam menghasilkan tenaga yang lebih bersih ini. Kini, kajian tentang tenaga nuklear malahan telah beralih kepada nuclear fusion di mana nuklei hidrogen digabungkan dengan isotop helium untuk menghasilkan tenaga menyerupai matahari dan bintang-bintang. Bayangkan betapa banyaknya tenaga yang boleh dihasilkan nanti. Kalau tenaga nuklear hari ini dihasilkan dari pemecahan bahan radioaktif, menghasilkan sisa radioaktif yang perlu disimpan dan dijaga dengan ketat, pada masa akan datang tenaga dihasilkan dari gabungan hidrogen dan helium, dan sisa industri yang dihasilkan adalah air!
Menurut perdana menteri, tenaga nuklear tidak akan dibangunkan kerana dikhuatiri akan berlaku kemalangan nuklear, kemalangan yang amat ditakuti di seluruh dunia. Saya memandang pendirian ini sebagai merendah-rendahkan kebolehan rakyat Malaysia untuk menangani teknologi berisiko tinggi. Seolah-olahnya rakyat Malaysia tidak mampu berkerja dengan berdisiplin sepertimana rakyat negara lain yang menggunakan sumber tenaga dari teknologi ini. Biarpun berisiko tinggi, namun semua kebarangkalian kemalangan telah dikaji dengan teliti dan langkah-langkah waspada telah dikenalpasti dalam setiap langkah pembinaan dan pengoperasian. Memang pernah terjadi kemalangan yang melibatkan loji nuklear seperti di Chernobyl (1986; 31 kematian), Fukushima (2011; 1 kematian) dan SL-1 milik Amerika Syarikat (1961; 3 kematian). Kemalangan ini juga mengakibatkan beribu-ribu orang terdedah kepada penyakit akibat radiasi. Tetapi kematian dan kemerosotan kesihatan pelombong arang, pencarigali minyak dan gas asli di seluruh dunia dalam jangka masa yang sama tidak terkira jumlahnya. Juga berjuta-juta penduduk dunia terdedah kepada penyakit akibat asap dan pencemaran lain yang berkaitan dengan pembakaran bahan api fosil.
Kalaupun kita tidak mahu membangunkan teknologi nuklear –yang pada hemat saya, amat membazir kepakaran dan peluang-, negara kita dilimpahi sinaran cahaya matahari pada keamatan yang cukup untuk menjana tenaga solar, sepanjang tahun! Malaysia dengan mudah sahaja boleh mengeksploitasi cuaca yang panas sepanjang tahun ini dengan menghasilkan tenaga solar. Ianya bersih dan dari sumber yang boleh diperbaharui. Kerajaan memang ada inisiatif untuk menggalakkan rakyat menggunakan tenaga solar, tetapi pada skala yang amat kecil. Inisiatif kerajaan ialah untuk membeli semula tenaga berlebihan dari pengguna yang menghasilkan tenaga sendiri. Tetapi siapa pengguna ini? Tentulah orang-orang yang mampu memasang panel solar secara persendirian di bumbung-bumbung rumah mereka. Mereka tidak terkesan pun dengan beberapa ringgit penjimatan tenaga yang akan dibayar kepada mereka, berbanding harga panel solar yang mereka bayar. Panel solar dijual dengan harga yang sangat mahal di Malaysia, padahal ia bukan lagi satu bahan yang berteknologi langka pada hari ini.
Negara kita yang bandarnya dipenuhi bangunan tinggi dan kawasan penempatannya dibina oleh pemaju-pemaju perumahan, boleh sahaja menggunakan bangunan ini untuk menempatkan panel-panel solar. Tidak perlu menebang hutan dan ladang untuk memacak panel ini. Kerajaan boleh sahaja membuat polisi untuk mewajibkan para pemaju memasang panel solar di setiap bumbung kediaman di kawasan perumahan dan dinding-dinding bangunan tinggi di bandaraya serta menggunakan laluan sepanjang lebuhraya untuk menempatkan panel ini. Jika kerajaan mengadakan polisi untuk menyewa bumbung-bumbung kediaman di kawasan perumahan, dinding-dinding bangunan tinggi di bandar untuk menempatkan panel ini, harga panel akan jatuh kerana penjualan pada skala yang tinggi. Lebihan tenaga dari panel solar ini bolehlah dialirkan ke rumah-rumah dan bangunan yang berselerak di pinggir bandar dan kampung-kampung, atau dijual kepada kilang-kilang dan perusahaan. Dengan hasil jualan ini, bolehlah kerajaan memberi subsidi panel solar kepada penduduk di luar kawasan perumahan. Maka mampulah rakyat Malaysia untuk memiliki dan memasang panel sendiri di rumah dan kampung mereka. Tidak lagi penduduk di pedalaman perlu menunggu tiang elektrik masuk ke kampung mereka, barulah boleh menikmati kemudahan elektrik.
Malaysia sebaliknya memilih hidroelektrik untuk menjana tenaga boleh diperbaharui. Ini sebenarnya sesuai dilakukan di Malaysia kerana kita mempunyai banyak sungai dan hutan malar hijau kita menjanjikan aliran sungai yang berterusan sepanjang tahun. Tenaga dari hidroelektrik, walaupun boleh diperbaharui tetapi memerlukan pembinaan empangan yang memusnahkan bukan sahaja hutan berserta faunanya, juga menenggelamkan kampung-kampung halaman penduduk setempat. Bukan sahaja harta benda, kebun dan ternakan yang terkubur, malah juga sejarah, budaya dan tradisi kumpulan etnik tersebut.
Perhatian yang diberikan kepada biomass pula agak merisaukan. Ramai berpendapat biodiesel adalah tenaga masa hadapan kerana ianya adalah daripada sumber tumbuhan dan bukan daripada pembakaran fosil, maka ia kelihatannya lebih mesra alam. Hakikatnya jika biodisel dibangunkan secara komersil, akan banyaklah ladang-ladang pertanian akan dibuka untuk menanam kelapa sawit. Akan berlaku penebangan hutan, kemusnahan habitat hidupan liar, pencemaran sungai, baja dan racun. Satu lagi, kelapa sawit adalah sumber makanan, jika biodiesel boleh dijual dengan harga yang lebih tinggi dari minyak masak, korporasi akan menukarkan produk minyak kelapa sawit kepada biodisel, maka akan terjejas bekalan makanan dan krisis kecukupan makanan (food security) akan lebih meruncing.
Beberapa tahun lalu, Malaysia merancang untuk membina loji geotermal pertamanya di Tawau, untuk menampung keperluan tenaga penduduk pantai Timur Sabah. Loji berkenaan yang dibina di Apas Kiri, Tawau dijadualkan mula beroperasi pada bulan Jun 2018. Sehingga kini, tidak ada perkembangan tentang projek ini yang dilaporkan. Laman web Tawau Green Energy Sdn Bhd, syarikat yang dilantik untuk membina loji tersebut hanya melaporkan setakat 23 Oktober 2015, iaitu ketika mendapat kelulusan dari Jabatan Alam Sekitar. Geotermal adalah satu lagi sumber tenaga boleh diperbaharui. Begitupun, ia tidak semestinya mesra alam. Air panas yang dikeluarkan dari perut bumi mengandungi campuran gas seperti karbon dioksida, metana, hidrogen sulfida dan amonia yang menyebabkan hujan asid dan pemanasan global. Di samping itu, ia juga membawa bersama logam berat seperti raksa, arsenik, boron dan antimoni ke permukaan bumi.
Ketika dunia sedang menuju ke arah sumber tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui, kita tidak sepatutnya berpatah balik menggunakan sumber arang batu yang telah digunakan ketika revolusi industri 1.0 lagi. Untuk Malaysia, sumber tenaga nuklear adalah sesuai untuk dibangunkan memandangkan negara kita terlindung daripada gempa bumi dan gunung berapi. Selain itu tenaga dari matahari yang bersinar sepanjang tahun dengan keamatan yang tinggi tidak sepatutnya dibazirkan. Tidak ada alasan untuk kerajaan tidak mempromosikan penggunaan tenaga solar sebagai sumber yang boleh diperbaharui.
Saya pernah sekali sahaja pergi ke Lembangan Maliau. Bukan senang perjalanannya. Menaiki pacuan empat roda berjam-jam melalui jalan balak, kemudian berjalan kaki entah berapa kilometer, bermalam di Agathis Camp dan sambung lagi berjalan kaki pada keesokan hari. Dari Agathis Camp ke Ginseng Camp perlu mendaki, berjalan di lereng gunung dan turun ke dalam lembangan. Pada masa itu, dengan tenaga muda saya, saya mengambil masa 9 jam untuk sampai. Menggalas backpack untuk bekalan keperluan selama 2 minggu. Sekiranya saya perlu pergi lagi, saya pilih untuk menjalani kesusahan yang sama. Saya tidak akan minta kerajaan membina jalan raya, sekalipun sekadar trail berturap. Apatah lagi membiarkan tangan rakus menggali mengorek memperkosa bumi Maliau untuk sumber yang kemudiannya merosakkan seluruh alam dan penghuninya.
Ada satu jawapan sahaja.
Pilih banyak sumber tenaga. Kenapa kita mesti jumud dan fikir hanya hidroelektrik sahaja? Atau solar sahaja, atau nuklear sahaja, atau biodiesel sahaja?
Kenapa tidak buat banyak? Pada sungai cetek, kita bersolar-solaran, pada hari mendung, kita berbiodiesel-biodieselan, pada hari malapetaka, kita bernuklear-nuklearan.
Gunakan sumber-sumber tenaga kita dengan majmuk. Kita makan nasi, roti, dan mi, dengan kepelbagaian lauk. Apa yang menghalang kita dari menikmati elektrik dari pelbagai sumber sebenarnya?